Oleh Dr. Mohd Zahir Abdul Rahman, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia
Syurga merupakan dambaan bagi setiap insan yang beriman kepada Allah SWT. Seringkali kita mendengar nasihat seorang guru kepada anak muridnya, “Banyakkan amal soleh seperti solat, puasa, bercakap sesuatu yang baik insyallah balasan syurga untukmu”. Nasihat ini akan terjawab dan menjadi realiti di akhirat kelak. Namun, nasihat serta keinginan saja belum cukup ampuh, bahkan perlukan suatu usaha untuk masuk ke dalamnya kerana syurga itu bukan percuma.
Menariknya segala usaha untuk ke syurga perlu dipraktikkan secara pengakuan dengan lidah, keyakinan yang jitu dalam hati serta dilaksanakan dalam bentuk perbuatan hanya untuk Allah semata sejak kecil lagi selagi masih bernyawa di dunia ini.
Untuk mendapatkan syurga, kita perlu pastikan apakah penghalang besar yang memungkinkan kita terhalang untuk masuk ke syurga Allah SWT ini. Usah risau, usah bimbang kerana kriteria penghalang ke syurga ini sudah pun disebutkan dalam al-Quran dan Hadis.
Ayuh kita renungi tiga penghalang utama individu Muslim untuk ke syurga.
Penghalang Pertama – Syirik kepada Allah SWT
Penghalang pertama adalah perbuatan syirik kepada Allah SWT. Syirik merujuk kepada anggapan ataupun menjadikan selain Allah SWT sebagai Tuhan. Jika dilihat kepada penakrifan tersebut, ini adalah perbuatan syirik yang besar sehingga pelakunya boleh dianggap kafir, atau dalam bahasa mudahnya keluar dari Islam (murtad). Ini dibuktikan dengan firman Allah: “Demi Sesungguhnya! tellah kafirlah orang-orang yang berkata:
“Bahawasanya Allah ialah Al-Masih ibni Maryam”, Sedangkan Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhan kamu”. “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka dan tiadalah seseorang penolong pun bagi orang-orang yang zalim”.
(Surah al-Maidah 5:72)
Namun terdapat juga syirik yang kecil, iaitu riya’ yang merujuk kepada pengharapan akan pujian dari amal soleh yang dilakukan. Sebagai contoh, segala macam amalan baik kita sudah menjadi satu kemestian untuk dipaparkan dalam media sosial dan hebahan kepada orang ramai dengan harapan mendapat pujian yang melangit daripada manusia.
Justeru, apabila perkara ini sering dilakukan maka inividu itu dikhuatiri menjadi penghalang untuk masuk ke syurga. Ini kerana lesen ke syurga perlukan bekalan amal soleh yang banyak, sedangkan individu yang tenggelam dengan perbuatan riya’ sudah semestinya tidak punya nilai atau markah dari amal solehnya kerana semuanya sudah terhapus dengan perbuatan riya’ itu tadi.
Lantaran itulah, Rasulullah sangat khawatir apabila umatnya menjadikan sifat riya’ ini sebagai darah daging dalam kehidupan harian.
Baginda Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takutkan terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil: “Riya”
(Ahmad, No: 428)
Termasuk syirik kepada Allah adalah mempercayai sepenuhnya bomoh yang sesat, ramalan nasib, tahayyul, sihir, jampi-jampi yang tidak berasaskan al-Quran dan hadis, kepercayaan-kepercayaan yang tidak sesuai dengan akidah Islam.
Penghalang Kedua – Sombong Dalam Kehidupan
Penghalang kedua adalah dengan menyemai sifat sombong dalam kehidupan. Sorotan kronologi bagi sifat sombong pertama dinyatakan dalam al-Quran ditujukan khusus kepada Iblis akibat enggan sujud kepada Nabi Adam atas perintah Allah SWT serta membandingkan kelebihan ciptaanya dengan Nabi Adam.
Lantaran itulah, sombong ini merujuk kepada merasa diri lebih baik dan lebih mulia daripada orang lain. Lihatlah penampilan saya, suara saya yang lebih bagus dari orang lain. Oleh sebab itulah, Allah SWT menutup pintu syurga bagi orang-orang yang sombong, Rasulullah bersabda;
“Tidak masuk syurga bagi orang yang di dalam hatinya sifat sombong walaupun sombong itu hanya sebiji sawi”.
(Muslim, No: 91)
Disamping itu, kemurkaan Allah SWT lebih dahsyat lagi kepada orang menyombongkan diri dan berasa bangga dengan dosa yang dilakukannya. Hal ini membuat diri semakin sukar untuk masuk ke dalam syurga sebagaimana dikemukakan dalam firmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan angkuh (merasakan dirinya lebih)dari mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintupintu langit dan mereka tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga unta masuk ke lubang jarum. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan”.
(Surah al-A’raf 7:40)
Disenaraikan Empat Jenis Sifat Sombong yang Utama
1. Merasa Diri Sendiri adalah Yang Paling Bagus
Situasi sombong jenis ini bermula apabila memiliki kelebihan yang banyak seperti cantik dan cerdik. Malangnya kelebihan yang dimiliki ini merabunkan diri dan hati dari melihat orang lain yang lebih hebat dari kelebihan yang dimilikinya.
2. Tidak Senang pada Apa Sahaja Nasihat atau Pandangan dari Orang Muda mahupun Orang Tua
Sifat sombong seperti ini menganggap diri sudah merasa sempurna, tidak punya kekurangan. Seumpama menyombongkan diri dengan ilmu yang dimiliki sehingga diberi gelaran sarjana agung dan gelaran hebat di depan dan di belakang namanya. Manakan boleh sarjana agung seperti diri ini mendapat pandangan dari orang yang tidak mempunyai gelaran akademik yang bagus bahkan dikritik lagi.
3. Iri Hati Serta Dengki terhadap Kemajuan yang Dicapai oleh Orang Lain
Hal ini terjadi apabila wujud persaingan yang mampu menandingi prestasinya. Lantaran itu, perasaan iri hati (hasad) wujud terhadap kemajuan dan kesenangan yang dialami orang lain, lebih malang lagi berkeinginan dan berusaha untuk menghalang atau menghentikan kemajuan orang lain itu dengan kaedah yang tidak sepatutnya seperti memfitnah, mengembangkan permusuhan sehingga membawa kepada pembunuhan.
4. Menolak Kebenaran meskipun Meyakini Kebenaran itu adalah Sesuatu yang Benar.
Perkara ini telah difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran:
“Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka menyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan”.
(Surah an-Naml 27:14)
Penghalang Ketiga – Putuskan Silaturrahim
Penghalang ketiga dari mendapat syurga adalah dengan memutuskan tali silaturahim sesama kaum kerabat. Air yang dicincang tidak akan putus inikan pula adik beradik seibu dan sebapa. Putusnya tali silaturahim kebanyakannya bermula perebutan harta warisan sehingga membawa kepada tidak bertegur sapa, pergaduhan sehingga terputus hubungan persaudaraan dalam nasab.
Ancaman memutuskan tali silaturrahim ini digambarkan Rasulullah melalui sabdanya:
Tidak masuk syurga orang yang memutuskan, yakni memutuskan silaturrahim
(Sahih al-Bukhari, No: 5984, Muslim, No: 2556, Abu Dawud, No: 1696, dan Tirmidhi, No: 1909)
Hubungan persaudaraan yang berasal dari satu rahim ibu harus disambung dan dieratkan dengan kuat, maka siapa saja yang memutuskannya akan mendapatkan kemurkaan dari Allah SWT. Logiknya mana mungkin orang yang mendapat kemurkaan Allah boleh masuk ke dalam syurga.
Firman Allah SWT: “Dan (sebaliknya) Orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkaraperkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan (silaturahim) serta mereka membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu beroleh laknat dan mereka pula beroleh balasan pada hari akhirat yang seburuk-buruknya”.
(Surah ar-Ra’d 13:25)
Menerusi perbahasan ini dapat disimpulkan bahawa sekiranya keinginan kita untuk ke Syurga sangat kuat maka jauhilah 3 perkara ini dari menjadi darah daging dalam kehidupan kita iaitu syirik kepada Allah, menyemai sifat sombong, dan memutuskan tali silaturrahim. Benar terlalu banyak amalan baik yang boleh dilakukan untuk ke syurga tetapi awas! Jauhilah 3 perkara ini agar segala amalan baik yang pernah kita lakukan tidak menjadi sia-sia dan rugi di kemudian hari.
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment