Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 6 – Yang Halal & Yang Haram

Daripada Abi Abdillah al-Nu’man bin Basyir r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang samar-samar (syubhah). Kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka sesiapa menjaga dirinya daripada yang syubhah itu, bererti dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang melakukan perkara syubhah itu, dia telah jatuh ke dalam perkara yang haram; seperti penggembala yang berada di sekeliling batas tanah gembalaan milik orang (tanah larangan), lambat-laun dia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah, bahawa setiap raja ada sempadannya dan ingatlah, bahawa sempadan Allah adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu ialah hati.”

(Riwayat al-Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599)

Huraian

Hadis ini merupakan salah satu pokok syariat Islam. Abu Daud al- Sijistani berkata: “Islam bersumber pada empat hadis.” Disebutkan, antaranya ialah hadis ini. Para ulama telah sepakat atas keagungan dan banyaknya manfaat hadis ini.

Yang Halal dan Haram

Perkara yang halal dan yang haram dalam syariat amat jelas.

Yang Halal

Tidak dilarang serta terang hukumnya. 

  • Memakan makanan daripada bijian, tumbuh-tumbuhan dan daging haiwan yang halal.
  • Minum air, susu dan segala minuman yang tidak dilarang.
  • Memakai pakaian daripada benang dan bulu yang tidak dilarang
  • Bekerja atau berusaha mencari kehidupan dengan jalan yang tidak dilarang.

Yang Haram

Dilarang serta terang hukumnya. 

  • Memakan bangkai, darah, daging, tulang, lemak dan sepertinya daripada binatang yang haram.
  • Meminum minuman yang memabukkan.
  • Mendedahkan aurat atau memakai sutera bagi lelaki atau memakai pakaian daripada sumber yang haram.
  • Berusaha mendapat rezeki serta keuntungan daripada jalan yang kotor seperti curi, samun, judi, riba, tipu dan sebagainya.

Syubhah

Syubhah bererti kesamaran. Hukum perkara yang syubhah tidak dapat dipastikan sama ada halal atau haram.

Orang yang warak meninggalkan yang syubhah untuk memelihara kesucian jiwa dan menghilangkan keraguan perasaan.

Sebahagian ulama berpendapat syubhah itu ada tiga jenis.

PertamaSesuatu yang sudah diketahui oleh manusia tentang haramnya tetapi orang itu ragu-ragu adakah masih tetap haram atau tidak. Misalnya, memakan daging haiwan yang tidak diketahui dengan pasti cara penyembelihannya.Maka daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali jika terbukti yakin telah disembelih.

Kedua – Sesuatu yang halal tetapi masih diragukan kepastian halalnya, seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri, namun dia ragu-ragu adakah dia telah menjatuhkan talak kepada isterinya itu atau belum. Atau adakah isterinya seorang perempuan hamba atau sudah dimerdekakan. Hal-hal sepasti ini pada dasarnya adalah harus sehingga diketahui dengan pasti haramnya. Dasarnya ialah hadis riwayat Abdullah bin Zaid yang ragu-ragu tentang hadas, padahal sebelumnya dia yakin telah bersuci.

Ketiga Seseorang ragu-ragu tentang sesuatu dan tidak tahu adakah hal itu halal atau haram dan kedua-dua kemungkinan ini sama-sama boleh terjadi, malah tidak ada petunjuk yang menguatkan salah satunya.

Hal seperti ini lebih baik dijauhi, sebagaimana sabda Nabi SAW pernah melakukannya pada kes sebutir buah kurma telah jatuh dan ditemui di rumah Baginda. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Kalau saya tidak takut kurma ini daripada barang zakat, tentu saya telah memakannya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2055)

Adapun orang yang mengambil sikap berhati-hati yang berlebihan, seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana khuatir telah terkena najis, atau tidak mahu solat di suatu tempat itu yang ada bekas air kencing yang sudah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih kerana khuatir terkena najis yang tidak diketahuinya, dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikuti, sebab berlebih-lebihan ialah tanda adanya waswas, sedangkan waswas itu ialah bisikan syaitan.

Kawasan Larangan

Jika raja dan tuan tanah melabelkan  kawasan larangan yang tidak boleh dimasuki orang lain, Allah juga ada kawasan larangan yang tidak boleh dilalui manusia.

Kawasan larangan tersebut adalah segala perbuatan maksiat dan tegahan sama ada yang berhubung dengan diri mahupun yang berhubung dengan kehormatan dan harta benda seperti pembunuhan, perzinaan, pencurian, minuman yang memabukkan, pendustaan, tuduhan, penghinaan terhadap kehormatan, mengambil, menguasai dan memakan harta benda dengan jalan yang tidak sah mengikut syariat.

Hati

Hati ialah seketul daging dalam tubuh manusia yang menjadi pembentuk hidup seseorang, menggerak dan memberhentikan, memperelok atau mencederakan dan mengawal tingkah laku seseorang. 

Hati yang baik ialah hati yang sentiasa ingat kebesaran Allah, mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, menghindari perkara yang syubhah, takut jatuh kepada yang haram.

Hati yang rosak ialah hati yang telah dipengaruhi serta dikuasai sepenuhnya oleh hawa nafsu dan syahwat yang jahat hingga tidak diendahkan lagi halal haramnya. Wallahua’lam.

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.”

(Surah al-Hajj 22: 46)

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

2 thoughts on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 6 – Yang Halal & Yang Haram

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑