Adakah Sah Solat Sekiranya Tidak Pasti Keluar Mazi Ketika Solat?

Oleh Muhammad Fathi Noordin untuk PMWP

Soalan

Sewaktu bersolat saya tidak pasti air mazi saya keluar ataupun tidak. Kemudian selepas solat saya lihat terdapat beberapa kesan pada kain sembahyang saya. Adakah sah solat saya atau saya kena qada solat tersebut?

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Air mazi menurut istilah fiqh adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315). 

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/141)

Mazi termasuk di dalam kategori najis Mutawassithoh (sederhana), ia perlu dihilangkan ain (bau, rasa dan warna) serta menyucikannya menggunakan air mutlak. Keluar mazi merupakan perkara yang membatalkan wuduk dan tidak perlu kepada mandi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA katanya:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَاسْتَحْيَيْتُ أَنْ أَسْأَلَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بن الأسود فَسَأَلَهُ فَقَالَ: فِيهِ الْوُضُوءُ، وَلِمُسْلِمٍ: يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ

Maksudnya: “Aku seorang yang selalu keluar mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad menanyakannya. Baginda menjawab: Dia hendaklah berwudhu’. Dalam riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh zakarnya dan berwudhu’.”

Riwayat al-Bukhari (176) dan Muslim (303)

Selain itu, di dalam hal ini terdapat perbezaan di antara air mazi, wadi dan mani. 

Air Mani

Pertama, air mani berasal daripada perkataan ( أمْنَى – يُمْنِيْ) dalam bahasa Arab bermaksud terpancut. Dinamakan mani kerana keadaannya yang keluar dengan cara memancut, warnanya putih dan pekat. Firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ

Maksudnya: “Diciptakan manusia dari air mani yang terpancar.”

(Surah Al-Tariq 86:6)

Ataupun cecair ini keluar dengan rasa lazat dengan diiringi lembiknya zakar dan merasai kepuasan syahwat selepasnya, sekalipun ia tidak memancut kerana kuantitinya yang sedikit walaupun sekadar satu titisan sahaja, atau keluar seperti warna darah kerana terlalu kerap melakukan jimak. Cecair ini mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering. Wajib mandi mandi wajib meskipun tidak merasa lazat ketika keluarnya ataupun jika keluarnya tanpa memancut (bagi lelaki) seperti keluar selepas mandi, sama ada bagi lelaki atau wanita.

Tidak disyaratkan wujud kesemua sifat tersebut tetapi memadai dengan ada satu sifat sahaja. Jika kesemua sifat yang tersebut tidak ada, tidak wajib mandi kerana ia bukan mani. Mani adalah bersih, mani wanita berwarna kekuningan, halus dan kadang-kadang ia berwarna putih.

Air Mazi

Kedua, air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama, wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:

كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ

Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”

[Hadis ini adalah sahih diriwayatkan oleh Abu Daud: 1/47, Al-Nasaie: 1/93, Imam Al-Bukhari meriwayatkan maknanya seumpama hadis di atas: 1/105 (no 266), Muslim: 3/212 (no 303)]

Air Wadi

Ketiga, air wadi iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi kerana yang diwajibkan mandi ialah keluar mani sahaja.

Rujuk al-Mu’tamad: 1/131-132, Mughni al-Muhtaj: 1/69, Al-Muhazzab: 1/116, Al-Majmu’: 2/148, Al-Hawi: 1/255, Al-Anwar: 1/50.

Perkara Yang Membatalkan Solat

Perkara yang membatalkan solat adalah tidak suci daripada hadas seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: Tidak diterima Allah SWT akan solat seseorang itu apabila ia berhadas sehingga ia berwuduk.

(Riwayat al-Bukhari 6954)

Imam al-Nawawi menyatakan “Sesuatu yang keluar daripada qubul dan dubur adalah perkara yang membatalkan wuduk. Sama ada najis, kencing, angin, ulat, muntah darah batu-batu dan lain-lain dan ini tidak dibezakan antara jarang berlaku atau kebiasaannya. (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 2/4)

Selain itu, perkara yang membatalkan solat adalah berhadas sebelum memberi salam yang pertama. Ini seperti yang diterangkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa tidak ada perbezaan sekiranya ia berhadas secara sengaja atau terlupa, ini kerana hilangnya salah satu daripada syarat solat iaitu bersuci daripada hadas sebelum sempurna daripada melakukan setiap rukun solat. Adapun sekiranya berhadas selepas memberi salam yang pertama sebelum salam yang kedua maka sah solatnya. Ini merupakan ijma’ para fuqha’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/169)

Syarat Sah Solat

Di dalam perkara ini, Dr Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya di antaranya adalah: Meninggalkan salah satu daripada syarat solat. Seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Dan apabila hilang salah satu daripada syarat ini maka batallah solatnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/333)

Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu darupada segala najis. Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Surah Al-Muddatthir 74:4)

Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat.

(Lihat Taysir Al-Karim Al-Rahman Fi Tafsir Al-Kalam Al-Mannan, 2/132)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan berdasarkan perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan sini kepada beberapa keadaan:

  • Sekiranya semasa melakukan solat terdapat tanda-tanda keluarnya mazi seperti dapat merasakan sesuatu yang keluar daripada kemaluannya serta terdapat kesan basah pada pakaiannya, maka perkara itu membatalkan solat dan wajib untuk mengulanginya.
  • Begitu juga, sekiranya telah sempurna solatnya kemudian terdapat kesan mazi pada pakaiannya, maka ia wajib mengulangi solat semula. Ini kerana terdapat najis pada pakaian dan bersuci daripada najis merupakan syarat sah solat. Oleh itu, ia harus menyucikan kesan najis tersebut sekiranya hendak menggunakan pakaian itu semula di dalam solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑