Terdapat banyak kisah yang menarik, betapa cintanya para sahabat untuk menuju ke syurga Allah SWT. Antaranya:
Kisah Umair bin al-Humam ketika Perang Badar
Ketika perang Badar, beliau mendengar Nabi SAW bersabda, “Bangkitlah kamu menuju syurga yang lebarnya seluas langit dan bumi.” Umair bertanya, “Wahai Rasulullah, lebar syurga seluas langit dan bumi?” Beliau menjawab, “Benar,” Umair berkata, “Hebat, hebat.” Rasulullah SAW bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu mengatakan ‘hebat, hebat’?” Umair menjawab, “Demi Allah, tidak wahai Rasulullah, aku hanya berharap, mudah-mudahan aku termasuk penghuninya.” Rasulullah bersabda, “Sungguh, engkau termasuk penghuni Syurga.” Umair lalu mengambil beberapa biji kurma dari tempat makanannya lalu menyuapnya. Kemudian dia berkata, “Sekiranya aku masih hidup sehingga menghabiskan kurma ini, sungguh ini merupakan kehidupan yang sangat panjang.” Lantas dia melemparkan kurma yang masih tersisa untuk maju berperang sehingga gugur syahid.” (Riwayat Muslim, 1901)
Kisah Amr bin al-Jamuh Ketika Perang Uhud
Amr bin al-Jamuh RA termasuk di antara para sahabat yang memiliki alasan yang dibenarkan syariat untuk tidak ikut serta berperang kerana beliau tempang. Namun keadaan ini tidak mengurangkan semangatnya untuk tetap ikut berperang. Usaha anak-anaknya untuk menghalangnya juga tidak dipedulikannya. Akhirnya Rasulullah SAW meminta persetujuan anak-anak Amr bin al-Jamuh untuk membiarkannya ikut berjihad, jika dia sememangnya menginginkan mati syahid. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana pendapat, jika aku meninggal hari ini, dapatkah aku menginjak syurga dengan kakiku yang tempang ini?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” Kemudian Amr RA berkata, “Demi Allah yang telah mengutusmu dengan al-Haq, insya Allah, aku benar-benar akan menginjakkan kakiku ini di syurga hari ini.” Kemudian Amr bin al-Jamuh RA terjun ke medan tempur sehingga akhirnya keinginan beliau untuk syahid tercapai. (Diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam Kitab al-Jihad, hlm. 69; Ibnu Hisyam, 3/132)
Kisah Ja’far Abi Talib, Diberi Sayap dalam Syurga
Ketika Zaid bin Harithah gugur syahid, lalu Ja’far bin Abu Talib mengambil bendera pasukan dan terus berjuang dengan hebatnya tanpa ada tolok bandingan. Apabila keadaan peperangan semakin gawat, beliau terjun dari kudanya dan terus berlawan sehingga terputus tangan kanannya. Beliau mencapai bendera dengan tangan kirinya dan terus berjuang sehingga tangan kirinya pula putus, lalu dikendongnya bendera dengan kedua-dua lengannya. Sehingga saat Ja’far terbunuh, beliau masih lagi mengangkat bendera pasukan Islam. Dikatakan bahawa seorang tentera Rom mencantas Ja’far dengan satu pukulan yang kuat sehingga terbelah dua tubuhnya. Allah telah menggantikan untuk beliau dua sayap yang digunakannya untuk terbang ke mana sahaja di dalam syurga. Oleh kerana itu, beliau dikenali dengan gelaran ‘Ja’far al-Tayyar’ dan juga ‘Ja’far Zu al-Janahain’ (yang mempunyai dua sayap). (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 672)
Kisah Abdullah bin Rawahah, Mencampak Makanan
Apabila Ja’far terbunuh setelah mempamerkan keperwiraan yang luar biasa, bendera diambil pula oleh Abdullah bin Rawahah. Beliau maju ke hadapan sambil menunggang kudanya. Beliau cuba untuk turun dari kudanya, tetapi jiwanya mula teragak-agak untuk berbuat demikian, sehingga beliau menyengetkan tubuhnya sambil mengungkapkan syair:
Aku bersumpah hai jiwa,
turunlah kamu sama ada terpaksa atau rela hati.
Tidakkah manusia sudah bertempik menjerit melolong
Mengapa kulihat engkau bencikan syurga.
Lalu, beliau pun turun. Seorang sepupunya datang membawa sekeping daging dan berkata, “Kuatkan tubuhmu dengan memakan daging ini kerana engkau telah berhempas-pulas dalam peperangan ini.” Abdullah mengambil daging itu dan digigitnya sekali, kemudian dibuangnya dari tangannya. Setelah itu, beliau mencapai pedangnya lalu maju ke hadapan dan berjuang sehingga terbunuh syahid. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 673)
Tulisan: Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment