Syurga adalah nikmat kurniaan Allah untuk hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Syurga adalah kurniaan Allah terhadap golongan yang memelihara akidah, syariah dan akhlak dengan sebaiknya. Namun begitu, terdapat golongan yang dinafikan untuk menikmati syurga apatah lagi mendapat baunya.
Hakikat inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis yang menyatakan perkara tersebut. Mungkin pada asasnya ia seolah-olah memberi suatu gambaran tentang kemurkaan Allah SWT terhadap sikap dan perangai buruk yang dilakukan oleh seseorang. Malah, ia juga dilihat sebagai peringatan supaya dijauhi perkara atau sifat yang menyebabkan terjadinya keadaan tersebut. Di sini dihuraikan contoh lima golongan yang tidak dapat menghidu bau syurga.
1. Takabbur (Bongkak dan Sombong)
Bongkak dan sombong dikaitkan dengan sikap menafikan hakikat kebenaran lantas angkuh dan sombong serta menafikan orang lain. Sikap ini boleh dikaitkan dengan takabbur yang merupakan sifat keji yang ditegah. Dalam suatu Hadis, Rasulullah SAW pernah menyebut:
Tidak akan masuk ke dalam syurga seseorang yang di dalam hatinya ada setitik kesombongan.
(HR. Muslim)
Maka sewajarnyalah dijauhi sifat atau sikap seperti ini kerana ia bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah, malah mengancam kehidupan sesama insan dan keharmonian hidup dalam masyarakat dan negara.
2. Niat Salah dalam Menuntut Ilmu
Menuntut ilmu adalah tugas mulia dan dipandang tinggi. Ia adalah ibadah yang perlu dilaksanakan dengan niat yang jelas. Kesungguhan, ketekunan dan kegigihan menuntut ilmu hendaklah disemai dengan niat ikhlas untuk diraih keberkatan. Rasulullah SAW memberi peringatan tentang pentingnya niat dalam menuntut ilmu sebagaimana sabda Baginda SAW:
Barangsiapa menuntut ilmu yang seharusnya untuk Allah, namun ia tidak menuntutnya kecuali untuk mencari dunia, maka pada hari kiamat ia tidak akan mendapatkan bau surga.
(HR. Ibnu Majah)
Hadis ini jelas menyatakan keperluan sifat ikhlas dalam menyemai kesungguhan dalam menuntut ilmu. Niatlah untuk beribadat bagi memastikan ilmu dapat mendekatkan diri kepada-Nya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini dengan baik dan sempurna.
3. Berpakaian Tetapi Bertelanjang
Berpakaian tetapi bertelanjang adalah gambaran mereka yang berpakaian dengan tidak sempurna. Sungguhpun pemakainya menutup aurat, namun pakaiannya itu masih menampakkan susuk badannya. Contohnya berpakaian seksi. Perkara ini pernah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
Dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; kaum membawa cambuk seperti ekor sapi, dengannya ia memukuli orang dan wanita-wanita yang berpakaian (tetapi) telanjang, mereka berlenggak-lenggok dan condong (dari ketaatan), rambut mereka seperti punuk unta yang miring, mereka tidak masuk surga dan tidak akan mencium baunya, padahal sesungguhnya bau surga itu tercium dari perjalanan sejauh ini dan ini.
(HR. Muslim)
Di samping itu, di dalam hadis yang lain Nabi SAW turut menjelaskan perkara tersebut seperti berikut:
Perempuan yang memakai baju tetetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan cium bau surga. Sedangkan bau surga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Perkataan ‘kasiyatun ‘ariyat’ adalah membawa maksud berpakaian tetetapi telanjang. Yang jelas, ini adalah suatu peringatan terhadap perempuan yang berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit sekalipun tertutup dengan lapisan kain.
4. Pemutus Hubungan Persaudaraan
Hubungan persaudaraan penting yang wajib dipelihara dengan sebaiknya khususnya dalam kalangan kaum kerabat. Hubungan persaudaraan atau silaturrahim adalah diambil daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” yang bermaksud hubungan dan “الرَّحِمُ ” bererti kaum kerabat yang terdekat. Pemutus silaturrahim adalah mereka yang memutuskan perhubungan dengan kaum kerabat yang terdekat dengan sengaja. Dalam hadis berikut jelas dinyatakan tentang golongan yang memutuskan hubungan silaturrahim sebagaimana sabda Baginda SAW seperti berikut:
Baunya surga dapat dicium sejauh perjalanan 1000 tahun. Demi Allah tidak akan menciumnya seseorang yang mendurhaka kepada ibu bapaknya dan orang yang memutuskan tali persaudaraan, orang tua yang berzina, dan orang yang memanjangkan pakaiannya (melebihi mata kaki) kerana sombong.
(HR. At-Tabrani)
5. Pemimpin Khianati Amanah
Pemimpin adalah mereka yang dipertanggungjawab memikul amanah terhadap orang bawahannya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Pemimpin yang adil tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan dan melaksanakan tugasan kepimpinan dengan sebaiknya. Namun, pemimpin yang khianat bakal mendapat balasan buruk sehingga tidak mampu menghidu bau syurga. Hakikat ini sebagaimana disebut dalam hadis seperti berikut:
Mana-mana pemimpin yang dipilih oleh Allah untuk menjaga rakyatnya, tetapi tidak memberi teladan yang baik kepada mereka melainkan mereka tidak dapat mencium bau syurga.
(HR. Bukhari)
Rumusan
Kemurkaan Allah SWT terhadap sesuatu golongan bukan hanya kerana akidah yang salah semata-mata. Sesuatu amalan dan perbuatan turut menjadi sebab kepada kemurkaan Allah SWT. Hakikat inilah yang memerlukan setiap insan berhati-hati dan berwaspada agar tidak tergolong dalam golongan yang dihalang untuk memasuki syurga dan mencium baunya. Sehubungan dengan itu, binalah diri dengan akidah dan pegangan yang benar, beramallah sebaik mungkin perintah dan syariat-Nya dan hiasilah diri dengan kemurniaan akhlaknya. Dengan itu kita terhindar daripada golongan yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis di atas.
Oleh: Dr. Khairul Anuwar Mustaffa Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment