Doa Ayah Sa’id bin Zaid r.a
Zaid bin Amr bin Nufail (ayah Sa’id bin Zaid r.a) mendendangkan dan melagukan bait-bait syair, lalu dia memandang ke arah Kaabah lalu berkata, “Aku datang untuk memenuhi panggilan-Mu, wahai Tuhanku. Aku datang untuk memenuhi panggilan-Mu dengan sebenar-benarnya.”
Zaid bin Amr bin Nufail merupakan putera dari bapa saudara Umar bin Khattab r.a. Dia hidup sebelum Islam datang dan sebelum diutusnya Rasulullah SAW. Dengan fitrah atau tabiatnya yang lurus, dia pun mendapat petunjuk untuk menyembah Allah SWT, sehingga dia tidak pernah menyembah berhala-berhala ataupun menyembelih binatang untuk dipersembahkan kepada berhala-berhala itu seperti yang biasa dilakukan oleh kaum musyrikin di Mekah pada ketika itu.
Dia pernah berkata kepada penduduk Mekah, “Wahai kaum Quraisy, Allah telah menurunkan hujan untuk kamu, menumbuhkan tanaman untuk kamu, dan menciptakan kambing untuk kamu, tetapi mengapa kamumenyembelih binatang-binatang ini untuk selain Allah? Bagaimana hal ini boleh terjadi?”
Mendengar ini, Khattab bin Amr bin Nufail pun berdiri dan memukul mukanya, lalu dia berkata kepadanya: “Celakalah kamu, sesungguhnya kita sudah terlalu bersabar terhadapmu.”
Kemudian, Khattab menyeksanya dengan seksaan yang pedih, hingga akhirnya Zaid pun terpaksa keluar dari Mekah. Dia tidak pernah kembali ke Mekah, kecuali dengan sembunyi-sembunyi. Itu kerana dia merasa takut kepada bapa saudaranya, Khattab ayah Umar r.a.
Di Mekah Zaid bin Amr mengadakan pertemuan dengan Waraqah bin Naufal, Abdullah bin Jahsy, dan Umaimah binti Harits (ibu saudara Rasulullah SAW). Selain mereka, dalam pertemuan itu ada juga Uthman bin Huwairits.
Zaid berkata kepada mereka, “Demi Allah, kamu semua telah mengetahui bahawa kaum kamu telah menyimpang dari ajaran-ajaran agama Ibrahim. Mengapa kita bertawaf mengelilingi batu yang tidak boleh mendengar dan melihat serta tidak dapat memberikan mudarat dan juga manfaat? Wahai kaum, carilah agama untuk kamu semua. Demi Tuhan, kita bukanlah apa-apa.”
Mereka kemudian bertaburan ke segala penjuru negeri untuk mencari agama yang benar. Adapun Waraqah bin Naufal telah memeluk agama Masehi, sementara Abdullah bin Jahsy dan Uthman bin Huwairits masih meneruskan pencarian terhadap agama yang benar itu, hingga akhirnya datanglah Islam. Abdullah bin Jahsy pun beriman dan masuk Islam, hingga akhirnya dia terbunuh sebagai syahid dalam perang Uhud, lalu dia digelar “Asy-Syahid Al-Mujadda” (syahid yang tangannya terpotong).
Tinggallah Zaid bin Amr yang telah pergi ke negeri Syam untuk mencari agama Ibrahim a.s, hingga akhirnya dia bertemu dengan seorang pendeta di Syam. Dia menceritakan hal itu kepada pendeta tersebut. Si pendeta pun berkata, “Sesungguhnya kamu sedang mencari agama yang sudah tidak ada. Oleh kerana itu, pulanglah ke Mekah, kerana sesungguhnya Allah akan mengutus kepada orang yang memperbaharui agama Ibrahim itu. Pergilah, lalu berimanlah kepadanya dan ikutilah dia!”
Ketika Zaid masih berada dalam perjalanan menuju Mekah, Rasulullah telah diutus sebagai rasul. Ketika itu Zaid belum mengetahui bahawa Rasulullah telah diutus. Sayangnya, kematian telah lebih dulu menjemputnya sebelum dia beriman. Dia telah dibunuh oleh orang Badwi (Arab pedalaman).
Ketika kisah ini diceritakan kepada Nabi SAW, baginda pun menceritakan tentang latar belakang Zaid, “Sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat (nanti) seorang diri sebagai satu umat (yang terpisah).”
Menjelang hembusan nafas terakhirnya, Zaid berkata, “Ya Allah, jika Engkau memang tidak menghendaki kebaikan ini (agama Islam) untukku, maka janganlah Engkau halangi anakku (Sa’id) darinya.”
Doa Zaid ini masih tergantung di antara langit dan bumi, hingga pada suatu hari ketika Sa’id sedang berada di Mekah, dia mengetahui bahawa Rasulullah telah diutus. Oleh itu, dia bersama-sama isterinya, Fatimah binti Khattab, yang merupakan saudara perempuan Umar bin Khattab, segera beriman kepada Rasulullah SAW.
Sa’id bin Zaid Antara Yang Pertama Memeluk Islam
Keislaman mereka berdua itu terjadi pada awal munculnya Islam, sebelum masuknya Rasulullah SAW dalam rumah Arqam bin Abi Arqam (Darul Arqam).
Sa’id masih merahsiakan keimanannya dan dia sangat sabar menghadapi seksaan dari kaumnya, sehingga dia pun tidak diusir dari Mekah, seperti yang dialami oleh orang tuanya. Akan tetapi kemudian, Umar mengetahui keimanan Sa’id. Umar pun hendak membunuhnya, lalu dia memukulnya hingga darah mengalir dari wajah Sa’id. Akan tetapi, kesabaran Sa’id dalam menghadapi sikap Umar inilah yang menjadi salah satu faktor penyebab masuknya Umar ke dalam Islam.
Sa’id pergi berhijrah ke Madinah bersama isterinya, Fatimah. Sebelum terjadinya perang Badar, Rasulullah SAW telah memilihnya dan mengutusnya untuk pergi bersama Thalhah bin Ubaidillah dengan tujuan agar dia mengetahui jumlah pasukan kaum musyrikin dan mengintip gerak-geri mereka. Oleh kerana itu, Sa’id pun tidak ikut serta dalam peperangan Badar. Akan tetapi, Rasulullah SAW telah memberinya bahagian ghanimah (harta rampasan) yang diperolehi dalam perang tersebut. Dia dianggap seperti orang yang ikut serta dalam perang.
Sa’id bin Zaid Dijanji Syurga Oleh Rasulullah SAW
Selepas itu Sa’id ikut serta dalam setiap peperangan Rasulullah SAW. Dia bertempur dengan menggunakan pedangnya dan beriman dengan menggunakan hatinya. Bahkan pada suatu hari dia pernah bersama Rasulullah SAW di gua Hira’ dengan para sahabat lainnya. Ketika itu tiba-tiba gunung Hira’ bergetar, maka nabi SAW bersabda,”Tenanglah, wahai Hira’, kerana sesungguhnya tidak ada yang berada di atasmu, kecuali seorang nabi, seorang yang membenarkan (as-siddiq), dan seorang syahid.”
Ketika orang-orang bertanya kepada Sa’id, “Siapakah yang bersamamu pada ketika itu?”
Sa’id pun menjawab, “Abu Bakar, Umar, Uthman, ‘Ali, Zubair, Thalhah, Abdur Rahman bin ‘Auf, dan Sa’ad bin Malik.”
Rasulullah SAW juga bersabda tentang Sa’id, “Sa’id bin Zaid di syurga.”
Sa’id merupakan salah satu dari sepuluh orang yang mendapat khabar gembira bakal masuk syurga. Semoga Allah SWT meredhainya. Dia memegang teguh janjinya kepada Rasulullah untuk memerangi kaum musyrikin di negeri Parsi, sehingga melalui tangannya dan juga tangan sahabat-sahabatnya, Allah SWT pun memadamkan api yang menjadi sembahan kaum Majusi; dan berkat perjuangannya juga para penduduk Parsi beriman kepada Allah SWT.
Sa’id Berperang Di Jalan Allah – Menakluki Parsi dan Rom
Setelah penaklukan terhadap negeri Parsi selesai, Sa’id tidak tinggal diam. Dia mengangkat pedang dan barang-barangnya untuk pergi ke negeri-negeri lain yang sedang diperangi oleh kaum muslimin. Kali ini sasarannya adalah negeri Syam di mana pada ketika itu sedang berlangsung pertempuran yang sangat sengit antara kaum muslimin dengan bangsa Romawi, iaitu perang Yarmuk.
Di atas kertas, nampaknya kemenangan lebih dekat kepada pasukan Romawi, kerana jumlah mereka sangat banyak, sementara jumlah kaum muslimin sangat sedikit.
Kekalahan bangsa Romawi bererti jatuhnya negeri Syam secara keseluruhan ke tangan kaum muslimin. Kerananya, kedua pasukan itu pun sama-sama mempersiapkan dirinya sebaik mungkin untuk menghadapi pertempuran ini. Pasukan Romawi datang dengan pasukan seramai 120,000 orang, sedangkan kaum muslimin hanya jumlah pasukan kaum seramai 24,000 orang sahaja. Kedua pasukan ini saling berhadap-hadapan.
Para pendeta dan bishop datang sambil membawa salib-salib mereka sambil menguatkan suara mereka untuk membaca doa-doa. Ketakutan pun meresap ke dalam hati kaum muslimin ketika pasukan Romawi mengulang-ulang doa-doa tersebut. Suara mereka laksana gunung-gunung yang bergeser dari tempatnya.
Pemimpin kaum muslimin yang bernama Abu Ubaidah bin Jarrah berdiri untuk memberikan khutbah kepada kaum muslimin. Dia berkata, “Wahai hamba-hamba Allah, tolonglah Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kaki-kaki kamu. Bersabarlah, sesungguhnya
kesabaran akan menyelamatkan kamu dari kekufuran dan akan menyebabkan kamu diredhai oleh Tuhan. Teruslah kamu diam hingga aku memberikan perintah kepada kamu. Ingatlah selalu kepada Allah SWT.”
Di antara kaum muslimin, keluarlah seorang lelaki. Dia berkata kepada Abu Ubaidah, “Wahai Abu Ubaidah, sekarang aku akan pergi dengan harapan aku dapat gugur sebagai syahid dan aku akan keluar untuk memerangi mereka. Apakah kamu mempunyai pesan yang akan kamu kirimkan kepada Rasulullah SAW?”
Abu Ubaidah menjawab, “Ya. Kirimkan salam dari kami untuk baginda, dan katakan kepada baginda bahawa kami telah mengetahui bahawa apa yang dijanjikan oleh Tuhan kami kepada kami adalah benar.”
Melihat itu, Sa’id bin Zaid r.a. pun berkata, “Ketika aku melihat lelaki tersebut telah menaiki kudanya, menghunus pedangnya, dan melesat menuju musuh-musuh Allah untuk memerangi mereka, aku pun meletakkan lututku ke tanah, lalu aku melemparkan anak panahku ke arah seorang anggota pasukan berkuda dari bangsa Romawi. Ketika itu Allah SWT menghilangkan rasa takut dari dalam hatiku. Maka, aku pun terus masuk menembusi barisan musuh. Aku memerangi mereka hingga Allah SWT memberikan kemenangan kepada kami.”
Abu Ubaidillah telah mengetahui dengan baik kesungguhan keimanan Sa’id. Kerananya Abu Ubaidillah pun menyerahkan tugas penaklukan Damsyik kepada Sa’id, lalu dia menjadikan Sa’id sebagai gabenor di sana. Ketika semua orang yang hidup pada masanya sudah kembali ke rahmatullah, Sa’id bin Zaid masih tetap hidup hingga masa pemerintahan Bani Umayyah.
Pada masa pemerintahan Bani Umayyah, Sa’id bin Zaid r.a. menangisi sahabat-sahabat Islam yang telah meninggal sebelumnya. Tinggallah dia seorang diri menyaksikan terjadinya fitnah (rusuhan) dan menyaksikan bagaimana kehidupan dunia dengan segala macam perhiasannya telah masuk ke dalam hati kaum muslimin, maka Sa’id pun memilih untuk kembali ke Madinah dan tinggal disana. Pada waktu itu yang menjadi gabenor di Madinah adalah Marwan bin Hakam bin ‘Ash.
Doa Orang Teraniaya Dikabul Allah SWT
Ketika itu seorang wanita yang bernama Arwa binti Uwais keluar, lalu dia berkata,”Sesungguhnya Sa’id telah mencuri tanahku dan telah memasukkannya ke bahagian tanahnya.” Sungguh perkataan itu sangat menyakitkan hati Sa’id bin Zaid r.a., sahabat Rasulullah SAW dan salah satu dari sepuluh orang yang mendapat khabar gembira berupa syurga. Oleh itu, Sa’id pun berkata, “Ya Allah, jika dia berbohong, maka hilangkanlah penglihatannya dan bunuhlah ia di tanahnya sendiri.”
Seketika itu juga hujan turun dari langit hingga sempadan tanah yang menurut wanita itu Sa’id telah melampaui sempadan tersebut. Seketika mata wanita itupun menjadi buta dan hanya selang beberapa hari, wanita itu terjatuh dalam sebuah lubang yang berada di tanah miliknya hingga dia meninggal dunia. Allah SWT mengabulkan doa Sa’id bin Zaid r.a. yang dizalimi dan telah dituduh sebagai seorang pembohong dan pendusta.
Pada suatu pagi penduduk Madinah dikejutkan oleh suara seorang pelayan yang menangisi pemergian Sa’id bin Zaid r.a.. Peristiwa itu terjadi pada masa kekhalifahan Muawiyah bin Abi Sufyan, tepatnya pada tahun ke-50 Hijrah. Dia di kuburkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas Abdullah bin Umar r.a. Salam sejahtera baginya.
Sumber: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Astarul Kiraam
Leave a comment