Cerita Neraka Dari Al-Quran Dan Al-Hadith 

Mempercayai wujudnya syurga dan neraka merupakan salah satu daripada rukun Iman selepas beriman dengan hari akhirat. Perkataan “النار” apabila diterjemahkan kepada Bahasa Melayu adalah bermaksud api. Manakala dari sudut istilahnya ialah tempat tinggal mereka yang kufur serta dimurkai oleh Allah SWT sepertimana syurga merupakan tempat tinggal orang beriman dan diredhai Allah SWT. Secara amnya gambaran neraka di dalam al-Quran dan al-Hadis merupakan sesuatu yang menakutkan lalu menginsafkan orang mukmin. Oleh yang demikian penulis akan memberikan beberapa gambaran neraka yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadis.

Suhu Kepanasan Api Neraka

Tercatat dalam suatu riwayat Rasulullah SAW menggambarkan kepada para sahabat bagaimanakah suhu api neraka. Daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Api dunia yang kamu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api nereka.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulllah, meskipun semua dikumpulkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Ia lebih panas 69 kali.”

(Riwayat Muslim) 

Dapat diteliti daripada hadis di atas, 69 kali ganda daripada kepanasan api di dunia, bahang panasnya sudah tentu terasa dari jarak yang sangat jauh. Sepertimana bahang panas api di dunia yang kita dapat rasakan apabila mendekatkan tangan dekat dengan api. Bahang panas dari jauh ini sahaja sudah memadai membuatkan ahli neraka menyesal sebelum diseret dengan rantai dan dihumban ke dalamnya. Suhu panas ini juga diceritakan dalam surah an-Naba’ yang bermaksud:

“Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya”

(Surah An-Naba’ 78:24) 

Warna Api Neraka

Bentuk dan keadaan api neraka dijelaskan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat RA secara terperinci termasuklah warnanya. Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

“Neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga ia menjadi amat merah, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi amat putih, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi amat putih, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi hitam pekat.”

Mendengar bahawasanya api neraka dipanaskan selama beribu tahun sahaja telah membuatkan kita tercengang. Apatah lagi sekiranya menggambarkan warna apinya yang hitam. Boleh difahami daripada api neraka yang hitam ini, tiada cahaya disebalik nyalaan api tersebut seperti di dunia kerana hitam pekat apinya. Sekali lagi gambaran ini sudah tentu membangkitkan rasa keinsafan kerana berada dalam kegelapan merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh manusia secara fitrahnya. 

Air Minuman Dalam Api Neraka

Ahli neraka juga diberi minuman kerana mereka meminta untuk minum dek kehausan kerana kepanasan. Namun, air yang tersedia bagi mereka adalah yang sangat panas bahkan sangat kotor. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu); dan selain daripada itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.”

(Surah Ibrahim 14:16-17)

Ibnu Abbas menyebutkan bahawasanya air ini adalah hasil daripada benda yang mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadah, lalu diberi minum kepada ahli neraka yang lainnya. 

Manakala tentang kepanasan airnya firman Allah SWT:

“Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air nanah yang mengalir.”

(Surah al-Naba’ 78: 24-25)

Terdapat pandangan daripada Ibnu Abbas RA menyatakan tentang ayat ini bahawa: Nama air ini adalah hamim dan ia adalah air yang panas yang membakar. Air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah menciptakan langit dan bumi sehinggalah tibanya waktu ketika penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala mereka sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka.

Makanan Ahli Neraka 

Sepertimana mereka dahaga, ahli neraka juga kelaparan dan meminta supaya diberikan makanan. Lalu mereka diberi makan daripada pohon yang berduri yang pada hakikatnya tidak boleh di makan. Kerana terlalu kelaparan mereka memakannya juga lalu tertusuk mulut, rengkung dan perut mereka.

Firman Allah SWT:

“Tiada makanan bagi mereka (di neraka) selain daripada pokok-pokok yang berduri. (Makanan) yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.”

(Surah al-Ghasyiyah 88:6-7)

Walhal makanan yang terpaksa dimakan oleh mereka berupa pohon berduri tersebut tidak juga menghilangkan kelaparan mereka. Mereka kekal dalam kelaparan selama berada dalam api neraka. Keempat-empat gambaran di atas menggambarkan betapa teruknya keadaan api neraka. Suhunya, warnanya, minuman dan makanannya. Belum lagi dilihat apakah kehidupan mereka yang berada dalam api neraka tersebut. Bagaimanakah mereka mampu menghadapi azab seksaan selama-lamanya. Tidak sedikitpun diringankan azab ke atas mereka. 

Sudah tentulah penyesalan demi penyesalan. Rayuan demi rayuan dibuat oleh mereka kepada malaikat-malaikat penjaga api neraka. Begitu juga tohmahan demi tohmahan dilemparkan sesama mereka dengan menyebut, merekalah yang menyebabkan kami berada dalam api neraka. 

Gambaran api neraka pada hakikatnya cukup membuatkan seorang yang mukmin dengan janji-janji Allah SWT dan Rasul-Nya berasa gentar. Lalu lahirlah perasaan takut iaitu taqwa. Taqwa ini akan memandu mereka di dunia untuk melaksanakan segala arahan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. 

Oleh Dr. Muhammad Ikram bin Abu Hassan Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑