10 Amalan Dijauhi Neraka

Terdapat beberapa amalan yang dapat menjauhkan diri umat Islam daripada dimasukkan ke dalam neraka yang dahsyat. Berikut adalah 10 amalan yang boleh dilakukan umat Islam bagi mengelakkan diri daripada dimasukkan ke dalam neraka berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW: 

1. MengEsakan Allah SWT 

Sesiapa yang mengucapkan syahadah, maka Allah SWT akan menjauhkannya daripada neraka. Sabda Rasulullah SAW:

Tidak ada seorang hamba yang mengucap Lailaha illa Allah wa anna Muhammad Rasulullah dengan penuh ikhlas dan membenarkan dalam hatinya melainkan Allah SWT akan mengharamkan ke atas dirinya neraka,

(Riwayat Bukhari dan Muslim) 

2. Amalan Solat Sunat Empat Rakaat Sebelum dan Sesudah Zohor 

Allah SWT akan memelihara seseorang daripada neraka sekiranya dia sering melakukan amalan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas Zohor. Sabda Rasulullah SAW:

Siapa yang memelihara empat rakaat (sunat) sebelum dan selepas Solat Zohor, nescaya Allah SWT mengharamkannya untuk masuk ke dalam neraka

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)

3. Berjuang Di Jalan Allah SWT 

Sesiapa yang berjuang demi agama Allah SWT sehingga berdebu kakinya (dengan penuh kesungguhan), maka Allah SWT akan mengharamkan dirinya daripada dibakar di dalam neraka. Daripada Abu Abbas Abdurrahman bin Jabr RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang berdebu kakinya kerana berjuang di jalan Allah, maka Allah akan mengharamkan dirinya daripada neraka.

(Riwayat Bukhari) 

4. Sujud Kepada Allah SWT Dengan Penuh Penghayatan Dan Keinsafan 

Allah SWT akan mengharamkan neraka bagi sesiapa yang solat dengan sempurna terutama ketika sujud. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

Allah mengharamkan neraka dari membakar kesan sujud (atau solat yang sempurna).”

(Riwayat Bukhari dan Muslim) 

5. Tidak Melihat Perkara-Perkara Yang Haram 

Sesiapa yang menahan diri daripada melihat perkara-perkara yang haram akan diselamatkan daripada neraka. Sabda Rasulullah SAW:

Tiga mata yang tidak akan melihat neraka Allah SWT: Mata yang berjaga dalam perjuangan di jalan Allah, mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang menunduk tidak melihat perkara yang diharamkan oleh Allah”.

(Riwayat al-Tabrani) 

6. Berakhlak Mulia, Berlemah Lembut Dan Sering Memudahkan 

Perbaikilah akhlak kita serta janganlah kita menyakiti yang lain. Hal ini kerana akhlak berupaya menjadi pendinding buat diri kita daripada dibakar di dalam neraka Allah SWT. Daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda

Hendakkah kamu aku beritahu perkara yang menyebabkan dirimu diharamkan daripada dibakar oleh neraka? Iaitu setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.

(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad) 

7 & 8. Menangis Kerana Takutkan Allah SWT Dan Berjaga Malam Kerana Berjuang Di Jalan Allah SWT 

Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa mata yang menangis kerana takutkan Allah SWT dan mata yang berjaga malam kerana Allah SWT, maka matamata ini tidak akan dibakar oleh neraka. Sabda Rasulullah SAW:

Tiga mata yang tidak akan melihat neraka Allah: Mata yang berjaga dalam perjuangan di jalan Allah, mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang menunduk tidak melihat perkara yang diharamkan oleh Allah”.

(Riwayat al-Tabrani) 

9. Bersabar Di Atas Kematian Anak 

Allah SWT akan mengharamkan neraka buat mereka yang bersabar dan reda di atas kematian anaknya. Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Seorang muslim yang meninggal dunia tiga orang anaknya, maka apabila disentuh oleh api neraka, maka tidak ada baginya kecuali sambil lalu sahaja (tidak disentuh api neraka).

(Riwayat Bukhari dan Muslim) 

10. Memberi Makan Kepada Anak-Anak 

Memberi makan kepada anak-anak akan dijauhi daripada azab neraka. Daripada Aisyah RA berkata:

Telah datang seorang wanita bersama dua anaknya kepadaku untuk meminta sesuatu. Namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Wanita itu lalu membelah kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua anaknya, sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itu Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku menceritakan peristiwa itu. Maka Baginda SAW bersabda: Siapa yang memberikan sesuatu kepada anak-anak ini, maka ia akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka.

(Riwayat Muslim) 

Demikianlah antara amalan-amalan yang dititipkan oleh baginda Rasulullah SAW. Semoga kita dikurniakan hidayah dan kekuatan untuk mengamalkan amalan-amalan tersebut secara beristiqamah bagi menjauhkan diri daripada dicampakkan ke dalam neraka Allah SWT yang amat dahsyat.

Oleh: Dr. Halim Bin Ismail Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Majalah Sinar Rohani, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑