Suatu ketika, Saidina Uthman bin Affan berdiri berhampiran dengan sebuah kubur dalam keadaan menangis sehingga basah janggutnya. Beliau kemudiannya ditegur, “Ketika tuan mengingati Syurga dan Neraka, tuan tidak menangis begini. Tetapi kenapa tuan menangis kerana ini (kubur)?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: Alam kubur adalah tempat singgah pertama dari alam Akhirat. Jika seseorang selamat darinya, maka apa selepas itu akan lebih ringan darinya. Jika tidak selamat darinya, maka apa selepas itu akan lebih berat darinya. Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah, aku tidak pernah melihat tempat yang lebih mengerikan sama sekali melainkan perkuburan. (Hadith Riwayat Ahmad)
Apakah itu Azab Kubur?
Azab kubur adalah seksaan yang akan menimpa orang yang meninggalkan perintah Allah SWT ketika hidupnya di dunia. Ketika rohnya sedang ditarik oleh malaikat maut, orang yang meninggalkan perintah Allah SWT ketika hidupnya akan diperlihatkan oleh Allah SWT tentang kesudahannya di Akhirat nanti.
Perasaan gerun dan takut untuk bertemu dengan Allah SWT akan menyelubungi dirinya. Malaikat maut pun akan merentap roh mereka dengan rentapan yang dahsyat. Setelah jasadnya ditanam di dalam kubur, rohnya akan dikembalikan. Pada saat itu, akan datang dua malaikat yang akan menyoal beberapa soalan.
- Siapakah Tuhan kamu?
- Apakah agamamu?
- Siapakah lelaki yang diutuskan kepada kamu?
- Apakah amalan kamu?
Soalan-soalan ini tidak dijawab dengan pengetahuan, sebaliknya dengan amalan seseorang. Sekiranya baik amalan si mati, maka dia akan dapat menjawab dengan lancar. Sebaliknya, jika si mati bukan di kalangan mereka yang membuat amal kebajikan, bahkan sentiasa menderhakai Allah SWT ketika hidupnya, maka dia tidak akan dapat menjawab soalan-soalan tersebut.
Setiap kali dia gagal menjawab soalan malaikat tadi, dia akan diazab. Setelah itu, dia akan didatangi oleh seseorang. Jika baik amalannya, orang itu akan datang dengan wajah yang baik dan menyenangkan. Jika buruk amalannya, orang itu akan datang dengan wajah yang mengerikan.
Itulah amal kebaikan yang dilakukan ketika di dunia yang hadir dengan rupa manusia. Amalan itulah yang akan menemaninya sepanjang dia berada di alam barzakh. Demikianlah keadaan dia di alam barzakh. Sekiranya dia seorang yang baik, maka dia akan berada dalam kenyamanan.
Sekiranya dia seorang yang jahat, maka dia akan berada dalam kesengsaraan. Sehinggalah tiba masanya Allah SWT membangkitkan semula orang-orang yang telah mati ini pada hari Kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran yang selayaknya mengikut apa yang mereka amalkan ketika di dunia.
Apakah Sebab-Sebab Berlakunya Azab Kubur?
Secara umumnya azab kubur disediakan kepada orang-orang yang menderhakai Allah SWT ketika hidupnya di dunia. Namun begitu terdapat beberapa hadis yang menerangkan secara khusus beberapa perkara yang menyebabkan seseorang itu diazab di alam barzakh. Antaranya hadis ketika Rasulullah SAW melalui sebuah kebun, Baginda terdengar suara orang yang sedang diseksa di dalam kubur mereka. Sabda Rasulullah SAW:
Keduanya sedang diseksa dan keduanya tidak diseksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Benar, salah seorang daripada mereka tidak membersihkan kencingnya dengan teliti dan yang seorang lagi selalu mengadu domba. (Hadith Riwayat An-Nasa-i)
Hadis di atas berakhir dengan Rasulullah SAW mengambil pelepah kurma, mematahkannya supaya menjadi dua dan dipacakkan ke atas kubur masing-masing supaya dapat meringankan azab selama mana pelepah itu belum kering. Sekiranya dua perkara seperti di atas yang selalu berlaku di sekeliling kita pun diazab sehingga didengari oleh Rasulullah SAW, maka apa pula keadaannya bagi mereka yang melakukan dosa yang lebih besar?
Bagaimanakah Cara untuk Menghindari daripada Azab Kubur?
Menyedari bahawa alam barzakh adalah satu alam yang menakutkan, dan azab kubur adalah sesuatu yang dahsyat, maka seharusnya kita sebagai seorang muslim berusaha sedaya upaya untuk menghindarkan diri kita semua daripada terdedah kepada bahaya azab kubur.
Antara usaha yang boleh dilakukan di dunia ini adalah:
1. Meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT Iman dan taqwa merupakan asas untuk menghadapi kematian dan alam selepas kematian. Dengan meningkatkan iman dan taqwa, secara langsung kita akan lebih terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat.
2. Meningkatkan amal ibadah. Cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah dengan memperbaiki kualiti dan memperbanyakkan ibadah. Sekiranya seseorang hamba itu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dengan perkara-perkara sunat, tidak mustahil untuk dia dicintai Allah SWT, dan orang yang dicintai Allah SWT tentulah akan diselamatkan daripada azab kubur.
3. Menjaga hubungan sesama manusia. Sebahagaimana hadis di atas, mengadu domba merupakan salah satu sebab seseorang itu diazab di dalam kubur. Oleh itu, hubungan sesama manusia juga perlu dijaga mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat.
4. Menghindari dosa-dosa besar. Sekiranya dosa-dosa seperti tidak membersihkan kencing dengan teliti dan mengadu domba yang boleh berlaku banyak kali dalam seharipun diazab di dalam kubur, apatah lagi dosa-dosa besar seperti syirik, bunuh dan zina. Sudah tentulah lebih teruk dan lebih dahsyat. Kerana itu semua dosa besar yang seharusnya dijauhi.
5. Sentiasa berdoa. Doa merupakan senjata yang paling hebat untuk menghindari azab kubur. Dalam satu hadith diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah RA telah bertemu dengan seorang wanita Yahudi yang menceritakan kepadanya tentang azab kubur. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda: Semoga Allah melindungimu dari seksa kubur. Saidatina Aisyah kemudiannya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang azab kubur. Baginda menjawab: Ya benar, azab kubur itu ada. Sejak daripada itu, Saidatina Aisyah tidak melihat Rasulullah SAW solat melainkan selepas itu Baginda memohon pertolongan daripada azab kubur. (Hadith Riwayat Bukhari)
6. Membaca Al-Quran terutamanya surah Al-Mulk Rasulullah SAW pernah bersabda: Ada satu surah dari Al-Quran yang terdiri daripada 30 ayat dan dapat memberi syafaat bagi yang membacanya, sehingga dia diampuni, iaitu Surah al-Mulk. (Hadith Riwayat Abu Daud)
Kesimpulan
Azab kubur merupakan seksaan yang sangat dahsyat bagi orang yang melakukan dosa di dunia. Oleh kerana itu, sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab atas amal perbuatannya di dunia, kita perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan selepas kematian dengan meningkatkan iman dan taqwa, meningkatkan amal ibadah, menjaga hubungan sesama manusia, menghindari dosa-dosa terutamanya dosa-dosa besar dan selalu berdoa. Jika dilakukan semua ini secara berterusan dan ikhlas, mudah-mudahan akan membantu kita untuk menghadapi kematian dan kehidupan selepas kematian.
Sebagai seorang muslim juga, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita dan orang lain bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan kita semua akan kembali bertemu dengan Allah SWT. Marilah sama-sama kita mempersiapkan diri kita sebaik-baiknya agar kita dapat melaluinya dengan tenang. Semoga Allah SWT sentiasa memberi hidayah dan taufiq kepada kita serta perlindungan dan pertolongan. Amin ya rabbal alamin.
Mohd Ramadhan Syakir bin Awang Pegawai Tadbir, Universiti Sultan Zainal Abidin
Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment