أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَكُمْ خَلَـٰٓئِفَ ٱلْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍۢ دَرَجَـٰتٍۢ لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلْعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۢ (١٦٥)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-78 pada 11 Disember 2023 ini, maka hayatilah khutbah yang akan disampaikan yang bertajuk “Penjaga Kemuliaan Agama Islam.”
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(2) memperuntukkan Raja adalah sebagai Ketua Agama Islam bagi negerinya dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu. Sebagaimana juga yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 Perkara 48, Duli Yang Maha Mulia Sultan hendaklah menjadi Ketua Agama Negeri dan boleh menyebabkan diperbuat undangundang bagi maksud mengawal selia hal ehwal agama Islam dan menubuhkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 165 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-An’am 6: 165)
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Selaras dengan peruntukan tersebut, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 digubal bagi memperuntukkan bidang kuasa dan tanggungjawab MAIS serta agensi Islam yang lain terhadap agama Islam dan umat Islam di dalam Negeri Selangor.
MAIS ditubuhkan di bawah seksyen 4(1) berperanan sebagai badan penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan merupakan pihak berkuasa utama selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkaraperkara yang berhubungan dengan agama Islam di negeri Selangor kecuali perkara-perkara yang berkenaan dengan penentuan Hukum Syarak dan Pentadbiran Keadilan. Enakmen tersebut turut memperuntukkan fungsi MAIS untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkaraperkara yang berhubungan dengan agama Islam, tanggungjawab dan kuasa-kuasa MAIS dalam mentadbir hal ehwal agama Islam di dalam Negeri.
Dalam melaksanakan dasar-dasar dan kuasa-kuasa MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) iaitu agensi di bawah kerajaan Negeri Selangor telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu melaksanakan dasar-dasar dan kuasa-kuasa MAIS. Manakala perkara berkaitan pelaksanaan fungsi-fungsi kehakiman Islam dan pentadbiran keadilan, MAIS berperanan untuk menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di bawah Seksyen 56, 57 dan 58 Enakmen yang sama.
Segala perkara berhubung penubuhan Mahkamah dan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Syariah perlu dibuat melalui MAIS. Selanjutnya, dalam perkara berkaitan Hukum Syarak, Duli Yang Maha Mulia Sultan berkuasa melantik Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Selangor bagi menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkaitan dengan semua perkara Hukum Syarak. Seksyen 46 memperuntukkan, MAIS mempunyai kuasa dalam melantik anggota Jawatankuasa Fatwa.
Jawatankuasa Fatwa mempunyai kuasa untuk menyediakan fatwa atas apaapa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri dalam pentadbiran agama Islam melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam (EXCO Kerajaan Negeri) yang berfungsi sebagai liaison officer di antara MAIS dan Kerajaan Negeri bagi perkara berikut:
1. Memberi pandangan dan memastikan dasar-dasar MAIS mengenai hal ehwal Islam dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
2. Memastikan peruntukan daripada kerajaan negeri kepada JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Mahkamah Syariah digunakan dengan sewajarnya selaras dengan tujuan peruntukan itu diberikan di Negeri Selangor.
3. Memberi pandangan tentang penggubalan polisi dan pelaksanaannya mengenai hal ehwal Islam di Negeri Selangor.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj sejak menduduki tampuk pemerintahan sangat prihatin kepada pelaksanaan prinsip-prinsip Islam, ancaman-ancaman yang menggugat kesucian agama Islam dan memastikan umat Islam sentiasa memperkukuhkan kekuatan dan kesatuannya. Semua perkara-perkara ini telah dilaksanakan dengan penuh pertimbangan, kesaksamaan dan adil kepada semua rakyat. Ini selaras dengan Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 26:
ۚيَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ
َ“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”
(Sad 38:26)
Baginda Sultan telah mengarahkan MAIS supaya mempertahankan penggunaan kalimah ‘Allah’ dan menegaskan dalam titahnya supaya rakyat Negeri Selangor yang bukan beragama Islam akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana diperuntukkan dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Ini termasuklah penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat perniagaan atau bangunan.
Titah baginda lagi, kalimah Allah tidak boleh diletakkan di tempat salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam. Imam al-Ghazali berkata dalam kitabnya berjudul al-Iqtisad fi al-I’tiqad:
“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.”
Baginda amat mengambil berat tentang pentingnya perpaduan dan persaudaraan umat Islam di Selangor. Titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor 2023-2025 di Istana Alam Shah;
“Beta amat tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian. Masjid hendaklah menjadi tempat yang bebas dari sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian. Kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid-masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, menfitnah dan mencaci mana-mana pihak. Jika perkara ini berlaku ia akan menyebabkan persengketaan berpanjangan dan akan merosakkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam,”.
Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,
Keprihatinan Baginda dalam mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan dalam menjaga keharmonian masyarakat dalam Negeri Selangor ini telah dizahirkan melalui khutbah-khutbah yang disampaikan melalui mimbar-mimbar masjid.
Sebagai contoh, baginda mengulangi peringatan melalui khutbah yang disampaikan pada 21 Julai 2023 dimana Baginda mengingatkan akan bahayanya perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun apatah lagi memfitnah yang mana ianya tergolong perbuatan dosa besar yang lebih buruk daripada membunuh.
Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bimbang jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor ini akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.
Daripada Tamim al-Dariy Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Agama itu merupakan nasihat”. Kami bertanya : “Untuk siapa?”, Sabda Nabi SAW: “Untuk Allah, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, dan bagi para pemimpin kaum muslimin dan kesemua mereka.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Mawardi menukilkan dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, beliau menyebutkan:
“Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.”
Kesimpulannya, hal ehwal tadbir urus Agama Islam di Selangor adalah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang diterajui oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan dibantu oleh MAIS dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui agensi-agensi Kerajaan Negeri iaitu Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor. Pelaksanaan tanggungjawab dan fungsi setiap agensi tersebut telah diperuntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Sepertimana yang dinyatakan oleh para cendekiawan:
“Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”
Ucapan ini menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, Sultan sebagai suri teladan, maka sudah tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada rakyatnya.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Mengakhiri khutbah ini, marilah kita sama-sama menghayati pengajaran seperti berikut:
1. Umat Islam wajib meneguhkan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Umat Islam wajib mentaati arahan-arahan pemerintah yang adil terutama sekali dalam hal ehwal agama Islam.
3. Umat Islam wajib mencontohi keperibadian Rasulullah SAW.
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًۭا ۚ يَعْبُدُونَنِى لَا يُشْرِكُونَ بِى شَيْـًۭٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (٥٥)
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka (khalifah-khalifah yang berkuasa) dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
( An-Nur : 55)
Tarikh Dibaca: 24 Jamadilawal 1445H/8 Disember 2023M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment