Teks Khutbah Jumaat (WP): Cegah HIV Dan AIDS Tanggungjawab Bersama

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ(٨٣) رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَىٰ لِلْعَـٰبِدِينَ (٨٤)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dibangkitkan dalam kalangan orang yang bertakwa di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Marilah kita melazimi solat berjemaah di masjid dan surau. Sesungguhnya solat mencegah kita daripada kejahatan dan kemungkaran. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Cegah HIV Dan AIDS Tanggungjawab Bersama”.

Sebelum memulakan khutbah, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita banyakkan bermunajat dan berdoa agar Allah SWT memberikan keselamatan, kesabaran dan kemenangan buat penduduk Palestin. Bantulah mereka dengan apa jua cara yang termampu. Mereka sedang menghadapi situasi yang sangat getir akibat serangan yang tidak berperikemanusiaan oleh Zionis-Israel. Bukan sahaja kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak serta wanita bahkan lebih daripada itu mereka turut menghadapi kesusahan mendapatkan bekalan makanan, minuman, tempat tinggal dan kesihatan tambahan pula fasiliti hospital telah rosak dan musnah sehingga menyukarkan para pesakit yang cedera mendapat rawatan yang sebaiknya.

Kita mendoakan semoga Palestin kembali aman dan sejahtera di dalam pemeliharaan Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kehidupan dunia adalah medan ujian buat manusia. Segala bentuk dan jenis penyakit juga merupakan ujian yang datang daripada Allah SWT. Ia bertujuan menguji hamba-hamba-Nya supaya sedar, insaf dan kembali mendekatkan diri kepada-Nya. Ujian ini tidak terkecuali kepada para Nabi dan Rasul Alaihimissalam, malah mereka adalah contoh terbaik bagaimana seseorang hamba itu perlu lakukan jika ditimpa sesuatu penyakit.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 83 dan 84 yang dibacakan tadi membawa maksud:

“Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, “(Ya Tuhanku), sungguh, aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Tuhan Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang. Maka Kami kabulkan (doa)nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya, dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan (Kami lipat gandakan jumlah mereka), sebagai suatu rahmat dari Kami, dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Kami.”

(Al-Anbiya 21: 83-84)

HIV atau Human Immunodeficiency Virus ialah virus yang bertindak melemahkan dan memusnahkan sistem daya tahan badan manusia dan merupakan virus yang menyebabkan penyakit AIDS jika tidak dirawat. AIDS pula ialah Acquired Immune Deficiency Syndrome, atau Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. AIDS merupakan peringkat akhir jangkitan virus HIV, di mana sistem imunisasi badan tidak lagi berfungsi bagi melawan penyakit sehingga mengakibatkan pengidapnya mendapat jangkitan kuman yang teruk dan sesetengah jenis kanser yang sukar diubati sehingga boleh membawa maut.

Melihat kepada sejarah dan data, faktor terbesar yang menyumbang kepada statistik jangkitan HIV di Malaysia pada tahun 1990 hingga 2010 ialah disebabkan penyalahgunaan dadah secara suntikan.

Bagaimanapun, faktor tersebut kini tidak lagi menjadi penyumbang terbesar, sebaliknya berpunca daripada hubungan seksual terutamanya hubungan seksual terlarang iaitu homoseksual (tarikan seksual terhadap jantina yang sama), heteroseksual (tarikan seksual terhadap pasangan yang berlainan seks) dan biseksual (tarikan seksual terhadap kedua-dua jantina). 

Hakikatnya, kesemua ini berpunca daripada kerakusan sebahagian manusia membuat kemungkaran yang jelas ditegah oleh agama. Firman Allah SWT, surah al-Ma‘arij, ayat 31:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ(٣٢)

Bermaksud: “Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Al-Ma‘arij 70:31)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Dewasa ini, kes-kes baharu HIV yang dilaporkan setiap tahun di Malaysia menunjukkan jumlah yang statik dan membimbangkan, iaitu tiada penurunan atau peningkatan yang ketara sejak tahun 2010 dengan purata kes baru HIV ialah sebanyak 2500 hingga 3000 kes setiap tahun.

Hal ini adalah disebabkan cara penyebaran HIV dalam kalangan masyarakat telah berubah daripada aktiviti perkongsian jarum suntikan dadah kepada aktiviti seksual yang diharamkan oleh Islam. Apa yang lebih mencemaskan kita ialah, 77 peratus kes baru HIV di Malaysia pada tahun 2022 adalah terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun.

Kita mesti sedar bahawa isu HIV ini bukanlah hanya isu kesihatan semata-mata malah ia turut melibatkan isu moral, sosioekonomi, kekeluargaan, pendidikan dan lain-lain. Tanggungjawab mengekang penularan HIV ini tidak terletak di bahu pihak berwajib sahaja. Malah ia adalah tanggungjawab setiap anggota masyarakat bermula daripada institusi keluarga, pendidikan, agama dan agensi-agensi lain dalam masyarakat bagi menjayakan segala usaha dan tindakan mencapai negara sifar HIV menjelang tahun 2030.

Pelbagai program kesedaran dan juga pelan tindakan telah dan sedang dilaksanakan sebagai usaha pencegahan dalam masyarakat khususnya golongan muda daripada terlibat dengan aktiviti risiko yang mendedahkan mereka kepada jangkitan HIV.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai anggota masyarakat, kita jangan sekali-kali menghukum dan meminggirkan mereka yang telah dijangkiti HIV. Ini kerana, terdapat juga kes jangkitan berpunca daripada proses pemindahan darah dan mangsa seksual. Sehingga ke hari ini, masih berlaku stigma negatif dan diskriminasi yang timbul terhadap mereka yang dijangkiti HIV dalam masyarakat kita.

Stigma merupakan tanggapan buruk terhadap seseorang atau sekelompok individu, manakala diskriminasi pula adalah manifestasi daripada tanggapan buruk tersebut yang diterjemah ke dalam bentuk perbuatan, seperti memalukan, meminggir, memulaukan dan sebagainya.

Dalam menjalankan tanggungjawab sosial ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyediakan sebuah Pusat Perlindungan HIV/AIDS yang dikenali dengan ’Ilaj Home. ‘Ilaj Home akan menjadi pusat perlindungan, perawatan dan pemulihan kepada orang Islam yang hidup dan dijangkiti dengan HIV dan AIDS.

Ia berobjektifkan untuk membantu komuniti rentan ini melalui proses rawatan bersepadu moden dan rawatan Islam di samping khidmat nasihat, bimbingan, psikospiritual Islam dan kaunseling syar’ie sebagai usaha pemulihan secara menyeluruh dalam membangunkan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam dan pembelaan hak komuniti minoriti ke arah masyarakat Islam yang progresif.

Sebagai umat Islam yang saling berkasih sayang dan suka melakukan amalan kebajikan, seharusnya kita menyantuni mereka dengan memberi bantuan dan keperluan termasuklah sokongan kerohanian, perlindungan, bantuan kesihatan, bantuan psikososial dan seumpamanya agar dapat mewujudkan suatu suasana harmoni dalam kalangan masyarakat Islam sejagat. Dalam hal ini, kita juga mestilah berperanan sama dalam membantu memulihkan mereka yang telah terjebak di dalam hubungan terlarang agar bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Muslim (yang sejati) itu (ialah) orang yang kaum Muslimin lain selamat daripada lidah dan tangannya. Orang yang berhijrah itu (ialah) orang yang meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah kepadanya.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Segala bentuk dan jenis penyakit merupakan ujian yang datang daripada Allah SWT. Ia bertujuan menguji hamba-hamba-Nya supaya mereka sedar, insaf dan kembali mendekatkan diri kepada-Nya.

Kedua: Tanggungjawab mengekang penularan HIV ini tidak terletak di bahu pihak berwajib sahaja. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ketiga: Santunilah mereka yang telah dijangkiti HIV dengan memberi bantuan termasuk sokongan kerohanian, perlindungan, bantuan kesihatan, bantuan psikososial dan seumpamanya agar kita dapat mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ (١٠٤)

Bermaksud: “Dan hendaklah di antara kalian ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

(Ali ‘Imran 3:104)

Tarikh Dibaca: 24 Jamadilawal 1445H/8 Disember 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑