Mus’ab Ibn Umair: Pemuda Dikasihi Nabi

Siapakah Mus’ab ibn Umair? 

Dikenali sebagai Mus’ab al-Khair yang bermaksud Mus’ab yang baik. Merupakan seorang pemuda yang berasal daripada golongan bangsawan Makkah. Nama ibunya ialah Khunnas binti Malik. Selain daripada kemewahan yang dimilikinya, Mus’ab juga merupakan seorang pemuda yang sangat kacak. Beliau juga terkenal sebagai orang yang berperwatakan lemah lembut dan suka berpakaian kemas, mahal serta indah. Maka, Mus’ab sering menjadi kegilaan gadis di Makkah. 

Mus’ab juga adalah anak yang paling disayangi oleh ibunya berbanding adik-beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya sering dipenuhi dan tidak pernah ditolak oleh ibunya. 

Kisah Keislaman Mus’ab ibn Umair Kisah keislaman Mus’ab ibn Umair bermula apabila beliau mendapat khabar bahawa terdapat seorang nabi yang mengajak kepada kebenaran. Nabi yang merupakan seorang pemuda Quraisy berketurunan Bani Hashim iaitu Muhammad al-Amin, seorang yang mulia dengan sifat amanah dan jujur. Mus’ab mengetahui bahawa Muhammad dan pengikut-pengikutnya sering berkumpul dan berjumpa di rumah Arqam bin Abi al-Arqam.

Oleh kerana sifat ingin tahu yang tinggi, Mus’ab telah pergi ke rumah tersebut dan mendengar Nabi Muhammad menyampaikan dakwah dan ajaran Islam. Nabi Muhammad juga mengajarkan al-Quran kepada mereka. Mus’ab merasakan alunan ayat-ayat alQuran yang dibacakan itu begitu indah sehingga terkesima dengannya. Lalu, Mus’ab memilih untuk memeluk Islam. 

Namun begitu, berita tentang keislaman Mus’ab telah mendapat tentangan hebat oleh ibunya sendiri, Khunnas binti Malik. Ibunya merupakan seorang yang tegas dan sangat berpengaruh dalam kehidupan Mus’ab. Ini menyebabkan Mus’ab sangat risau akan penerimaan ibunya. 

Berita keislaman Mus’ab diketahui oleh ibunya melalui Uthman bin Talhah yang telah melihat kelibat Mus’ab memasuki rumah Arqam bin Abi al-Arqam dan pada waktu yang lainnya, Uthman bin Talhah melihat Mus’ab melakukan solat seperti solat Nabi Muhammad dan pengikutnya. Sejurus mengetahui berita tersebut, ibunya menanti kepulangan Mus’ab di rumah lalu mempersoal Mus’ab mengenai perihal itu. Kemudian, Mus’ab membacakan ayat-ayat alQuran yang telah dipelajarinya bagi tujuan menarik minat ibunya terhadap Islam. Akan tetapi, ibunya tidak tertarik kepada Islam. Bahkan, dia menjadi sangat marah dan kecewa terhadap Mus’ab. Dia ingin menampar Mus’ab tetapi dia cuba menahan dirinya daripada melakukan hal tersebut. 

Ibu dan bapanya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari sebagai pengajaran dengan harapan Mus’ab akan meninggalkan Islam. Walau bagaimanapun, keyakinan dan kesetiaan Mus’ab terhadap Islam tidak terjejas sedikit pun. 

Usaha, pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar untuk membuat anaknya meninggalkan Islam lalu membebaskannya buat sementara waktu. Tindakan daripada ibunya sedikit pun tidak menimbulkan rasa takut dalam diri Mus’ab, sebaliknya beliau terus-menerus memujuk ibunya untuk memeluk Islam kerana sifat kasih kepada ibunya. 

Pada suatu hari, Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu lalu dia bertanyakan kepada ibunya. Ibunya menjawab “Ibu telah berniat di hadapan berhala bahawa tidak akan makan dan minum sehingga kamu meninggalkan Islam.” Kemudian Mus’ab menjawab kepada ibunya “Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, lalu nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.” Setelah mendengar jawapan Mus’ab, ibunya terus menghalaunya keluar dari rumah. Maka, tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan para sahabat yang sangat daif ketika itu. 

Mus’ab meneruskan kehidupannya dengan menjual kayu api dan berita ini telah sampai kepada ibunya. Ibunya merasa sangat marah dan meminta adik-beradik Mus’ab untuk memujuknya agar meninggalkan Islam namun gagal. 

Rasulullah telah mengarahkan sebahagian sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. Rombongan tersebut turut disertai oleh Mus’ab. Sekembalinya mereka dari Habsyah, keadaan Mus’ab semakin berbeza dan berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Rasulullah berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menukar dunia serta penduduknya. Sesungguhnya dahulu aku melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah ibunya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan RasulNya.” 

Wafatnya Mus’ab ibn Umair 

Sewaktu berlakunya peperangan Uhud, Mus’ab telah ditugaskan sebagai pemegang panji-panji Islam. Pada peringkat kedua peperangan, pihak tentera Muslimin telah mengalami kekalahan, Namun, Mus’ab ibn Umair tetap kekal di tempatnya dan tidak berganjak sambil menyeru, “Muhammad adalah Rasul dan sebelumnya telah diutuskan banyak rasul.” Kemudian, datang seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qami’ah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus’ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang laungan tersebut. Laungan itu telah membuat Ibn Qami’ah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut panji tersebut dan memeluknya dengan kedua-dua lengannya yang kudung itu. 

Akhirnya, Ibn Qami’ah menikamnya dengan tombak. Maka, gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud. Saat hendak dikafankan, kain untuk menutup mayat Mus’ab tidak mencukupi. Hal ini membuatkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. 

Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu yang ada di sekeliling mereka. Kesimpulan Kisah Mus’ab ibn Umair telah menjadi saksi kepada semua manusia akan ketegasan dalam mempertahankan akidah dan Islam. Meskipun mendapat tentangan hebat daripada keluarganya sendiri dan diuji antara kasih sayang kepada ibunya, Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang sederhana dan meninggalkan kemewahan serta darjat.

Nur Madihah binti Rakes Junaidi Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Majalah Cahaya, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑