Tersungkur Di Pintu Syurga

Pendahuluan 

Syurga merupakan suatu tempat paling istimewa yang disediakan oleh Allah SWT di akhirat kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan amal soleh dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mereka akan mendapat pelbagai nikmat yang disediakan Allah SWT di dalamnya. 

Firman Allah SWT yang maksudnya: 

“Perumpamaan taman syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau, dan sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai khamar (anggur yang tidak memabukkan) yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai madu yang murni. Di dalamnya mereka memperoleh segala macam buah-buahan dan keampunan daripada Tuhan mereka. Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga ususnya terpotong-potong?”

(Muhammad 47:15) 

Walaubagaimanapun, manusia tidak dapat lari daripada pelbagai ujian yang menentukan kejayaan atau kegagalan sama ada di dunia atau di akhirat. Kehidupan sementara yang serba indah di dunia ini menjadi medan utama bagi memastikan setiap amalan yang dilakukan akan mendapat rahmat dan ganjaran daripada Allah SWT seterusnya membawa ke destinasi kekal abadi iaitu di syurga. 

Peringatan demi peringatan telah disampaikan oleh Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW sebagai pedoman bagi manusia menghadapi liku-liku di hari-hari yang mendatang di dalam kehidupan. Peringatan-peringatan tersebut adalah supaya manusia berpeluang memasuki syurga dan terhindar daripada memasuki neraka. 

Caranya ialah dengan sentiasa melakukan amalan kebaikan dan menjauhi amalan yang bertentangan dengan syariat. Seandainya manusia sentiasa leka daripada mengikuti saranan-saranan oleh Rasulullah SAW, dibimbangi amalan-amalan yang dilakukan hanyalah sia-sia. 

Hal ini menyebabkan mereka tersungkur di pintu syurga lalu terjerumus ke dalam neraka. Allah SWT berfirman yang maksudnya: 

“Katakanlah (Wahai Muhammad), ‘Apakah ingin Kami memberitahu kepada kalian tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’. (Mereka itu) ialah orang yang sesat usahanya di dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka itu melakukan sebaik-baik amalan.

(Al-Kahfi 18:103-104) 

1. Tidak Mentaati Rasulullah SAW 

Setiap daripada umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke dalam syurga kecuali mereka yang enggan memasukinya. Golongan tersebut adalah mereka yang tidak mentaati Rasulullah SAW. Sabda baginda yang maksudnya:

“Setiap umatku akan masuk syurga, kecuali orang-orang yang enggan untuk memasukinya. Para sahabat bertanya, siapakah orang yang enggan tersebut wahai Rasulullah? Baginda menjawab, “Sesiapa yang mentaatiku akan masuk ke dalam syurga, manakala sesiapa yang tidak taat kepadaku sesungguhnya dia adalah orang yang enggan (masuk syurga).”

(Riwayat Bukhari) 

Perintah supaya taat kepada Rasulullah SAW telah dinyatakan di dalam al-Quran yang maksudnya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Taatilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”

(Ali Imran 3:32)

2. Derhaka Kepada Ibu Bapa 

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang akibat mereka yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya. Di dalam sebuah hadis, ada dinyatakan tentang empat golongan yang dihalang daripada memasuki syurga. Antara golongan tersebut ialah mereka yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapanya. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Terdapat empat golongan manusia yang menjadi hak Allah SWT untuk tidak memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak akan diberi kenikmatan syurga, iaitu orang yang mengekalkan minum minuman keras, memakan riba, memakan harta anak-anak yatim tanpa hak dan menderhaka kepada kedua orang tua.”

(Riwayat Hakim dan al-Baihaqi)

3. Lelaki Dayus 

Lelaki dayus adalah suami atau bapa yang langsung tidak mempedulikan tentang aurat dan pergaulan isteri dan anak-anaknya. Dia sebaliknya hanya membiarkan sahaja isteri dan anak-anaknya bergaul bebas, mendedahkan aurat dan melanggar batas-batas syariat tanpa sebarang usaha untuk mengawal dan mencegahnya. Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang hal ini melalui sabdanya yang bermaksud: 

“Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga ; orang yang derhaka kepada ibu-bapanya, lelaki dayus dan lelaki yang menyerupai wanita.”

(Riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi) 

4. Mencari Ilmu Akhirat Untuk Tujuan Duniawi 

Menuntut ilmu adalah sesuatu yang fardu ain hukumnya dan perlu diutamakan terutamanya ilmu akhirat. Walaubagaimanapun, jika ilmu akhirat dicari hanya untuk tujuan duniawi semata-mata, golongan berkenaan tidak akan dapat memasuki syurga.

Tazkirah Baginda Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa menuntut ilmu yang seharusnya untuk mencari keredaan Allah, namun dia tidak menuntutnya kecuali untuk mencari dunia, maka pada hari kiamat dia tidak akan mendapatkan bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud) 

5. Bersifat Sombong 

Orang yang sombong tidak dapat mencium bau syurga kelak. Baginda Rasulullah SAW bersabda di dalam suatu hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud yang maksudnya:

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang terdapat sifat sombong sebesar sebiji sawi di dalam hatinya.” (Riwayat Muslim) 

6. Memfitnah & Menyakiti Orang Lain 

Sesungguhnya kita sangat takut jika ada dalam kalangan kita akan termasuk dalam kalangan golongan yang muflis di akhirat kelak.

Abu Hurairah RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bertanya yang maksudnya: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim) 

Janganlah kita memandang ringan perbuatan menyakiti dan mencabuli hak orang lain. Perbuatan ini perlu sentiasa dielakkan. Pada masa yang sama, janganlah pula kita mengikut keegoan diri untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain, sedangkan Allah SWT pun sentiasa mengampuni dosa hamba-hambaNya. Mudah-mudahan amalan ini akan menjadi asbab agar Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita dan mengelakkan kita daripada menjadi muflis di akhirat.

Kesimpulan 

Sesungguhnya syurga merupakan nikmat Allah SWT yang tertinggi bagi sesiapa yang melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat. Allah SWT dan Rasul-Nya telah menjelaskan tentang jalan-jalan untuk memasuki syurga. Walaubagaimanapun, sifat lalai daripada peringatan-peringatan Allah SWT dan Rasul-Nya akan mengakibatkan kita sentiasa menyangka bahawa amalan yang dilakukan sudah mencukupi untuk mendapat reda Allah SWT lalu berjaya memasuki syurga. 

Sedangkan sebenarnya segala perbuatan tersebut hanyalah sesuatu yang sia-sia yang menyebabkan kita tersungkur di pintu syurga Allah SWT lalu terjerumus ke dalam neraka. Oleh itu, kita perlu sentiasa refleksi diri tentang niat dan amalan yang dilakukan supaya benar-benar menepati ajaran Islam bagi membolehkan kita mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Dr. Halim Bin Ismail Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Majalah Sinar Rohani, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑