Peringatan Al-Quran

Tafsir Ringkas Surah al-‘Asr 103:1-3

“Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian.”

(al-‘Asr 103:1-2)

Bersumpah dengan masa atau waktu yang sentiasa dilalui oleh manusia. Di dalam waktu terdapat berbagai pelajaran, pergantian siang dan malam, gelap dan terang silih berganti, perubahan kejadian, kondisi dan kemaslahatan. Semua itu menunjukkan kewujudan Sang Pencipta Azza wa Jalla, serta keesaan dan kesempurnaan kekuasaan-Nya. Allah SWT bersumpah dengan hal itu bahawa seluruh manusia berada dalam kerugian, kehancuran, kekurangan dan kesesatan dari kebenaran, dalam berusaha dan beramal selama di dunia, kecuali orang-orang yang dikecualikan oleh Allah SWT.

Sumpah Allah dengan waktu ini merupakan dalil kemuliaan dan pentingnya waktu. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah r.a. yang maksudnya:

“Janganlah kalian cela waktu. Kerana Allah adalah waktu.”

Sebagaimana dijelaskan oleh ar-Razi, ayat tersebut merupakan peringatan bahawa watak manusia yang asal berada dalam kerugian.

Ada yang mengatakan bahawa maksud dari al-‘Asr dalam ayat tersebut adalah solat Asar atau waktunya, demi mengagungkan dan kerana kemuliaan dan keutamaan waktu Asar tersebut. Oleh kerana itu, solat wusta ditafsiri dengan ayat tersebut menurut kebanyakan para ulama’. 

Dalam ayat tersebut juga terdapat isyarat bahawa, sisa umur dunia adalah antara Asar sampai Maghrib. Oleh kerana itu, manusia hendaknya sibuk dengan perniagaan yang tidak akan rugi (perniagaan dengan Allah). Hakikatnya, masa sangat terhad dan tidak mungkin mendapat kembali masa yang telah berlalu.

Maksud dari manusia adalah jenisnya. Lam dalam kata al-insaan merupakan lam jenis, dan ini pendapat yang rajih. Ada yang mengatakan bahawa lam tersebut adalah lam ‘ahd mu’ayyan, sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawasanya dia pernah hendak pergi menuju sekelompok kaum musyrikin, seperti Walid bin Mughirah, Ash bin Wail dan Aswad bin Muththallab. Abu Hayyan berkata, “wal ‘ashri, wa al-insaan adalah isim jenis yang umum. Oleh kerana itu boleh mengecualikannya.”

Kemudian dikecualikan dari jenis manusia yang merugi itu sebagaimana berikut.

“Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

(al-‘Asr 103:3)

Sesungguhnya seluruh manusia itu pastilah berada dalam kerugian, kekurangan dan kehancuran, kecuali orang yang mengumpulkan antara iman kepada Allah dan beramal soleh. 

Sesungguhnya mereka itu dalam keuntungan, bukan dalam kerugian. Mereka telah beramal untuk akhirat dan amalan dunia tidak memalingkan mereka dari amalan akhirat. Mereka beriman dengan hati dan beramal dengan anggota tubuh mereka.

Terkecuali juga orang-orang yang saling menasihati dengan perkara tetap yang tidak dapat dinafikan lagi, yaitu beriman dan mentauhidkan Allah SWT, serta menunaikan syari’at dan menjauhi larangan-Nya. Kebenaran adalah lawan dari kebatilan; meliputi segala bentuk kebaikan dan sesuatu yang harus dikerjakan atau dengan menunaikan ketaatan dan meninggalkan hal-hal yang diharamkan. 

Zamakhsyari berkata, “Itu adalah seluruh kebaikan, berupa mentauhidkan Allah, mentaati, menjalankan kandungan kitab-kitab dan risalah para rasul-Nya, zuhud di dunia dan mencintai akhirat.”

Terkecuali juga orang-orang yang saling menasihati dengan kesabaran untuk menjalankan kewajiban yang dibebankan oleh Allah SWT, bersabar dari tidak bermaksiat, juga terhadap segala takdir dan ujian-Nya. Kesabaran meliputi menunaikan ibadah, menjauhi kemungkaran, membawa berbagai kesulitan dan takdir, serta rintangan bagi orang-orang yang melakukan amar ma’ruf nahi munkar.

Sumber: Tafsir Al-Munir Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili Jilid 15

 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑