Teks Khutbah Jumaat (WP): Kukuhkan Sahsiah Hindari Gejala Sosial

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا(٣٢)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengukuhkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar-benarnya dalam kehidupan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba-Nya yang dikurniakan kerahmatan dan keberkatan, serta mendapat ganjaran syurga yang kekal abadi. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual- bual. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Kukuhkan Sahsiah Hindari Gejala Sosial”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Islam mengutamakan penjagaan nasab yang termasuk dalam lima prinsip Maqasid al-Syariah, di samping menjaga agama, nyawa, akal dan harta. Atas sebab ini, Islam mengharamkan zina, dan menganggapnya sebagai perbuatan terkutuk lagi tercela. Islam turut mengambil berat soal penjagaan maruah diri seseorang muslim. Nama baik yang terbina sebagai seorang yang beragama Islam tidak seharusnya diconteng dan dicemari dengan perbuatan yang keji. Justeru, Islam mendidik manusia supaya memelihara kehormatan diri dengan menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada perzinaan sebagaimana ayat 32 daripada surah al-Isra’ yang dibacakan di awal khutbah sebentar tadi yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(al-Isra’ 17:32)

Islam adalah agama yang meraikan fitrah manusia termasuklah dalam soal seksualiti. Namun, keperluan tersebut perlu diimbangi dengan syariat Islam yang dapat memelihara manusia daripada perbuatan zina yang mengundang dosa besar dan kemurkaan Allah SWT. 

Berbicara soal seksualiti remaja, apa yang berlaku hari ini amat membimbangkan kita apabila seringkali didedahkan mengenai kes yang melibatkan gangguan seksual, amalan homoseksual, ketagihan pornografi, pedofilia, sumbang mahram, khidmat seks di atas talian dan sebagainya. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa umat Islam hari ini khususnya remaja sedang berhadapan dengan normalisasi terhadap gejala-gejala sosial yang merosakkan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Tanggungjawab membesarkan anak-anak terutama di usia remaja sangat mencabar. Di samping dengan gaya hidup masa kini dalam suasana perkembangan teknologi yang berkembang pesat menjadikan kita sebagai ibu bapa sering kali terlepas pandang mengenai bahaya dunia tanpa sempadan ini kepada anak-anak remaja jika tidak dikawal dan dibatasi dengan nilai-nilai agama, adat dan budaya. 

Sememangnya penyalahgunaan teknologi sedikit sebanyak menyumbang kepada gejala sosial. Kepantasan media massa menyebarkan pelbagai majalah dan laman web yang tidak sepatutnya, lambakan filem-filem berbentuk seksual, laman web lucah dan seumpamanya sememangnya sangat sukar dibendung. Amat menyedihkan melibat pelbagai pendedahan telah dibuat mengenai anak-anak ramaja yang pernah terlibat dengan seks bebas dan gejala sosial bahkan ianya ditularkan pula melalui media-media sosial.

Di antara punca utama masalah ini ialah anak-anak remaja ini masih kurang didikan dan pemahaman tentang peranan agama dalam kehidupan mereka. Kesibukan ibu bapa dengan kerjaya sehingga menyerahkan sepenuhnya tanggungawab kepada pihak sekolah untuk menyemai didikan agama kepada anak-anak menyebabkan mereka dibiarkan bebas bergaul tanpa mengira batasan yang sepatutnya. 

Kes-kes kehamilan remaja di bawah usia 18 tahun yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan suatu senario yang membimbangkan kerana kebanyakannya berpunca daripada gejala seks bebas dalam kalangan mereka. Ia turut meningkatkan kes-kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Pada masa sama, mereka yang telah terjebak dengan gejala ini turut terdedah kepada risiko penyakit kelamin atau STD seperti sifilis bahkan berisiko untuk dijangkiti virus HIV.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai ibu bapa, kita mesti mengambil peranan dan tanggungjawab dalam membendung gejala sosial dan pergaulan seks bebas dalam kalangan remaja yang bermula daripada rumah kita sendiri ketika usia anak-anak masih kecil. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya Tarbiyatul Aulad fil Islam telah menyatakan beberapa peringkat dalam menerapkan pendidikan seksualiti dalam kalangan anak-anak:

Pertama: Peringkat usia 7 hingga 9 tahun. Anak-anak wajar diberikan pendidikan dalam aspek batas pergaulan dan batasan penglihatan misalnya dilarang mandi dan tidur bersama bagi adik-beradik berlainan jantina, melihat kemaluan biarpun saudara kandung sendiri dan tidak boleh menyentuh bahagian tubuh badan yang sensitif.

Kedua: Peringkat usia 10 hingga 13 tahun. Ia merupakan fasa peralihan walaupun ada yang belum baligh dalam usia sebegini, tetapi wajar diberitahu mengenai wujudnya nafsu dan bagaimana cara mengendalikannya.

Ketiga: Peringkat usia 14 hingga 16 tahun. Mereka wajar diberikan ilmu pengenalan hubungan seksual hingga perlu diberitahu hubungan kelamin boleh berlaku dan boleh menyebabkan kehamilan pada golongan wanita.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ibu bapa mesti memainkan peranan di rumah dalam menyampaikan isu seksualiti kepada anak-anak. Usah biarkan mereka mempelajarinya secara salah lebih-lebih lagi melalui apa yang mereka lihat dan tonton di media massa dan media sosial. Inilah pentingnya kita sentiasa mengikuti setiap aktiviti fizikal dan maya anak-anak dan cakna dengan ilmu-ilmu teknologi masa kini supaya kita tidak tertinggal di belakang mereka.

Kita juga hendaklah sentiasa berdamping dengan anak-anak, dengarlah segala persoalan mereka berkenaan seksualiti dan berikan jawapan serta panduan berdasarkan adab-adab Islam. Jangan anggap persoalan seksualiti yang mereka lontarkan sebagai remeh supaya mereka tidak mencari jawapan daripada sumber yang salah. Pada waktu inilah sebaiknya kita menekankan soal halal dan haram dalam perhubungan, aurat lelaki dan perempuan, mahram dan bukan mahram, adab berhias, adab pergaulan di antara lelaki dan perempuan, menyemai perasaan malu, menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. 

Apa yang lebih utama ialah tekankan kepada mereka untuk mendirikan solat fardu dan jangan sekali-kali mengabaikannya kerana solat itu tiang agama dan ia mencegah kita daripada perkara-perkara keji dan mungkar.

Kebanyakan anak-anak remaja memiliki telefon bimbit sendiri serta mempunyai akaun di media-media sosial. Ia memberi ruang dan peluang kepada mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan ramai orang yang bukan ajnabi. Justeru, ibu bapa mestilah memainkan peranan untuk mengawal penggunaannya dalam kalangan anak-anak. Bukan sahaja ibu bapa, para guru di sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama memberi kefahaman kepada mereka mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh remaja. Berikan perhatian juga kepada aspek pembinaan sahsiah selain menumpukan aspek pembelajaran mereka.

Di antara orang yang paling rapat dengan anak-anak ialah rakan sebaya. Justeru, pastikan mereka berkawan dengan rakan sebaya yang baik dan dapat membantu dalam pembinaan sahsiah mereka.

Dalam usaha membendung gejala sosial dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan dalam kalangan remaja, anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan. Jadilah masyarakat yang prihatin, tegakkan amar makruf dan nahi mungkar di dalam komuniti. Jika ada berlaku gejala sosial dan pergaulan bebas di hadapan mata, cegahlah sedaya upaya agar mereka terselamat daripada perbuatan noda yang membawa dosa dan murka Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Islam adalah agama yang meraikan fitrah manusia termasuklah dalam soal seksualiti. Namun, keperluan tersebut perlu diimbangi dengan syariat Islam yang dapat memelihara manusia daripada perbuatan zina.

Kedua: Ibu bapa mestilah mengambil tanggungjawab dengan memberi didikan yang sepatutnya kepada anak-anak sejak mereka kecil supaya mereka terhindar daripada gejala sosial dan pergaulan bebas yang merosakkan masa depan mereka.

Ketiga: Sebagai masyarakat yang prihatian, tegakkan amar makruf dan nahi mungkar dalam komuniti agar kehidupan setiap penduduk setempat terhindar daripada gejala sosial dan pergaulan bebas.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur, ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ(٣٠)

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

(an-Nuur 24:30)

Tarikh Dibaca: 2 Jamadilakhir 1445H/15 Disember 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑