Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu merupakan ledakan api neraka Jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim)
Begitu juga sebuah hadith daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim)
At-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadith Rafi’ ibn Khudaij secara marfu’ meriwayatkan: “Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah dia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Hendaklah dia mengucapkan yang bermaksud: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba-Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.” (Riwayat at-Tirmizi)
Dari sudut sains, demam (juga dikenali sebagai pyrexia atau hiperthermia terkawal) merupakan isyarat perubatan biasa dengan ciri-ciri peningkatan suhu melebihi julat biasa 36.5–37.5 °C (97.7–99.5 °F) disebabkan peningkatan pada titik set pengawal suhu badan. Peningkatan pada titik set ini mencetus ton otot dan menggigil. Ketika suhu badan meningkat, terdapat rasa sejuk umum sungguhpun suhu badan meningkat. Sebaik sahaja tahap suhu baru dicapai terdapat rasa panas.
Demam merupakan satu tindak balas imunisasi yang cuba menangani jangkitan bakteria atau virus. Demam boleh dicetuskan oleh pelbagai keadaan dari selamat kepada potensi serius. Kecuali demam yang tinggi, rawatan biasanya tidak diperlukan, bagaimanapun, ibuprofen (sejenis dadah yang tergolong dalam kumpulan ubat anti-keradangan tanpa steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drug) dan digunakan untuk mengurangkan kesakitan akibat artritis) adalah berkesan bagi menurunkan suhu badan.
Telah disebutkan dalam dua kitab hadith yang sahih daripada Ibn Umar, sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya demam panas itu adalah berasal daripada percikan api neraka, maka dinginkan ia dengan air.” (Riwayat Muslim).
Hadith di atas ditentang oleh para tabib yang dungu. Mereka berpendapat bahawa cara tersebut bertentangan dengan rawatan demam yang biasa mereka amalkan. Kami ingin menjelaskan dengan bantuan Allah dan petunjuk-Nya kedudukan masalah itu sepertimana berikut: Ketahuilah, sesungguhnya ucapan Nabi SAW itu ada dua kategori:
Pertama: Untuk seluruh penduduk bumi.
Kedua: Khusus bagi sebahagian sahaja.
Maksud hadith tersebut ditujukan khusus bagi penduduk negeri Hijaz dan sekitarnya, kerana kebanyakan penyakit demam yang menimpa mereka disebabkan oleh kepanasan matahari yang terik. Dalam hal ini, air dingin sangat besar manfaatnya, baik diminum mahupun untuk mandi. Rasulullah SAW sendiri apabila Baginda SAW demam, meminta diambilkan setimba air, lalu Baginda SAW percikkan di atas kepala dan mandi.
Tanda Atau Gejala Demam
- Badan panas bila disentuh
- Pernafasan meningkat
- Muka menjadi merah
- Tidak aktif, lemah dan sentiasa mahu tidur
- Resah gelisah
- Tiada selera makan
- Menggigil
Perkara Yang Perlu Dilakukan Di Rumah Ketika Demam
- Pesakit berehat di tempat yang mempunyai peredaran udara yang baik.
- Berpakaian longgar dan jangan berselimut kerana ini akan meningkatkan suhu badan.
- Minum air atau cecair dengan kerap untuk menambah kehilangan bendalir dalam badan.
- Makan makanan ringan dan mudah hadam seperti sup.
- Cuba mandi dengan menggunakan air suam untuk meredakan demam.
- Beri ubat menurut arahan doktor.
- Makan ubat seperti paracetamol dengan jumlah yang tepat untuk meredakan demam.
- Mandi berjelum (mandi lap) jika suhu melebihi 38°C .
- Mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan abdomen dengan tuala basah boleh juga menurunkan suhu badan.
Sekiranya demam berlanjutan dan lama, perlu berjumpa doktor dengan segera atau pun suhu badan yang tinggi kerana suhu yang tinggi berpanjangan boleh mengakibatkan sawan. Demam yang berlarutan melebihi tiga hari, terutama sekiranya terdapat laporan kes demam denggi, malaria atau sebarang penyakit bawaan nyamuk di kawasan sekitar.
Dalam Islam dianjurkan doa untuk kesembuhan demam sepertimana doa Nabi Ibrahim AS yang termaktub dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Kami berfirman: Wahai api! Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!” (al-Anbiya’ 21:69).
Jenis Demam
Pola perubahan suhu mungkin sekali-sekala membayangkan diagnosis perubatan:
Demam Terhenti-henti
Suhu tinggi hanya hadir bagi beberapa jam sehari dan normal pada waktu yang lain, Contoh: Malaria, kala-azar, pyaemia, atau septicemia. Dengan malaria, mungkin terdapat demam dengan tempoh 24 jam (harian / ‘quotidian’), 48 jam (demam setiap dua/tiga hari (“tertian”), atau 72 jam (demam setiap tiga/empat hari (‘quartan’), menunjukkan (Plasmodium malariae). Pola ini mungkin kurang jelas bagi pengembara.
Demam Pel-Ebstein
Demam khusus yang dikaitkan dengan Lymphoma Hodgkin, demam tinggi pada satu minggu dan rendah pada minggu berikut dan seterusnya. Bagaimanapun, terdapat perdebatan sama ada pola ini benar-benar wujud.
Demam Berpanjangan
Suhu yang kekal melebihi normal sepanjang hari dan tidak berbeza melebihi 1 jam dalam tempoh 24 jam. Contoh : lobar pneumonia, demam kepialu, jangkitan salur kencing,brucellosis, atau tifus. Demam kepialu mungkin menunjukkan pola demam khusus, dengan peningkatan bertingkat perlahan dan puncak yang tinggi.
Demam Naik turun (‘Remittant’)
Suhu kekal melebihi normal sepanjang hari dan naik turun lebih dari 1 dalam 24 jam. Contoh : Jangkitan endokarditis.
Demam Neutropenik
Demam juga dipanggil febrile neutropenia, adalah demam tanpa kehadiran fungsi sistem imunisasi normal. Disebabkan ketiadaan neutrophil melawan bakteria, jangkitan bakteria boleh merebak dengan pantas dan demam ini biasanya dianggap kecemasan perubatan. Demam ini lebih biasa dilihat pada mereka yang menerima kemoterapi pemendam imunisasi berbanding mereka yang sihat. Febricula adalah demam sederhana jangka pendek. Punca tidak jelas dan tanpa patologi yang jelas.
Demam Berpunca Daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah, maksud ucapan Nabi SAW: “Demam itu berpunca daripada bahang neraka Jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadith yang lain yang bermaksud: “Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang neraka Jahanam.” Terdapat dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadith tersebut.
Pendapat Pertama: Panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka Jahanam agar para hamba Allah SWT menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran. Kemudian diberi kesembuhan oleh Allah SWT sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga Allah SWT.
Pendapat Kedua: Hadith tersebut merupakan perumpamaan. Allah SWT mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang neraka Jahanam. Allah SWT juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka Jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi SAW: “Sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian.
Pertama: Bermaksud segala jenis air. Merupakan pengertian hampir kepada yang benar.
Kedua: Air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr ibn Imran al-Dhuba’i menceritakan: “Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata: ‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka Jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air atau Baginda SAW menyebut ‘Air zamzam.’
Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Menerusi dua pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.
Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadith tersebut adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama’ ada menulis “Hilyat al-Auliya’” dan disahkan ulama’ bahawa terdapat hadith yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah dia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat an-Nasa’i dan al-Hakim).
Dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah RA secara marfu‘ menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku neraka Jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.”
Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadith tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.”
Dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibahasakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadith Hassan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.” Rasulullah SAW sendiri apabila demam, Baginda SAW meminta diambilkan air lalu Baginda SAW jiruskan ke kepala, kemudian mandi.” (Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani)
Teori dan kaedah perubatan Ibnu Sina air adalah salah satu daripada empat unsur yang terdapat di dalam tubuh badan. Bagaimanapun, air berbeza daripada unsur-unsur yang lain (iaitu tanah, angin dan api) kerana ia termasuk dalam kategori bahan-bahan yang diambil sebagai makanan (minuman). Walaupun air tidak boleh menghasilkan nutrien, namun ia berfungsi mengalirkan nutrien dan mengelokkan struktur nutrien tersebut.
Air tidak boleh menghasilkan nutrien kepada badan kerana yang hanya boleh menghasilkan nutrien ialah bahan yang boleh memberi nutrien melalui tenaga, iaitu darah dan bahan yang lebih jauh daripada itu, iaitu suatu komponen daripada organ tubuh badan. Dalam hal ini, jisim yang ringkas (seperti air) tidak akan berubah kepada bentuk darah dan juga tidak akan berubah kepada bentuk organ tubuh badan selagi jisim tersebut tidak berbentuk kompleks.
Walau bagaimanapun, air merupakan suatu inti pati yang boleh membantu dalam proses pengaliran dan pelembutan nutrien sehingga membolehkan nutrien mengalir dengan mudah ke dalam salur-salur darah dan lubang-lubang kumuhan (lubang anus, hidung, telinga dan sebagainya).
Fungsi yang dimainkan oleh air ini tidak dapat dielakkan bagi penyempurnaan proses penutrienan. Air yang sejuk dalam kuantiti yang sederhana adalah jenis air yang paling sesuai bagi mereka yang sihat walaupun air jenis ini kadang-kadang boleh memudaratkan saraf serta tidak sesuai bagi mereka yang mengalami masalah pembengkakan organ-organ visera tubuh.
Selain itu, air jenis ini boleh merangsang syahwat dan menguatkan organ gaster. Air yang panas pula boleh merosakkan sistem penghadaman, memadamkan zat-zat makanan dan tidak boleh mengurangkan rasa dahaga dengan segera. Malah, air jenis ini boleh jadi menyebabkan penyakit dropsi dan demam hektik di samping menyebabkan tubuh badan menjadi layu. Demam paitu, air yang mengandung unsur alum (tawas) pula berfungsi dalam pengaliran lebihan-lebihan darah haid, batuk berdarah dan pengaliran bawasir. Namun begitu , air jenis ini akan menyebabkan berlaku demam terhadap tubuh badan yang hampir untuk demam.
Air yang mengandungi unsur iron pula berfungsi menghilangkan penyakit limpa dan membantu perlakuan jimak. Manakala, air yang mengandungi unsur kuprum baik bagi mereka yang mempunyai mizaj yang kurang elok. Akhir sekali, apabila air yang elok bercampur dengan air yang kurang elok, maka air tersebut akan dikuasai oleh jenis air yang paling kuat antara kedua-duanya.
Demam Penghapus Dosa
Dalam kitab as-Sunan daripada Abu Hurairah RA berkata: “Suatu ketika ada orang yang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.” (Riwayat Ibn Majah).
Menurut riwayat sebuah athar iaitu : “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.” Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak 360. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.
Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW pernah menemui Ummu al-Sa’ib kerana melawatnya. Baginda bersabda: “Kenapa engkau menggigil? Jawabnya: Demam dan tidak ada keberkatan daripada Allah SWT. Sabda Baginda SAW: Jangan mencaci demam, kerana sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam, sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat pada besi.”
Terdapat pertikaian yang menyokong dan menolak kepentingan demam dan isu ini menimbulkan kontroversi. Kajian Findland mencadangkan pengurangan kematian bagi jangkitan bakteria apabila demam. Secara teori, demam mampu membantu dalam pertahanan badan. Terdapat sesetengah tindak balas imunisasi penting yang dipertingkatkan oleh suhu, dan sesetengah pathogen dengan kecenderungan suhu ketat boleh dielakkan. Demam mungkin berguna pada tahap tertentu kerana ia membenarkan badan mencapai suhu tinggi, menyebabkan persekitaran tidak menyenangkan bagi sesetengah pathogen. Sel darah putih juga membiak dengan pantas kerana persekitaran yang sesuai dan mampu membantu melawan pathogen dan mikrob merbahaya yang lain yang menceroboh badan.
Oleh Zainab Junoh, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Kanan) Bahagian Penerbitan, JAKIM
Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Leave a comment