Indahnya Memaafkan Kesilapan Orang

Realitinya dalam kehidupan ini pastinya kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Berapa ramai di antara kita yang mudah untuk memaafkan kesilapan orang dan berapa ramai di antara kita yang sukar untuk memaafkan kesilapan orang? Sedangkan kita tahu bahawa manusia itu sifatnya lemah dan seringkali melakukan kesilapan dalam hidupnya. Tetapi mengapa masih ramai di antara kita sukar untuk memaafkan kesilapan orang sedangkan diri kita sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. 

Apakah kita lupa bahawa salah satu sifat Allah SWT ialah al-‘Afuw secara bahasanya bermaksud Maha Pemaaf. Menurut Ibn Atsir, nama Allah ‘al-‘Afuw’ berasal dari perkataan al-‘afwu (memaafkan) yang bererti memaafkan perbuatan dosa dan tidak menghukumnya. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”

(al-Haj 22:60)

“Kalaulah Allah mengira kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal jahat yang telah dikerjakan oleh mereka, tentulah Dia tidak membiarkan sesuatu makhluk yang bergerak tinggal di muka bumi; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberikan tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu. Kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa melihat keadaan hamba-hamba-Nya.”

(Fatir 35:45)

Islam sentiasa mengajar umatnya memaafkan kesilapan orang bagi mengelakkan wujudnya perasaan dendam dalam diri kita. Apabila wujudnya perasaan dendam dalam hati, sudah pasti hati kita akan menjadi hitam dan hidup kita sukar mendapat ketenangan.

Perkataan Islam itu bererti damai yang bermaksud tiadanya sikap dendam dalam diri umat Islam itu sendiri. 

Sememangnya benar bukan mudah untuk kita memaafkan orang, tetapi sikap ini sebenarnya boleh dilatih dan dibiasakan dalam kehidupan seharian kita. Sikap pemaaf juga merupakan salah satu tanda keimanan Muslim terhadap Allah SWT. Tanpa kita sedari, sebenarnya sikap pemaaf juga merupakan salah satu cara untuk kita mendapatkan keampunan daripada Allah SWT. 

Kadangkala kita lupa untuk muhasabah diri dan sukar untuk memaafkan orang, sedangkan kita lupa bahawa kita juga manusia makhluk ciptaan Allah SWT yang lemah dan sering melakukan kesilapan di atas muka bumi ini. Salah satu cara untuk menebus dosa kita adalah dengan cara memaafkan orang yang pernah melukakan hati kita dan pastinya Allah SWT akan membalasnya dengan mengampunkan dosa-dosa kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

(an-Nur 24:22)

Selain melaksanakan ibadah terhadap Allah SWT untuk menjaga hubungan kita dengan Allah SWT, kita juga seharusnya menjaga hubungan sesama manusia. Salah satu cara untuk kita menjaga hubungan sesama manusia adalah dengan mengamalkan sikap pemaaf di atas kesilapan orang lain terhadap kita untuk mengelakkan wujudnya sifat dendam dalam diri kita. Apabila kita memaafkan orang, keredhaan Allah SWT bukan sahaja datang kepada kita malah juga datang kepada orang yang telah kita maafkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim.”

(as-Syura 42:40)

Sikap saling memaafkan juga sebenarnya adalah salah satu cara terbaik dalam mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di antara kedua-dua pihak. Apabila salah seorang di antara pihak berbalah memaafkan kesilapan yang berlaku sudah pasti Allah SWT akan melembutkan hati pihak yang sedang marah sehingga kedua-dua pihak yang bertelingkah saling bermaaf-maafan di antara mereka. Sudah pasti kedua-dua pihak yang berbalah tadi akan bahagia dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku sedemikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang bersikap sabar, tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat”. (Fussilat 41:34-35)

Perbuatan memaafkan orang juga adalah salah satu perbuatan yang dianggap mulia dan perbuatan sunnah. Semasa awal dakwah Rasulullah SAW, terlalu banyak dugaan yang dilalui oleh Baginda SAW sehingga Baginda SAW pernah dibaling najis oleh kaum Arab Quraisy ketika menyampaikan dakwah. Pada ketika itu juga Baginda SAW turut dimaki dan dihina namun Baginda SAW tidak pernah sesekali membalas perbuatan jahat mereka tetapi Baginda SAW memaafkan kesilapan mereka terhadapnya. Jelas bahawa perbuatan memaafkan orang juga adalah salah satu perbuatan sunnah. Sesiapa yang menghidupkan dan mengamalkan amalan sunnah sudah pasti akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Sepertimana Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya dengan tidak mengurangi pahala mereka walau sedikit pun”.

(Riwayat Ibn Majah) 

Mengapa masih ramai di antara kita yang sukar untuk memaafkan kesilapan orang? Ada pula segelintirnya bukan sahaja sukar memaafkan orang tetapi menyimpan dendam terhadap orang tersebut. Ketahuilah bahawa Syaitan akan sentiasa menghasut manusia untuk melakukan kejahatan yang akan menghitamkan hati manusia. Allah SWT berpesan menerusi FirmanNya yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada segala yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji serta (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah, segala perkara yang tidak kamu ketahui (salah benarnya).”

(al-Baqarah 2:168-169)

Betapa mulianya orang yang memiliki sikap pemaaf terhadap orang lain. Ketahuilah bahawa menaruh dendam terhadap orang lain sebenarnya akan membebankan lagi hati malah menyukarkan untuk mencari ketenangan dalam hidup. Marilah kita sama-sama muhasabah diri dan memaafkan mereka yang pernah menyakiti hati kita supaya kita mendapat ketenangan hidup di dunia dan akhirat. Ketahuilah salah satu punca hidup kita tidak tenang adalah disebabkan kita sukar memaafkan orang dan memiliki sifat dendam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Segeralah kamu mendapatkan (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. (Ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.”

(Ali ‘Imran 3: 133-134)

Oleh: Mohamad Fadzil Awang | Mahasiswa Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)
Majalah Sinar Rohani, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑