Cara Seseorang Bertindak Ketika Diuji Menjadikan Dia Lelaki Sejati

Oleh Shaykh Ismail Kamdar

Kita hidup di zaman yang aneh di mana ramai orang berbicara tentang kelelakian tetapi sangat sedikit yang boleh menggambarkan apa sebenarnya kelelakian atau apakah model peranannya. Matlamat untuk menjadi “lelaki sejati” sering berubah dengan setiap pergerakan atau penceramah popular baharu, kerana setiap kumpulan mentakrifkan kelelakian dalam cara baharu yang menonjolkan diri mereka sebagai lelaki sebenar, dan semua yang lain tidak memenuhi kriteria dan gagal.

Dalam dunia serba celaru ini, saya cuba membentangkan takrif mudah kelelakian yang melangkaui sempadan budaya, dan pada hemat saya, ramai lelaki boleh bersetuju dengannya.

Kelelakian itu Ketabahan

Perkara yang membezakan budak lelaki dengan lelaki sejati ialah UJIAN. Setiap lelaki muda, dan lelaki tua, akan menghadapi beberapa ujian dalam hidup mereka. Tindak balas mereka terhadap ujian ini menentukan kelelakian mereka yang sebenarnya. Faktor penentu ini terdapat dalam setiap budaya di seluruh dunia.

Lelaki yang berputus asa, mengambil jalan pintas, menipu, atau memilih jalan mudah dilihat sebagai lemah, bodoh, tidak matang, dan tidak jantan. Lelaki yang bangkit, mengatasi rintangan, dan bertahan sehingga akhir, dilihat sebagai lelaki sejati.

Dalam dunia yang menilai manusia dengan ujian dan kesusahan, kelelakian bermaksud mengejar matlamat yang berterusan dengan mendepani setiap ujian yang mendatang. Sebagai seorang lelaki, anda akan menghadapi ujian di setiap peringkat kehidupan tanpa mengira apa tujuan hidup anda. Tiada jalan pintas untuk berjaya, tiada jalan mudah untuk mencapai puncak, tiada kod menipu untuk mencapai matlamat.

Kelelakian itu ketabahan, kelelakian itu kesabaran, kelelakian itu ketabahan, kelelakian itu mempunyai sikap “tidak pernah berputus asa” dalam menghadapi kemungkinan yang mendatang. Lelaki sejati tidak boleh dikalahkan kerana mereka tidak berputus asa sehingga nafas terakhir mereka.

Sejarah Islam dibina di atas belakang lelaki-lelaki sebegini. Para nabi, para sahabat, para ulama’, para wali, dan para syuhada semuanya mewakili orang-orang hebat yang tidak pernah berputus asa, meskipun didatangi setiap ujian yang tidak pernah reda. Lelaki yang terpelihara di jalan yang diredhai Sang Pencipta melalui penyeksaan, pemenjaraan, dan bahkan penyerahan nyawa mereka kerana Allah SWT. Lelaki yang mempertaruhkan kesemuanya untuk tujuan yang lebih besar, lelaki sebegini adalah teladan kita, lelaki sejati, lelaki pilihan.

Setiap pemuda perlu menerima hakikat bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah mudah dan meneruskan kehidupan itu perlu. Tidak mungkin anda boleh bersembunyi daripada ujian hidup di sebalik permainan video dan peranti yang membuat dirimu sibuk. Ujian akan sampai  walau di mana sahaja kau berada dan bersembunyi adalah perangai pengecut.

Lelaki sejati bersedia menempuh ujian hidup. Mereka menerima tanggungjawab, menyahut cabaran, dan menghadapi ketakutan terbesar mereka secara langsung. Lelaki sejati tahu bahawa mereka menjadi kuat kerana ujian, jadi mereka menerima ujian dalam hidup mereka sebagai peluang untuk berkembang. Ujian adalah peluang untuk mereka naik ke tahap kekuatan yang seterusnya. Walau apa pun jalan yang ditempuh dalam kehidupan, halangan dan sekatan dari kejayaan pasti muncul. Berputus asa adalah untuk mereka yang mengalah. Lelaki sejati tetap fokus pada matlamat mereka dan mengharungi setiap ujian sehingga mereka mati atau menang.

Halangan Kepada Kejayaan

Apabila ibu bapa cuba melindungi anak lelaki mereka daripada ujian hidup, mereka tidak membantu anak ini. Kanak-kanak lelaki memerlukan kesusahan dan kepayahan untuk berkembang dan matang. Tanpa ujian dalam kehidupan, seorang lelaki boleh kekal sebagai kanak-kanak seumur hidupnya, kekal bergantung kepada ibu bapanya, takut kepada dunia, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dipercayai. 

Untuk membesarkan lelaki sejati, biarkan anak lelaki anda menjadi matang, biarkan mereka menghadapi cabaran hidup sendiri, biarkan mereka merasai kepayahan dan membesar melalui kesakitan yang dihadapi. Mereka memerlukannya. Dengan melindungi mereka, ibu bapa sebenarnya  menghalang anak-anak ini daripada menjadi versi diri mereka yang lebih baik, menghalang perkembangan kelelakian mereka.

Setiap lelaki mesti mempelajari cara kelangsungan hidup, supaya dia bersedia untuk menghadapi dunia dan mencapai matlamat hidupnya. Lelaki mesti belajar untuk berdikari dan menghadapi cabaran sukar dengan sendiri. Mereka mesti mencari keberanian untuk berpegang teguh pada kepercayaan mereka walaupun seluruh dunia tidak bersetuju dengan mereka.

Lelaki mesti mempunyai keyakinan untuk mengejar matlamat mereka dengan keazaman dan kemahuan yang tinggi, walaupun berdepan dengan setiap ujian yang dilemparkan dunia kepada mereka. Setiap manusia harus mempunyai tujuan, cara untuk membina kehidupan yang bermakna, diredhai Pencipta, dan bermanfaat kepada manusia. Tujuan itu sepatutnya mendorong mereka untuk menjadi versi terbaik diri mereka.

Kelelakian itu BUKAN

Kejantanan itu bukan ditentukan oleh otot dan urat yang kuat, tubuh sasa yang dibina sempurna, kereta mewah atau pakaian mahal. Kelelakian bukanlah keganasan, keangkuhan, kekasaran, atau kekejaman yang tidak dikawal. Kelelakian sejati tidak ditentukan oleh pencapaian kejayaan duniawi, kekayaan yang melimpah, atau status selebriti.

“Jangan biarkan dirimu kagum dengan ngauman seorang lelaki. Sebaliknya jika dia menunaikan amanah dan menahan diri daripada merosakkan kehormatan orang lain, dia benar-benar seorang lelaki.” (Umar Ibn al-Khattab, al-Zuhd wal-Raqā’iq 681)

Lelaki Sejati Dikasihi Penciptanya

Terdapat banyak lelaki sejati yang miskin dan tidak dikenali, atas sebab-sebab di luar kawalan mereka, namun mereka tetap komited kepada tujuan mereka, mereka melakukan yang terbaik untuk menyediakan dan melindungi keluarga mereka, dan mereka berdedikasi kepada Tuhan mereka. Ramai orang hebat telah mati kerana mengejar tujuan mulia.

Kematian mereka, sebelum mencapai matlamat mereka, mengukuhkan kedudukan mereka di antara peringkat tertinggi seorang lelaki di kalangan manusia. Dalam erti kata lain, mereka telah mencapai tahap kelelakian sebenar yang tidak dapat dicapai oleh mereka yang mempunyai kejayaan duniawi, iaitu syahid dan penerimaan daripada Tuhan mereka.

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Ahzab 33:23-24)

Jangan terpedaya dengan kilauan dan gemerlapan dunia ini. Lelaki sejati menyerahkan hidup mereka untuk tujuan yang lebih tinggi yang diredhai oleh Pencipta. Komitmen mereka adalah kepada kebenaran dan keadilan, dan mereka tetap komited tanpa mengira sama ada mereka mencapai kejayaan duniawi atau tidak. Kelelakian sebenar bukanlah tentang menguasai orang lain, tetapi memberikan segala yang anda ada untuk mencapai matlamat yang mulia.

Kita berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan, keazaman, dan kemampuan untuk mencapai matlamat yang diredhaiNya.

Tentang Pengarang: Shaykh Ismail Kamdaradalah pakar dalam Fiqh, Tafsir, Sejarah, Pembangunan Diri, dan Pendidikan.

Sumber: Izzah Academy

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑