Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 8 – Kehormatan Seorang Muslim

Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Saya diutus untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad ialah utusan Allah, mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka mengerjakan hal itu, bererti mereka telah menjaga darah dan hartanya daripadaku, kecuali menurut hukum Islam, dan perhitungan amal mereka terserah kepada Allah

(Riwayat al-Bukhari no. 25 dan Muslim no. 22)

Huraian 

Para ulama mentafsirkan hadis ini berdasarkan sejarah. Tatkala Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar al-Siddiq diangkat sebagai khalifah untuk menggantikan Baginda. Sebahagian daripada orang Arab menjadi kafir.

Abu Bakar bertekad untuk memerangi mereka sekalipun antara mereka ada yang tidak kafir tetapi menolak membayar zakat.

Abu Bakar lalu mengemukakan alasan perbuatannya itu, tetapi Umar berkata kepadanya:

“Bagaimana engkau akan memerangi manusia sehingga mereka mengucap Lailahaillallah sedangkan Rasulullah bersabda: ‘Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga dia mengucap Lailahaillallah dan kelak perhitungannya terserah kepada Allah SWT’”

Abu Bakar lalu menjawab: “Sesungguhnya zakat itu adalah kewajipan yang bersifat kebendaan. Demi Allah, kalau mereka menghalangku untuk mengambil seutas tali unta yang dahulu mereka serahkan sebagai zakat kepada Rasulullah SAW, nescaya aku perangi mereka kerana keengganan mereka itu.”

Kemudian Umar mengikuti jejak Abu Bakar memerangi kaum tersebut.

Al-Khatthabi dan yang lain-lain berkata: “Yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah kaum penyembah berhala dan kaum Musyrik Arab serta orang yang tidak beriman, bukan golongan ahli kitab dan mereka yang mengakui keesaan Allah.”

Untuk terpeliharanya orang-orang yang seperti itu tidak cukup dengan mengucap Lailahaillallah saja, kerana sebelumnya mereka sudah mengatakan kalimah tersebut semasa masih sebagai orang kafir dan hal itu sudah menjadi keimanannya.

Tersebut juga dalam hadis lain kalimah “.. dan sesungguhnya aku ialah Rasul Allah, mereka melaksanakan solat, dan mengeluarkan zakat.”

Hukum Meninggalkan Syahadah, Solat dan Fakat

1. Pemerintah dibolehkan melaksanakan hukum bunuh ke atas orang yang mengingkari solat dan menafikan kewajipannya.

2. Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang enggan membayar zakat.

3. Tidak dibolehkan melakukan sewenang-wenangnya terhadap harta dan darah kaum Muslimin.

4. Pemerintah dibolehkan melaksanakan hukuman mati bagi setiap Muslim yang melakukan perbuatan yang dituntut dijatuhkan hukuman mati seperti; berzina bagi orang yang sudah bernikah (muhshan), membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agama dan jemaahnya (murtad).

 5. Tidak boleh mengkafirkan orang yang melakukan perkara bidaah selagi dia menyatakan keesaan Allah dan menjalankan syariat.

Hukum Meninggalkan Puasa dan Haji

Orang yang tidak berpuasa tidak dibunuh tetapi dipenjarakan serta ditahan makan minumnya.

Manakala haji pula ialah ibadah yang dapat ditangguhkan.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 8 – Kehormatan Seorang Muslim

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑