​​Teks Khutbah Jumaat (Selangor)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

لَقَدِ ٱبْتَغَوُا۟ ٱلْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُوا۟ لَكَ ٱلْأُمُورَ حَتَّىٰ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ ٱللَّهِ وَهُمْ كَـٰرِهُونَ(٤٨) 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Jangan Mengundang Persengketaan”. 

Hadirin Jumaat sekalian

Dalam konteks masyarakat majmuk berbilang kaum, agama dan budaya, konsep halal dalam Islam menuntut sikap dan perilaku menghormati antara manusia. Melaksanakan halal sebagai tuntutan fitrah juga menuntut suatu bentuk tanggungjawab tanpa membezakan status sosial, ekonomi, atau politik sesuai dengan situasi kepelbagaian, kewujudan orang lain, meskipun berlainan bangsa dan budaya hidup. Banyak negara di dunia menghadapi nasib malang dalam menerima situasi kepelbagaian apabila kehidupan rakyat sentiasa terhimpit dengan pergolakan sesama warganya. Perlaksanaan fiqh ta’ayush memerlukan keterlibatan yang aktif oleh semua pihak bagi menjamin keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Isu halal sentiasa berdepan dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan awam dan isu sensitif dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, apabila berhadapan dengan perkara ini, semua pihak perlu memainkan peranan penting dan bertanggungjawab mengekalkan keharmonian dengan mengelakkan timbulnya apa-apa situasi yang membawa kepada salah sangka dan persengketaan. Baru-baru ini pada 14 Disember 2023, tular di media sosial isu tidak dibenarkan menulis ucapan Selamat Hari Krismas di atas kek oleh sebuah syarikat yang disebar luas tanpa diselidiki terlebih dahulu hingga menimbukan pelbagai tanggapan, andaian dan prasangka akibat kenyataan yang dimuat naik dan disebarkan. 

Muslimin sekalian

Perlu diingatkan bahawa situasi sebegini tidak wajar berlaku untuk sebuah masyarakat yang saling hormat menghormati dan mencintai keamanan. Isu pensijilan halal yang dipolemikkan telah memberi persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam itu sendiri, sedangkan Islam adalah agama yang tidak memaksa atau menekan dengan kekerasan bagi seseorang itu untuk menerimanya. Malah kedudukan orang bukan Islam tidak ada bezanya dari orang Islam atas dasar kemanusian sejagat, kebebasan beragama, kedaulatan undang-undang dan keadilan Ilahi.

Setiap warga, pihak atau kelompok masyarakat perlu waspada daripada membuat andaian sendiri, menjadi pencetus provokasi, penabur fitnah atau pembakar api permusuhan sehingga mengakibatkan suasana tidak aman atau huru-hara dalam masyarakat. Sikap waspada dalam perkara sebegini sangat diperlukan supaya tidak mencemarkan agama Islam dan menjadikan Islam disalah faham dan mencetuskan perbalahan. Ketahuilah bahawa agama Islam sangat mementingkan keharmonian sesama insan. Ajaran Islam menekankan hubungan baik bukan sahaja dengan saudara seagama, malah kepada orang bukan Islam. 

Hadirin Jumaat Yang Dikasihi Allah sekalian

Mimbar juga sering mengingatkan, janganlah berprasangka buruk, jangan menyebarkan semua perkara yang kita tahu, lebih teruk lagi, apabila ia suatu yang tidak dapat dipastikan. Sesungguhnya orang yang bercerita atau memanjangkan semua yang diketahuinya boleh membawa kepada kedustaan, malah menimbulkan permasalahan lebih besar. Hadis daripada Hafs bin Asim Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Cukuplah seseorang itu dianggap pendusta apabila dia menceritakan setiap perkara yang didengarinya (tanpa tabayyun atau tanpa usul periksa).”

(Riwayat Muslim)

Dengan itu jangan sesekali menyebarkan perkara yang tidak pasti atau bertindak melulu sehingga mengeluarkan kenyataan tanpa teliti dan usul periksa. Natijahnya hanyalah prasangka, kerugian dan permusuhan. Perkara berkaitan agama adalah antara isu-isu yang disepakati bersama sebagai isu sensitif yang tidak boleh dipermainkan. Bahkan jangan sesekali diperkecilkan kerana ianya hanya membangkitkan kegelisahan rakyat, mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian masyarakat. 

Jangan suka melaga-lagakan antara satu pihak dengan pihak yang lain. Jangan jadikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara sebagai taruhan dalam memperolehi kepentingan individu atau kumpulan tertentu. 

Dalam Islam, seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan kaum Muslimin yang lain daripada kesan keburukan lisan dan tangannya. Bahkan Allah SWT mengingatkan dalam surah al-Ahzab ayat 58 bahawa dosa yang amat nyata apabila wujud individu yang melaga-lagakan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang tidak dilakukannya. 

Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian

Kejadian manusia dengan kepelbagaian adalah sunnatullah dalam penciptaan-Nya. Manusia itu pelbagai rupa, warna, perwatakan dan bangsa. Bahkan tabiatnya pelbagai walau datangnya dari negara yang sama, bangsa dan keluarga yang sama. Hadis daripada Abu Musa al-Ash’ari Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah SWT menciptakan Adam Alaihissalam daripada satu genggaman tanah daripada sekalian tanah di seluruh bumi, maka anak keturunan Adam lahir sesuai kadar atau jenis tanah bumi, ada antara mereka yang berkulit merah, putih dan hitam dan ada antara mereka yang bersifat lembut, kasar, jelik dan baik.”

(Riwayat al-Tarmizi)

Kaum Muslimin yang berbahagia, 

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil pengajaran seperti berikut: 

1. Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa manusia menurut ketetapan Allah SWT dilahirkan dengan pelbagai warna kulit, perwatakan, bahasa dan bangsa agar saling mengenali, saling berbincang dan saling menghormati. 

2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dan Keluhuran Perlembagaan adalah adaptasi sosial masyarakat yang bertujuan memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat. 

3. Umat Islam hendaklah memahami bahawa fitnah, propaganda atau prasangka jika tidak ditangani dengan sebaiknya hanya akan mengundang kebinasaan kepada masyarakat dan negara. 

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ (٢٥)

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” 

(Al-Anfal 8:25)

Tarikh Dibaca: 9 Jamadilakhir 1445H/22 Disember 2023M
Disediakan oleh: Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑