​​Teks Khutbah Jumaat(WP): Meraih Keberkatan Harta

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

وَفِىٓ أَمْوَٰلِهِمْ حَقٌّۭ لِّلسَّآئِلِ وَٱلْمَحْرُومِ (١٩)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kitadibangkitkan dalam kalangan hamba-hamba Allah SWT yang bertakwa di akhirat kelak. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Marilah kita istiqamah menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan diterima Allah SWT. 

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Meraih Keberkatan Harta”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Zakat merupakan penunaian kewajipan ke atas harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT supaya diserahkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Ia bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan mengalirkan kekayaan. Dari aspek rohani, zakat bertujuan membersihkan jiwa, membuang sifat tamak, dan menanamkan rasa empati dalam diri seseorang. Pensyariatan zakat seperti zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan mampu merapatkan jurang pendapatan dan mengeratkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat, selain menjadi salah satu kaedah untuk membasmi kemiskinan tegar.

Tuntutan berzakat telah dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT, surah az-Zaariyat, ayat 19 yang dibacakan tadi membawa maksud:

“Dan pada harta benda mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”      

(az-Zaariyat 51:19)

Menunaikan zakat merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap individu muslim yang telah cukup syarat-syaratnya. Menerusi al-Quran, Allah SWT telah menawarkan balasan-balasan yang istimewa bagi orang yang menunaikan zakat. Sebaliknya bagi yang ingkar dan sengaja meremehkan, adalah berdosa serta dijanjikan azab seksa di akhirat kelak. Allah SWT mewajibkan zakat kepada kita bukanlah kerana Dia berhajat kepada harta kita, bahkan seluruh alam ini adalah milik-Nya. Zakat itu merupakan ujian Allah untuk melihat sejauh mana ketaatan hamba-Nya yang telah dikurniakan dengan berbagai nikmat yang melimpah ruah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya enggan membayar zakat bukanlah suatu pilihan. Di sepanjang sejarah umat, tersebar kisah-kisah golongan yang dibinasakan akibat sifat tamak, bakhil dan kesombongan yang ada dalam diri mereka.

Antara kisah yang wajib dijadikan pengajaran ialah kisah Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa AS. Firman Allah SWT, surah al-Qasas, ayat 78:

قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةًۭ وَأَكْثَرُ جَمْعًۭا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ (٧٨)

Bermaksud: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikanharta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).”

(al-Qasas 28:78)

Qarun yang sombong dan angkuh dengan harta kekayaannya akhirnya telah dibinasakan oleh Allah SWT dengan ditenggelamkan bersama harta-hartanya. Kisah Qarun ini mengajar kita supaya sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat harta yang dianugerahkan dengan cara menunaikan zakat.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat di bawah kepimpinan Abu Bakar Radiallahuanhu telah menghadapi ancaman golongan yang enggan membayar zakat. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Abu Bakar Radiallahuanhu, telah berkata: “Demi Allah, sungguh akan aku perangi golongan yang memisahkan antara solat dan zakat, sesungguhnya zakat adalah hak harta. Demi Allah, jika mereka enggan membayar anak kambing yang dahulunya mereka tunaikan kepada Rasulullah SAW, pasti akan ku perangi kerana keengganan tersebut.

Zakat adalah rukun Islam yang merupakan fardu ain bagi mereka yang berkemampuan dan cukup syaratnya. Walaubagaimanapun berdasarkan riwayat ini, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan jika ada individu dan pihak yang enggan menunaikan zakat. Ketahuilah, kemanisan dan keindahan menunaikan zakat apabila ada pihak yang sudi menerima pemberian kita. Justeru, janganlah kita menangguh-nangguhkan amalan yang baik ini selagi kita mempunyai kesempatan. 

Mari kita hayati sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu,

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:  “Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah berlaku pada kamu harta yang banyak serta melimpah ruah, sehinggakan pemilik harta (sedih kerana) sangat mahukan ada orang yang menerima sedekahnya, sehingga dia sanggup menawarkan hartanya. Lalu orang yang ditawarkanharta itu berkata: Aku tidak memerlukannya.”

Alangkah malang dan ruginya andai keadaan yang seperti ini terjadi, iaitu tiada lagi golongan asnaf yang menginginkan pemberian zakat kita. 

Justeru, mimbar mengingatkan jemaah sekalian yang sememangnya layak untuk mengeluarkan zakat, segeralah melakukannya melalui pelbagai kaedah dan saluran yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Tindakan segera ini diharapkan dapat memperkasa golongan asnaf dan menjana ekonomi umat Islam. Lihatlah hasil kutipan zakat yang telah diperoleh oleh PPZ-MAIWP telah dapat diagihkan sebanyak RM791.57 juta bermula daripada 1 Januari hingga 30 November 2023 yang merangkumi skim pembangunan asnaf, bantuan perlindungan, bantuan ekonomi dan pembangunan ummah. Agihan zakat juga dilaksanakan menerusi skim Wakalah dalam skala yang lebih

luas dan efisien. Justeru, pihak MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023 ini bagi memenuhi aspirasi dan keperluan asnaf yang semakin tinggi dan meningkat saban tahun.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Asnaf mesti dibantu dengan sebaiknya. Mimbar sekali lagi ingin menasihatkan seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan agar membayar zakat kepada PPZ-MAIWP melalui amil-amil zakat yang dilantik oleh MAIWP. Sesiapa yang membayar zakat kepada amil-amil yang tidak bertauliah atau pihak-pihak yang tidak berautoriti, maka ia merupakan satu kesalahan. Kita perlu membayar kepada pihak berauthoriti di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memastikan zakat kita dapat diuruskan dengan sempurna.

Bagi memberi ruang dan peluang kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sendiri zakat dan memperluaskan manfaat zakat kepada pelbagai kategori asnaf, PPZ-MAIWP ada menawarkan skim Wakalah Zakat. Skim ini merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada entiti atau pihak yang membayar zakat kepada PPZ-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Pembayar zakat boleh memohon pengembalian zakat dalam lingkungan 12.5 peratus sehingga 50 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar kepada PPZ-MAIWP, tertakluk kepada kriteria dan syarat yang ditetapkan. Zakat perlu diagihkan kepada asnaf berpandukan garis panduan agihan zakat sebagai mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kita mengharapkan agar usaha kita dalam memenuhi tuntutan berzakat dapat membantu pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan selaku agensi pengagihan zakat di Wilayah Persekutuan untuk menyusun lebih banyak lagi program-program pembangunan asnaf, membantu mereka untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan dapat meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

Di samping itu, para pembayar zakat juga akan menikmati rebat cukai berdasarkan kadar zakat yang dikeluarkan. Semakin tinggi kadar zakat yang ditunaikan, maka begitulah juga rebat yang diberikan kepada pembayar zakat tersebut daripada jumlah cukai pendapatan yang dikenakan ke atasnya. Jika amaun zakat itu telah melebihi atau menyamai amaun cukai, maka individu tersebut layak mendapat rebat cukai sebanyak seratus peratus daripada amaun zakat yang dibayar. Inilah antara kemudahan yang disediakan untuk dimanfaatkan oleh pembayar-pembayar zakat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Pensyariatan zakat seperti zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan mampu mengurangkan jurang pendapatan dan mengeratkan persaudaraan, di samping dapat mengurangkan kemiskinan dalam masyarakat dan mengukuhkan sektor ekonomi.

Kedua: Kikislah dan buanglah sifat bakhil dengan mengeluarkan zakat. Renungkan kisah-kisah tauladan mengenai golongan yang bakhil yang mendapat kemurkaan Allah SWT akibat tidak melaksanakan kewajipan menginfakkan harta.

Ketiga: Bersegeralah menunaikan kewajipan zakat melalui pelbagai saluran yang disediakan demi meraih keredaan Allah SWT dan demi manfaat asnaf serta golongan yang amat memerlukan bantuan.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah Saba’, ayat 34:39

قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ (٣٩) 

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Saba’ 34:39)

Tarikh Dibaca: 9 Jamadilakhir 1445H/22 Disember 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑