Wanita Bekerjaya Bukan Suatu Masalah 

Wanita bekerjaya bukan lagi suatu perkara yang pelik berlaku, tetapi ianya sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman dalam negara kita. Islam tidak melarang wanita bekerja di luar rumah malah hukumnya adalah harus. 

Terlalu banyak dalil berkaitan keharusan wanita bekerja di luar rumah. Selain nas al-Qur’an dan hadith, terlalu banyak kisah dan sejarah wanita Muslimah bekerja pada zaman Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing). Dia juga mendapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”. (al-Qasas 28:23). 

Selain itu, terdapat beberapa hadith menyokong wanita untuk bekerja seperti berikut: 

1. Ar-Rubaiyyie` binti Mu‘awwiz RA berkata : “Kami pernah berperang bersama-sama Nabi SAW dan kami berkhidmat kepada mereka. Kami menghantar tentera yang terbunuh (syahid) dan yang tercedera pulang ke Madinah.” (Riwayat Bukhari)

2. Ummu ‘Athiyyah menceritakan dalam sebuah hadith bahawa beliau pernah bekerja di medan perang bersama-sama Rasulullah SAW. Beliau berkata : “Aku pernah turun ke medan peperangan bersama-sama Rasulullah SAW dalam tujuh peperangan. Aku berada di belakang rombongan mereka. Aku menyiapkan bala tentera makanan mereka. Aku merawati tentera yang tercedera dan yang sakit.” (Riwayat Muslim). 

Seterusnya kita akan meneliti beberapa nas fiqh mazhab dalam membenarkan wanita bekerja di luar rumah. 

Ulama` dalam mazhab as-Syafi‘e menyatakan apabila suami dalam keadaan susah, tidak mampu memberi nafkah dan tertangguh nafkahnya terhadap isteri, maka isteri dibenarkan keluar rumah untuk mendapatkan nafkah (perbelanjaan) melalui bekerja, berniaga atau meminta. Suami tidak boleh melarang isterinya, kerana sekiranya dia melarang maka wajib dia sediakan nafkah tanpa isterinya bekerja. Isteri boleh keluar mencari perbelanjaan sepanjang tempoh tertangguhnya nafkah dari suami. 

Manakala bagi Ulama’ Hanbali pula menyatakan, apabila suami susah untuk menyediakan nafkah kepada isterinya, maka isteri berhak memilih sama ada fasakh atau meneruskan pernikahan tersebut. Suami tidak boleh melarang isterinya keluar bekerja dan suami juga tidak boleh menahan isterinya hidup sentiasa dalam kesusahan bersama-sama suaminya kerana akan memberi mudharat kepada isteri. Suami berhak melarang isterinya bekerja sekiranya mencukupi segala perbelanjaan dan menyiapkan segala hajat isterinya. 

Empat Nilai Dalam Memberi Keizinan Wanita Bekerja Luar Rumah

Namun demikian, Prof Dr Wahbah az-Zuhaili telah menggariskan empat nilai yang harus dilihat dalam memberi keizinan wanita bekerja di luar rumah. 

Pertama ialah dengan hajat wanita dibenarkan bekerja di luar rumah atas sebab tertentu dan mendapat keizinan suami atau wali. 

Kedua, wanita tersebut berada dalam keadaan aman ketika bekerja. Aman yang dimaksudkan adalah aman bagi maruahnya, dirinya, hartanya, perjalanannya pergi balik, dan juga terhindar dari fitnah. 

Ketiga adalah seharusnya wanita menepati adab-adab dan hukum berkenaan kewanitaan seperti keizinan dari suami atau wali hatta pekerjaan tersebut sesuai dengan fitrah kewanitaannya.

Keempat ialah menyelesaikan dahulu segala tanggungjawabnya dengan baik seperti tanggungjawab kepada rumah tangga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Orang lelaki itu pemelihara (bertanggungjawab) terhadap keluarganya (isteri dan anak) lalu dia akan dipersoalkan nanti tentang tanggungjawabnya itu, dan perempuan itu pemelihara (bertanggungjawab) terhadap rumah suaminya. Dia akan dipersoalkan nanti tentang penjagaannya itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Setelah wanita tersebut bekerja, sudah pasti wanita tersebut akan menerima gaji dari majikannya. Gaji tersebut adalah hak milik mutlak wanita tersebut dan tiada sesiapa pun berhak berkongsi atau menggunakan hartanya itu tanpa kebenaran. 

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya”. (an-Nisa’ 4:4)

Menerusi ayat ini sangat jelas untuk kita faham bahawa segala yang wanita perolehi hasil dari ia bekerja, maka itu adalah hak milik mutlaknya, dan perlunya meminta kebenaran sebelum menggunakan hartanya. 

Walau bagaimanapun, isteri digalakkan membantu suami meskipun pada asalnya itu bukanlah tanggungjawab isteri. Akan tetapi jika suami tidak mampu menyara disebabkan kesusahan (sakit) dalam mendapatkan nafkah maka isteri wajib bekerja sekiranya isteri memilih untuk setia dengan akad tersebut. 

Meskipun isteri sudah bekerja dan memiliki kewangan sendiri hasil daripada gaji, namun hukum nafkah suami terhadap isteri tidak akan gugur dan suami wajib memberi nafkah serta menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya; sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”. (at-Talaq 65:7)

Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkhutbah: “Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT dalam masalah perempuan. Sesungguhnya kalian mengambil mereka (nikah) dengan amanah daripada Allah SWT, kalian meminta dihalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah SWT, dan wajiblah ke atas kalian menyediakan rezeki dan pakaian (nafkah) kepada mereka dengan cara yang baik.” (Riwayat Muslim). 

Sementara itu, suami juga mempunyai hak melarang isteri dari keluar rumah untuk bekerja, dan berhak memaksa isteri meninggalkan kerjanya apabila tidak ada keperluan untuk itu. Hatta suami boleh melarang isteri dari terus bekerja jika tanggungjawab asasi isteri tidak diuruskan dengan sempurna di samping suami telah menyediakan nafkah dengan selengkapnya.

“Bagaimana jika wanita tersebut telah bekerja sebelum bernikah?” Menurut Prof Dr Wahbah az-Zuhaili telah menyatakan : “Sekiranya isteri telah bekerja sebelum bernikah, suami harus berterus terang jika tidak inginkan isterinya bekerja dan meletakkan syarat awal. Dengan meletakkan syarat sedemikian, maka wajib bagi suami menyediakan perbelanjaan dan keperluan isteri dengan sempurna, manakala wajib ke atas isteri menurut syarat tersebut jika bersetuju dengan syarat yang dipersetujui. Sekiranya suami tidak meletakkan syarat dengan jelas dan terang, maka suami telah mencabut haknya dari mewajibkan isteri bekerja dan suami tiada hak memaksa isteri bekerja di luar rumah.” 

Kesan-Kesan Yang Mungkin Terjadi Jika Wanita Bebas Bekerja Di Luar Rumah

Walaupun demikian, Prof Dr Wahbah Zuhaili telah menyatakan kebimbangan beliau terhadap kesan-kesan yang mungkin terjadi jika wanita bebas bekerja di luar rumah. Antara kesan bahaya yang beliau sebutkan ialah wujudnya perasaan ingin bebas isteri dari telunjuk suami. 

Kesan Psikologi: Secara psikologinya, apabila isteri sudah bekerjaya, pasti mereka akan terbeban dengan bebanan yang begitu banyak seperti bebanan tempat kerja dan bebanan rumah tangga. Beliau telah melihat kesannya iaitu wanita (isteri) mula mengasingkan diri daripada suami segenap aspek khususnya ekonomi individu. Kehidupan yang sebelum ini saling kongsi berkongsi dan saling lengkap-melengkapi akan terhakis secara dasarnya. 

Kesan Terhakis Keintiman: Kedua, Perkongsian hidup dan hubungan intim suami isteri semakin terhakis. Memandangkan kurun ke 20 ini wanita bekerjaya bukanlah suatu benda yang pelik lagi, ianya sudah menjadi kebiasaan kepada wanita untuk bekerjaya. Wanita merasa bebas jika mereka memiliki kewangan sendiri dan merasakan bahawa tidak memerlukan lelaki dalam kehidupan mereka. Sebaliknya rumah yang sepatutnya dihiasi dengan kasih sayang suami isteri bertukar menjadi bilik seperti hotel, hubungan suami isteri pasti tidak akan kekal melainkan hanya untuk memuaskan nafsu seksual maing-masing. 

Kesan Pengabaian Penjagaan Anak: Penjagaan anak berkemungkinan juga akan terabai sekiranya isteri bekerja di luar rumah. Terabai yang dimaksudkan bukan hanya setakat makan dan minum anak-anak, tetapi yang perlu diluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja akan menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak. Anak-anak ini lebih banyak meluangkan masa dengan orang lain berbanding dengan orang tuanya sendiri maka ianya akan mempengaruhi kehidupan anak-anak kerana hubungan kekeluargaan yang amat renggang antara anak-anak dan ibubapa. 

Sebagai peringatan kepada ibu bapa yang bekerja, anak-anak kini mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mereka lihat. Justeru itu, ibu bapa seharusnya memerhatikan anak-anak mereka walaupun ibu bapa tidak mempunyai ruang untuk meluangkan masa dengan anak-anak. Carilah peluang tersebut kerana anak adalah amanah kepada ibu bapa. 

Kesan Emosi: Kesan terakhir, wanita adalah insan yang sangat sukar mengawal emosi, dibimbangi tekanan kerja yang dialami wanita semasa bekerja menyebabkan sentiasa berlakunya perselisihan faham dalam hubungan suami isteri. Lebih parah lagi, terdapat adanya segelintir ibu melepaskan tekanan kerjaya kepada anak-anak dan anak menjadi mangsa dera setiap hari. Jika keadaaan ini berlaku maka masalah lain akan timbul tanpa kita diduga iaitu kes anak lari dari rumah. 

Kesimpulan 

Keizinan syariat membenarkan wanita untuk bekerja tidak membawa maksud menggalakkan mereka bebas bersosial tanpa batas, sebaliknya adab-adab dan hukum agama seharusnya mereka jaga sepanjang bekerja. Walaupun dilihat secara tersirat, wanita bekerja dapat membantu suami dalam menyara perbelanjaan keluarga memandangkan ekonomi negara kita kini yang semakin mendesak, tetapi jika dilihat secara tersurat sebenarnya wanita (isteri) telah menambah lebih banyak tanggungjawab iaitu tanggungjawab asas kepada suami dan anak-anak, keluarga disamping tanggungjawab dengan majikan. 

Jika berlaku sebarang kecacatan isteri terhadap tanggungjawabnya kepada keluarga, maka wanita tersebut berisiko menanggung dosa dari kesilapannya. Pesanan buat suami, dengan kebenaran syariat membenarkan wanita bekerja bukan bermaksud kita sebagai suami bebas goyang kaki di rumah sambil menelan hasil pencarian isteri, tanggungjawabnya sebagai suami tidak akan gugur selagi memiliki kudrat. Pesanan kepada isteri (wanita), jika bekerja biarlah mendapat keizinan suami anda, kerana keredhaan hidup isteri terletak pada keredhaan suaminya dan wanita yang ingin bekerjaya seharusnya melihat terlebih dahulu adakah kerjaya yang ingin diceburi itu sesuai dengan kudrat kewanitaan yang dimilikinya.

Oleh: Mohamad Fadzil Awang | Mahasiswa Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)
Sumber: Majalah Sinar Rohani, JAKIM 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑