Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 9 –Pilih Yang Mudah & Tinggalkan Yang Susah

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”

(al-Baqarah 2:286) 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Abdul Rahman bin Shakhr RA berkata, Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Apa pun yang saya larang kamu lakukan, maka jauhilah; dan apa pun yang saya perintahkan kamu lakukan, maka kerjakanlah sekadar kemampuan. Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).””

(Riwayat Muslim no. 1337)

Huraian 

Hadis ini terdapat dalam Kitab Muslim daripada Abu Hurairah,beliau berkata: “Rasulullah berkhutbah di hadapan kami, sabda Baginda yang bermaksud: ‘Wahai manusia, Allah telah mewajibkan kepada kamu haji, oleh itu berhajilah.’ Al-Aqra’ bin Habis RA bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah setiap tahun?’ Baginda diam, sampai al-Aqra’ bertanya tiga kali, lalu Nabi menjawab: ‘Kalau aku katakan ya, nescaya menjadi wajib sedangkan kamu tidak akan sanggup melakukannya.’

Kemudian Baginda bersabda: ‘Biarlah aku dengan apa yang aku diamkan, kerana kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana banyak bertanya dan membangkang nabi-nabi mereka. Maka jika aku perintahkan melakukan sesuatu, kerjakanlah menurut kemampuan kamu, tetapi jika aku melarang kamu melakukan sesuatu, maka tinggalkanlah.””

Para ahli usul fiqh mempersoalkan perintah dalam agama, apakah perintah itu harus dilakukan berulang-ulang atau tidak. Sebahagian besar ahli usul figh ahli ilmu kalam menyatakan tidak wajib berulang-ulang. Akan tetapi, yang lain tidak menyatakan setuju atau menolak tetapi menunggu penjelasan selanjutnya.

Hadis ini dijadikan dalil bagi mereka yang bersikap menanti, kerana sahabat tersebut bertanya: “Adakah setiap tahun?” Sekiranya perintah itu dengan sendirinya mengharuskan pelaksanaan berulang-ulang atau tidak, tentu Nabi SAW tidak menjawab dengan sabda: “Kalau aku katakan: ‘Ya’, nescaya menjadi wajib dan kamu tidak akan sanggup melakukannya.” Bahkan tidak ada gunanya hal tersebut ditanya.

Akan tetapi, secara umum perintah itu mengandungi pengertian tidak perlu dilaksanakan berulang-ulang. Kaum Muslimin sepakat bahawa menurut syariat, haji itu hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup.

Jenis Larangan

  • Larangan agama: Jangan meninggalkan ibadah.
  • Larangan peribadi: Jangan minum yang memabukkan atau membunuh diri.
  • Larangan harta benda: Jangan mencuri, merompak dan membina- sakan wang ringgit.
  • Larangan masyarakat: Jangan bermusuh dan bergaduh.

Laksanakan Suruhan

  • Suruhan wajib: Taat kepada ibu bapa, mendirikan solat, menunaikan puasa dan sebagainya.
  • Suruhan sunat: Memberi sedekah, menolong orang susah, memberi salam dan lain-lain.

Apabila Rasulullah SAW menyebut lakukan sesuatu “sekadar kemampuan” bukan bermakna cukuplah seseorang melaksanakan amalan secukup rasa atau setakat ala kadar. Adapun sekadar kemampuan itu menggalakkan setiap Muslim untuk melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram dengan bersungguh-sungguh.

Namun tidaklah harus berlebih-lebihan seperti sahabat Nabi Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As yang ingin berpuasa seumur hidup. Beliau dilarang oleh Rasulullah. Sekadar kemampuan mengajar kita untuk mengambil manhaj wasatiyyah dalam semua aspek.

Pengajaran

1. Jangan membanyakkan pertanyaan atau soalan tentang perkara yang belum pernah terjadi, yang sukar difahami dan yang menimbulkan masalah yang menyulitkan serta menyempitkan hukum agama. 

2. Sesuatu yang didiamkan itu merupakan rahmat bagi kamu, maka janganlah bertanyakan lagi seperti firman Allah:

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَسْتَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang jika dijelaskan kepada kamu, akan menyusahkan kamu.

(Surah al-Ma’idah 5: 101)

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 9 –Pilih Yang Mudah & Tinggalkan Yang Susah

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑