Oleh Mymuslimin.com
Negeri Sembilan memang sohor dengan masakan lemak cili padinya yang sedap lagi mantap! Walaupun bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan masak lemak cili padi tidaklah serumit mana, air tangan orang Negeri Sembilan menjadikan masakan ini digemari ramai warga Malaysia. Ada khilaf antara ‘guna bawang’ dan ‘tak guna bawang’ dalam masakan masak lemak ini sebenarnya. Namun, pendapat yang diterima ramai ialah tiada berbawang. Di mana lagi hendak menikmati sajian masak lemak cili padi salai lazat jika bukan di Negeri Sembilan. Untuk memudahkan pencarian, kami tampilkan 9 restoran masak lemak cili padi yang sedap untuk dicuba di Darul Khusus ini.
Mymuslimin.com menyenaraikan 9 restoran masak lemak terkenal di Negeri Sembilan:
1. Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd – Wisma PBNS, P/3, 102, Jln Zaaba, Rahang Kechil, 70100 Seremban, Negeri Sembilan (Buka 800 pagi – 500 petang setiap hari)



Penggemar lauk masak lemak cili padi nismilan akan rambang mata bila berada di Restoran Nelayan yang terletak di Seremban ini. Walaupun kelihatan seperti semuanya kuah kuning santan berkunyit, protein yang ditawarkan berbeza-beza dan cara masaknya juga bukan dipulun satu cara. Ada gulai masak lemak ikan baung, gulai ikan puyu, gulai ayam kampung, gulai burung puyuh, gulai daging lembu, gulai daging rusa, gulai telur itik, gulai ayam biasa, gulai udang galah, gulai cendawan kukur, gulai telur ikan, dan banyak lagi pilihan penggemar gulai masak lemak cili padi! Gulai-gulai ini disempurnakan dengan penggunaan belimbing, mangga, asam keping untuk menambah lazat masakan. Ditambah dengan beraneka sambal, ulam dan jeruk, Restoran Nelayan antara terbaik di Negeri Sembilan.
2. Restoran Itik Salai Masthar @ Nilai – Lot 655, 3265, 71800 Nilai, Negeri Sembilan (Buka 1100 pagi – 500 petang – Jumaat Tutup)



Restoran Itik Salai Masthar di Nilai, Negeri Sembilan ini menawarkan nasi campur Melayu dengan lauk-lauk popular Negeri Sembilan. Bukan hanya itik salai, berjenis hidangan masak lemak cili padi tersedia untuk dipilih pelanggan. Rasa masak lemak itik salai di sini tidak serupa dengan rasa masak lemak siput sedut, masak lemak daging lembu atau masak lemak telur itik. Yang pasti, semuanya dimasak sangat sedap, tidak terlalu pedas, dihidang dalam portion yang baik dan ditawar dengan harga yang berpatutan. Daging-daging di Restoran Itik Salai Masthar ini disalai oleh restoran sendiri untuk rasa salai yang unik.
3. Watie Corner – Jalan Nilai Santalia, Taman Desa Jasmin, 71800 Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan (Buka 1130 pagi – 200 petang, Ahad Tutup)



Restoran Watie Corner ini bertempat di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, menawarkan masakan yang dimasak panas-panas dan dihidangkan di atas pinggan tradisional untuk pelanggan merasai suasana makan di kampung Melayu pada zaman dahulu kala. Hidangan yang disajikan di Watie Corner ini memang masakan kampung biasa-biasa belah Selatan, ringkas dan dimasak cukup rasa dengan harga mesra dompet. Sajian satu dulang empat lauk yang disediakan Restoran Watie Corner ini memang menyelerakan.
4. Hay Yan Hu Da Opah’s Kitchen – 44, Jalan Bukit Temiang 1, Taman Bukit Temiang, 70200 Seremban, Negeri Sembilan (Buka 1100 pagi – 1000 malam, Isnin Tutup)



Hay Yan Hu Da menyediakan masakan nogori yang asli, menggunakan resepi turun-temurun keluarga pengasasnya. Daging salai masak lemak menjadi hidangan utama di sini di samping udang galah masak lemak, asam pedas tetel, ayam kampung goreng, ikan sembilang berlado, sambal udang petai, sambal tempoyak daun, ulam-ulaman sambal belacan dan beraneka lauk-pauk lagi. Hay Yan Hu Da merupakan restoran yang mesra kepada anak-anak autistik dan semua pelanggan diminta menanggalkan kasut sebelum melangkah masuk kerana kanak-kanak austistik suka berbaring di atas lantai. Berlatarbelakangkan kehijauan pokok-pokok dan pepohonan, serta langit yang membiru, ruang yang luas di restoran ini memberi suasana kampung dan ketenangan kepada para pelanggannya.
5. Lomak Salai – Jln Seremban – Tampin, 73000 Tampin, Negeri Sembilan (Buka 1100 pagi – 530 petang, Rabu Tutup)



Bermacam-macam pilihan lauk tersedia dan tentu sekali lauk utama ialah masak lomak cili padi dengan pilihan ikan, daging, ayam, udang, dan sebagainya. Lomak di sini terasa salainya dan sememangnya cukup rasa. Bagi orang Melaka dan Negeri Sembilan, asam pedas memang tidak boleh dilupakan. Asam pedas tetel atau ikan perlu ada pedas dan masamnya barulah terangkat bila dimakan. Terdapat juga stesyen ikan bakar dengan cecahan yang menarik. Selain itu, Lomak Salai juga menyediakan beraneka lauk-lauk lain seperti rendang, sambal-sambal, hidangan sayuran, ulaman dan sebagainya. Sambal gesek nogori campuran cili padi, petai dan ikan bilis antara yang mesti dicuba.
6. Restoran Jelebu @ Restoran Daging Salai Jolobu Biso Bonar – Jln Dato’ Moyang Salleh, Kampung Jelebu Tengah, 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan (Buka 800 pagi – 500 petang setiap hari)



Lomak Salai Biso Bonar menghidangkan daging itik dengan daging lembu yang disalai sempurna, lembut, smoky dan sedap. Masak lemaknya diadun sedikit cair berbanding lemak di restoran lain yang kami pernah cuba tetapi masih berperisa. Dicampur dengan sambal belacan, ulam-ulaman, tempe goreng, hasilnya memang menepati citarasa orang Selatan. Restoran ini juga menyediakan live music dengan lagu-lagu Melayu lama yang nostalgik untuk menghiburkan pelanggannya. Ramai penunggang basikal makan di sini, mungkin kerana lokasinya hampir dengan lokasi persis New Zealand di Jelebu, Negeri Sembilan.
7. Warung Salai, Batu 5 Medan Remis – Jalan Remis 2, Medan Remis Teluk Kemang, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan (Buka setiap hari 1100 pagi – 630 petang)



Masak lemak salai di Warung Salai Port Dickson Original nismilan ini tidak terlalu cair mahupun terlalu pekat, secukup rasa. Daging salai sempurna dengan tekstur yang lembut dan cukup rasa ‘asap’nya. Untuk yang tak biasa dengan kepedasan, lemak di sini memang pedas, berair juga mata dibuatnya. Tapi untuk orang nismilan yang makan cili padi macam kacang goreng, pedas di sini tidaklah mencabar. Yang menariknya, hidangan masak lemak di sini menggunakan asam yang berlainan untuk gulainya seperti mangga dan belimbing, dan di dalamnya kuah juga ada sayur pucuk ubi untuk lebih rasa kampung.
8. Lauk Kampung & Salai Mantin – Kampung Seri Mantin, 71700 Mantin, Negeri Sembilan (Buka 1030 pagi – 300 petang, Isnin Tutup)



Pelbagai juadah lauk-pauk Melayu disediakan di Lauk Kampung & Salai Mantin tetapi masak lemak cili padi di restoran ini memang mantap! Entah apa yang lainnya tetapi sekali pekena teringat-ingat sedap lemaknya. Semua masak lemak cili padi di sini telah disediakan semangkuk-semangkuk jadi senang bagi pelanggan untuk memilih. Perisa sungguh masakannya, dan hidangan yang paling menyelerakan ialah masak lemak cili padi siput sedut. Jangan sedut kuat sangat, nanti pedas naik ke kepala!
9. Aunty Aini’s Garden Cafe – Batu 16, Kampung Chelet, 71800 Nilai, Negeri Sembilan (Buka 1130 pagi – 200 petang, 530 petang – 900 malam, Isnin Tutup)



Itik salai gulai lemak cili padi, ayam kampung, kerabu kerang pucuk paku, sup ekor, sambal belacan, petai, sajian di Aunty Aini’s ini semuanya sedap! Restoran masakan Melayu berkonsepkan taman ini cukup popular di kalangan warga tempatan dan pelancong dari Lembah Klang. Lihat sahajalah gulai lemak itik salainya yang menggiurkan ditambah dengan suasana kampung di keliling restoran ini, serta-merta terasa seperti berada di kampung halaman. Harga di Aunty Aini’s sedikit tinggi berbanding di restoran lain tetapi rasanya berbaloi-baloi.
Leave a comment