Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Zakat Payung Asnaf

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

 إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ(٦٠)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.

Tajuk khutbah pada hari ini ialah “Zakat Payung Asnaf.” 

Hadirin yang berbahagia

Masyarakat selalu keliru, siapakah yang layak menerima zakat? Hakikatnya, Allah SWT menjelaskan bahawa hanya ada lapan golongan sahaja yang boleh menerima santunan zakat, sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 60 yang dibaca dipermulaan khutbah tadi:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orangorang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” 

(at-Taubah 9:60)

Maknanya, hanya mereka yang termasuk ke dalam golongan di atas sahajalah yang layak. Ibu tunggal, anak yatim, gelandangan mahu pun warga emas hanya layak, jika termasuk ke dalam salah satu asnaf. Contohnya, ibu tunggal yang miskin dibantu atas sifat kemiskinannya, bukan kerana sifat ibu tunggalnya. Syarak juga amat memberikan keutamaan kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf. Maka, mereka telah menerima pakej bantuan yang menyeluruh agar dapat keluar daripada kemiskinan dan tidak selamanya bergantung kepada bantuan. Antara bantuan itu ialah sara hidup bulanan, perumahan (sewa, baik pulih dan bina baharu), pendidikan (pra sekolah hingga ke universiti) dan ekonomi untuk menjalankan perniagaan. 

Hadirin jemaah yang dirahmati Allah SWT, 

Bolehkah kita membayar zakat pendapatan di luar negeri daripada tempat kita berkhidmat? Ketahuilah bahawa zakat pendapatan mestilah dibayar di tempat di mana kita berkhidmat dan mencari rezeki, walaupun kita menetap di luar daripada daerah tempat berkhidmat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Mawardi dalam kitab al-Hawi al-Kabir bahawa: “Maka sekiranya yang berkaitan dengan zakat harta, maka yang diraikan dalam hal ini adalah tempat harta dan bukannya tempat (tinggal) orang yang memiliki harta tersebut.” 

Sandaran ini menunjukkan keutamaan membayar zakat di tempat seseorang itu mencari rezeki. Ini adalah kerana fakir miskin di kawasan tersebut adalah lebih berhak untuk menerima zakat daripada hasil yang ditunaikan oleh pembayar-pembayar zakat di kawasan tersebut. Ini berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 9 Mei 2002 telah menjelaskan bahawa “Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat Zakat Selangor.” 

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian

Pengurusan Zakat Selangor amat menjaga amanah dalam urusan zakat. Segala peruntukan yang dibelanjakan tidak disembunyikan dan dilaporkan setiap tahun. Aspek agihan menjadi keutamaan, agar para pembayar tahu ke mana wang mereka diagihkan. Pada tahun 2022 misalnya, RM1.05 billion telah diagihkan kepada semua asnaf. Ia meliputi RM207.2 juta untuk fakir, RM360.8 juta untuk miskin, RM131.4 juta untuk amil, RM52.2 juta bagi muallaf, RM22.9 juta bagi riqab, RM90 juta bagi gharimin, RM183.9 juta bagi fisabilillah dan RM0.9 juta bagi ibnu sabil. 

Melalui Program Pembangunan Sosial misalnya, RM627.75 juta dibelanjakan dan memberi manfaat kepada 162,000 keluarga asnaf dan 444 buah institusi. Lebih membanggakan, seramai 6,000 orang asnaf keluar dari kemiskinan dan menjadi usahawan. 

Di bawah Program Pembangunan Pendidikan pula, RM58.3 juta telah dibelanjakan dengan 95,954 penerima dari pra sekolah hingga universiti dan meliputi bidang pengajian, seperti Pengajian Islam, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Bagi penghafaz al-Quran, Dermasiswa Huffaz berjumlah RM11.1 juta telah diterima oleh 5,234 orang penghafaz al-Quran. Melalui Tunas Usahawan Asnaf Selangor pula, 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor berjaya menjadi usahawan dalam pelbagai bidang. 

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian

Di Selangor sebenarnya terdapat ramai sekali ikon asnaf zakat yang menempa nama sebagai manusia tauladan. Antara ikon asnaf berjaya di Selangor ialah Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Farid Ravi bin Abdullah, yang kini merupakan Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS). Beliau antara contoh asnaf muallaf yang dibantu dari awal ke-Islamannya, sehinggalah akhirnya berjaya mengangkat martabat dirinya setanding malah lebih tinggi berbanding orang lain. Malah hari ini beliau sering menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak dalam mencipta kejayaan walaupun berstatus muallaf. 

Kita juga boleh berbangga dengan anak-anak asnaf yang sudah melepasi gerbang universiti, menggondol ijazah dan seterusnya menjawati pelbagai pekerjaan, menjadi doktor, guru, pensyarah, jurutera dan sebagainya. Mereka membuktikan bahawa zakat yang disalurkan, memberikan kesempatan untuk mencipta anjakan dalam kehidupan. 

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Hakikatnya, dengan kemampuan mengagihkan zakat sebanyak RM1.05 billion dan kutipan zakat sebanyak RM1.07 billion pada tahun 2022, jelas menunjukkan pengurusan Zakat Selangor benar-benar dipercayai di negeri ini. Semua ini diperolehi dengan penuh perjuangan.

Sejajar dengan usia 30 tahun Zakat Selangor pada tahun 2024, maka pengurusan Zakat Selangor sedar bahawa kunci kejayaan ini adalah dengan istiqamah memberikan khidmat yang terbaik, khususnya dalam aspek agihan zakat. Apabila pembayar zakat berpuas hati, mereka akan terus setia menunaikan zakat. 

Pengurusan Zakat Selangor juga menjadi contoh kepada banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan banyak lagi. Mereka teruja melihat inovasi zakat di Selangor dan memberi manfaat yang cukup banyak kepada umat Islam. Maka, untuk memastikan kejayaan ini berkekalan ia perlu terus mendapat sokongan semua pihak. Cara yang mudah, laporkanlah kepada Zakat Selangor jika dapati ada orang-orang yang layak dibantu; dan buanglah sikap secara sebarangan menularkan isu-isu zakat di media sosial. Muslimin sekalian, Khatib menyeru agar kita sama-sama berganding bahu memperkasakan zakat di negeri ini, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 7: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَنصُرُوا۟ ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ (٧)

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

(Muhammad 47:7)

Ingatlah, setiap usaha kita meringankan beban umat Islam yang lain, maka Allah SWT menjanjikan untuk meringankan beban kita. Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagi mana hamba (itu) membantu saudaranya.”

(Riwayat Muslim)

Hadirin sekalian, 

Mengakhiri khutbah kali ini, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dijadikan pedoman: 

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa zakat itu amat besar peranannya dalam memayungi kemaslahatan umat Islam. 

2. Umat Islam juga perlu sedar bahawa pengurusan zakat yang baik akan menatijahkan kebaikan kepada umat Islam di negeri ini. 

3. Zakat Selangor selaku institusi yang diamanahkan oleh DYMM Sultan Selangor untuk menguruskan zakat perlulah diberikan sokongan moral dan material agar dapat menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin. 

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ (٥٥)

“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).”

(al-Maidah : 55)

Tarikh Dibaca:16 Jamadilakhir 1445H/29 Disember 2023M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑