أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ (١٨)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ketakwaan yang sebenar, kita akan tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beroleh kerahmatan dan keberkatan di dunia dan di akhirat. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Marilah kita istiqamah menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau. Semoga Allah SWT menerima segala doa dan amal soleh kita.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Muhasabah Membentuk Peribadi Muslim”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Beberapa hari lagi tahun 2023 akan meninggalkan kita. Pastinya lembaran tahun ini menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis yang menjadi pengalaman berharga dalam hidup kita. Bertambahnya tahun bermakna usia kita turut meningkat yang menandakan bahawa kehidupan kita semakin hampir kepada kematian. Sebagai manusia, pertambahan usia bukan jaminan panjangnya umur kerana kematian tidak pernah mengenal usia tua atau muda. Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa memperhatikan segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan pada setiap masa dan mempersiapkan diri dengan bekalan yang sebanyaknya bagi menempuh kehidupan yang abadi di akhirat kelak. Renungkan firman Allah SWT sebagaimana yang dibacakan tadi menerusi surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”
(al-Hasyr 59:18)
Muhasabah merupakan perkara yang baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak mahu menilai kekurangan dalam diri mereka. Ia umpama ubat yang pahit tetapi menjadi penawar yang dapat mengubati pelbagai penyakit. Kerana itulah orang yang selalu bermuhasabah dapat membersihkan diri daripada kejahilan, kekurangan, noda dan dosa. Namun, harus kita sedar bahawa amalan bermuhasabah bukan hanya sekadar mengingati dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah dilakukan, kerana hakikat muhasabah juga adalah memaksa diri untuk kembali taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.
Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Syaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang bijak adalah orang yang bermuhasabah tentang dirinya (sebelum dihisab pada akhirat kelak) dan beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah.”
Hasan al-Basri pernah berkata: “Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah bagaimana kita mengutamakan Allah SWT dalam kehidupan kita.” Justeru, dari sinilah kita dapat menentukan sama ada kehidupan kita ini dekat atau jauh dari reda
Allah SWT. Sebelum kita membina azam menjelang ketibaan tahun baru, nilailah kembali sejauh mana tahap pengamalan hidup sebagai seorang muslim. Perbanyakkanlah bertaubat kepada Allah SWT. Kita mengharapkan dengan cara menilai diri, mencari kelemahan dan kekurangan diri di samping insaf dan bertaubat terhadap segala perlakuan yang mengundang dosa, Allah SWT memberi kasih sayang, rahmat, berkat dan keampunan kepada kita di dunia ini.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam kita mempersiapkan diri menempuh cabaran hidup di tahun hadapan, perancangan yang rapi dan terbaik mesti kita lakukan. Kita harus sedar bahawa kehidupan di dunia merupakan medan ujian. Oleh kerana itu, setiap usaha yang kita lakukan bagi mencapai azam dan cita-cita pastinya melalui liku-liku dan cabaran. Jika tidak sanggup menghadapi ujian dan dugaan, mana mungkin kejayaan yang dicita-citakan akan dapat dicapai. Justeru, ingatlah bahawa orang yang berjaya perlu mempunyai sikap optimis iaitu sikap positif dalam menghadapi ujian hidup dan selalu mempunyai harapan yang baik dalam menghadapi sesuatu perkara. Sedangkan orang yang malas dan tidak suka kepada cabaran dan kesukaran sentiasa bersikap pesimis iaitu mudah putus asa dan kecewa.
Orang mukmin yang baik ialah mereka yang bersangka baik dengan Allah SWT. Apa jua ujian dan cabaran dalam kehidupan dilihat sebagai sesuatu yang positif dan baik. Di samping itu, mereka juga sentiasa reda dan bersabar menghadapinya sehingga akhirnya membuahkan keyakinan yang tinggi terhadap ketentuan Allah SWT. Oleh itu, marilah kita menjadi hamba Allah SWT yang bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan, perbanyakkanlah amal ibadah dan amal soleh, lakukanlah perubahan diri ke arah yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan dan pertingkatkanlah ilmu pengetahuan agama yang menjadi tunjang kehidupan mukmin yang sejahtera di dunia dan di akhirat.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Sebagai muslim, kita sememangnya mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Tanggungjawab kepada agama dengan memelihara akidah, syariah, akhlak dan ibadah, tanggungjawab kepada ibu bapa dengan menunaikan hak-hak mereka, tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak dengan memastikan nafkah dan keperluan mereka dipenuhi serta memberikan didikan agama yang sempurna, manakala tanggungjawab kepada jiran tetangga dengan menghubungkan persaudaraan yang kukuh dan menegakkan amar makruf dan nahi mungkar di dalam masyarakat.
Sebagai muslim yang baik juga, kita mempunyai tanggungjawab untuk memajukan diri dan negara ke arah yang lebih baik dan berjaya. Kita perlu melakukan transformasi diri untuk menjadi orang yang lebih berjaya dan dapat memberikan nilai-nilai positif kepada pembangunan negara dan masyarakat. Justeru, dalam menjayakan hasrat tersebut kita perlu pertingkatkan usaha menjadi warganegara yang terbaik dengan menjadi orang yang lebih berilmu, berintegriti tinggi, tekun dalam bekerja, istiqamah melakukan kebaikan dan ikhlas berkhidmat kepada sesama masyarakat.
Nilai-nilai murni ini menjadi pemangkin kepada kita dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni, sejahtera, stabil dan selamat apabila seluruh rakyat dapat bekerjasama dan saling membantu dalam perkara kebaikan, taat kepada pemimpin dan patuh kepada undang-undang, memelihara hak-hak sesama kita dan sebagainya. Inilah bukti kesetiaan kita kepada negara, agama dan bangsa. Bersama-samalah kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
… وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ…
Bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(al-Maidah 5:2)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa memperhatikan segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan pada setiap masa dan mempersiapkan diri dengan bekalan akhirat yang sebanyaknya.
Kedua: Jadilah hamba Allah SWT yang bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan, perbanyakkanlah amal ibadah dan amal soleh dan berubahlah ke arah yang lebih baik dalam pelbagai aspek kehidupan.
Ketiga: Pertingkatkanlah ilmu pengetahuan agama yang menjadi tunjang kehidupan mukmin di dunia dan di akhirat dan tunaikanlah tanggungjawab kepada agama, negara, bangsa, keluarga dan masyarakat.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah ar-Ruum ayat 43 hingga 44:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ ٱلْقَيِّمِ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌۭ لَّا مَرَدَّ لَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ ۖ يَوْمَئِذٍۢ يَصَّدَّعُونَ (٤٣)
مَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلِأَنفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ (٤٤)
Bermaksud: “(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah agama yang betul, sebelum datangnya dari Allah hari yang tidak dapat ditolak, pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan). Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing.”
(Ar-Ruum 30: 43-44)
Tarikh Dibaca: 16 Jamadilakhir 1445H/29 Disember 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid,mJabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment