Kurniaan nikmat yang banyak daripada Allah SWT adalah suatu anugerah yang tidak ternilai. Bagi orang yang beriman mereka akan bersyukur kepada Allah SWT apabila mendapat nikmat-nikmat tersebut. Namun, bagi yang kurang imannya dan tidak pandai mensyukuri nikmat Allah SWT akan berlaku perkara di sebaliknya. Apatah lagi jika nikmat itu terselindung ataupun tersirat di sebalik ujian atau musibah. Kita patut sedar bahawa Allah SWT mengurniakan manusia pelbagai nikmat sehingga tidak terhitung banyaknya.
Firman Allah SWT:
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ(١٣)
Maksudnya: “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan.”
(ar-Rahman 55:13)
Sementara itu, menurut al-Alusi dalam kitabnya “Ruh al-Ma’ani,” pengulangan ayat “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan” disebut sebanyak 31 kali, menunjukkan kehebatan dan kebesaran yang tidak terhingga. Tujuannya adalah untuk memberikan pemahaman yang mendalam mengenai betapa besar dan melimpah ruahnya nikmat-nikmat yang Allah SWT telah berikan.
Allah SWT berfirman:
وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (١٨)
Maksudnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(al-Nahl 16:18)
Menyedari akan hakikat ini apakah kita masih lagi mahu berkira-kira sehingga timbul rasa rugi untuk bersedekah, berinfaq dan membantu orang lain dalam membuat kerja-kerja kebaikan? Berasa takut, bimbang dan seolah-olah tidak cukup jika berkongsi dengan orang lain. Semua perasaan negatif itu bersemayam dalam diri. Apabila dikatakan tamak, kedekut dan bakhil malah ada yang menafikannya.
Hakikatnya, segala apa yang dikecapi sepanjang hayat, semuanya merupakan pemberian Allah SWT yang tidak terhitung banyaknya. Bahkan, Allah SWT tidak pernah meminta kita untuk membayarnya semula.
Justeru itu, orang-orang yang beriman akan mendapat beberapa kelebihan daripada perbuatan amal yang tidak berkira di dalam bersedekah dan berinfaq. Disebut sebagai orang-orang yang beriman kerana hanya orang beriman sahajalah yang akan terpanggil hati apabila disuruh berbuat kebaikan.
Firman Allah SWT:
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًۭا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ (١٦)
Maksud: “Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(at-Taghabun 64:16)
Golongan yang suka bersedekah juga adalah golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat kelak dengan syarat dilakukan secara ikhlas bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk ataupun riak.
Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ (٢٧١)
Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(al-Baqarah 2:271)
Di dalam amalan bersedekah ini juga, Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik yang perlu dicontohi. Baginda seringkali memberikan makanan kepada golongan miskin dan fakir. Umat Islam amat digalakkan untuk memberi sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan serta tidak meminta-minta.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orangorang yang ada dalam tanggunganmu.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Bersedekah juga adalah bukti kita bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Orang yang dikurniakan nikmat harta hendaklah menunaikan hak kepada orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta-minta.
Bila bersyukur, Allah SWT akan menambahkan nikmat yang lebih banyak. Mereka yang bersyukur kepada Allah SWT juga akan dihindari seksa azab yang pedih, manakala bagi yang ingkar mendapat balasan sebaliknya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ(٧)
Maksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Ibrahim 14:7)
Kemudian sabda Rasulullah SAW:
“Atas hujan ini, ada manusia yang bersyukur dan ada yang kufur nikmat. Orang yang bersyukur berkata, ‘Inilah rahmat Allah.’ Orang yang kufur nikmat berkata, ‘Oh pantas saja tadi ada tanda begini dan begitu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hamba-Nya dengan nikmat kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian kemiskinan dan kesusahan. Lantaran itu, janganlah kita berkira akan nikmat rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita, sebaliknya hendaklah kita membalasnya melalui rasa syukur yang tinggi, bersedekah, berinfaq dan membantu saudara-saudara kita di dalam membuat amal kebaikan. Sikap angkuh, sombong, menganggap diri memiliki segala-galanya hanyalah merugikan kerana jelas sekali janji Allah SWT bahawa seksaan amat pedih terhadap golongan tersebut.
Dr. Adam bin Drahman
Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Leave a comment