Misteri Rezeki

Sebahagian daripada kita menganggap rezeki itu adalah harta yang melimpah, pekerjaan yang hebat, anak yang ramai, pasangan yang cantik atau kacak dan hidup yang senang-lenang. Namun begitu, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rezeki? 

Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 6:

وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّۭ فِى كِتَـٰبٍۢ مُّبِينٍۢ (٦)

Maksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

(Hud 11:6)

Perkataan rezeki berasal daripada bahasa Arab iaitu al-Rizq (الرزق) yang bermaksud pemberian ataupun kurniaan sama ada bersifat duniawi ataupun ukhrawi dan boleh dimanfaatkan oleh penerimanya. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan rezeki sebagai segala sesuatu yg dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani. Oleh itu, rezeki boleh difahami dalam konteks yang lebih luas sebagai segala bentuk pemberian atau kurniaan Allah kepada hamba-Nya untuk dimanfaatkan ke jalan yang diredhai. 

Meskipun seseorang itu dilihat miskin tidak berharta, namun jika hidupnya tenang dan keluarganya bahagia tanpa hutang keliling pinggang, itu juga boleh difahami sebagai satu bentuk rezeki pemberian Allah. Begitu juga jika seseorang itu belum dikurniakan zuriat setelah bertahun-tahun perkahwinan, namun jika Allah kurniakan suami atau isteri yang baik dan bertanggungjawab juga adalah satu bentuk rezeki kurniaan Allah. 

Allah menamakan diri-Nya Ar-Razzaq (ٱلْرَّزَّاقُ) yang merupakan salah satu daripada himpunan nama-nama Allah yang indah (asma` Allah al-Husna). Ar-Razzaq bermaksud maha pemberi rezeki. Allah yang bersifat Ar-Razzaq memberikan rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia pilih dan Dia juga yang menetapkan kadar pemberian menurut yang Dia kehendaki. Tiada satu makhluk pun di alam ini menerima rezeki selain daripada Allah pemberi rezekinya walaupun makhluk itu berada di tempat yang mustahil pada pandangan manusia untuk mendapat rezeki. 

Kadar rezeki setiap makhluk telah ditentukan oleh Allah dengan kehendak-Nya dan dikaitkan juga dengan kadar usaha makhluknya sesuai dengan sunnatullah. Sesiapa yang keluar mencari rezeki, maka Allah membuka jalan rezeki untuk hamba-Nya itu. Sesiapa yang tidak berusaha, maka tiada rezeki untuknya. Walaubagaimanapun, Allah boleh melakukan dengan kehendak-Nya di luar daripada kebiasaan tersebut. Maka tidak mustahil ada yang telah berusaha sekerasnya namun belum dikurniakan rezeki sementara ada pula yang tidak berusaha namun tiba-tiba hadir untuknya rezeki tertentu. Maka fahamlah kita bahawa rezeki ini adalah rahsia Allah dan kuasa serta kehendak Allah itu merentasi segalanya. Mungkin ini juga yang sering disebutkan bahawa rezeki itu misteri sifatnya. 

Namun begitu, sebagai hamba-Nya, kita seharusnya sedar bahawa selain berusaha mendapatkan rezeki yang halal, terdapat beberapa amalan yang boleh dititikberatkan sebagai amalan dalam menarik rezeki daripada Allah. Bagi menarik rezeki, antara perkara yang boleh diamalkan adalah bertakwa kepada Allah, sentiasa bertawakal dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.

Takwa bermaksud melaksanakan seluruh perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Orang yang bertakwa akan selalu merasa diawasi oleh Allah SWT dalam setiap perbuatan mahupun perkataan yang dituturkannya. Ini membawa maksud bahawa orang yang bertakwa akan sentiasa berhati-hati dengan sumber rezeki mereka dan hanya mendapatkan sumber rezeki yang halal dan menjauhkan daripada yang haram. Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 2-3: 

…وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا(٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ…

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

(at-Talaq 65: 2-3)

Selain bertakwa, sentiasa bertawakal kepada Allah SWT juga merupakan amalan menarik rezeki. Tawakal bermaksud menyerahkan segala sesuatu kepada Allah, yakin sepenuhnya dengan kuasa-Nya, dan hanya bergantung kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 3:

…وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا

Maksudnya: “Dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya setiap sesuatu.” 

(at-Talaq 65:3)

Amalan terakhir dalam usaha menarik rezeki adalah sentiasa bersyukur. Orang yang bersyukur akan menerima dengan reda atas rezeki yang diberikan Allah SWT walaupun sedikit. Allah telah berjanji bahawa hambanya yang bersyukur akan ditambah rezekinya dan yang kufur akan dikenakan azab yang pedih. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ(٧)

Maksudnya: “Dan (ingatlah), tatkala Tuhan kamu memberitahu; “Demi Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.”

(Ibrahim 14:7)

Kesimpulannya, rezeki merupakan rahsia Allah yang dikurniakan kepada kita sepertimana yang Allah kehendaki. Meskipun kadar usaha turut memainkan peranan, namun kehendak Allah juga yang menentukannya. Justeru, amalan dalam menarik rezeki boleh diamalkan sebagai ikhtiar iaitu bertakwa kepada Allah, sentiasa bertawakal dan sentiasa bersyukur di atas pemberian-Nya.

Dr. Nor Rosnita binti Gani,
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam, JAKIM
Sumber: Majalah Sinar Rohani

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑