Mutakhir ini, rakyat Malaysia diuji dengan kekurangan bekalan telur, ayam, beras serta kenaikan harga barang mentah dan kos hidup. Hal ini didorong oleh pelbagai sebab. Antaranya gangguan rantaian bekalan, kekangan import bekalan, nilai tukaran wang asing, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan pelbagai faktor lain. Realitinya, rakyat Malaysia terkesan dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan makanan ruji dan peningkatan kos hidup.
Persoalannya, apakah sudut pandang Islam berhubung hal ini? Bukankah Allah SWT telah menjanjikan rezeki untuk setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini? Adakah isu ini berkait rapat dengan konsep rezeki? Bagaimanakah pula konsep keberkatan rezeki juga penting? Apakah punca hilang keberkatan rezeki? Bagaimanakah apabila tercabutnya keberkatan rezeki? Dalam Islam konsep rezeki berkait rapat dengan tauhid. Dari perspektif tauhid, Allah SWT telah menetapkan rezeki bagi setiap makhluknya. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَـٰقٍۢ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْـًۭٔا كَبِيرًۭا (٣١)
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”
(Surah al-Isra’ 17:31)
وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”
(Surah al-An’aam 6:151)
Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran ini boleh dirumuskan bahawa rezeki setiap manusia telah dijamin oleh Allah SWT, tambah-tambah lagi sekiranya manusia itu beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Rezeki ini, sama ada dalam bentuk sumber mentah atau barangan akhir pengguna, dikurniakan secara berbeza-beza dari segi kuantitinya daripada seorang dengan seorang yang lain.
Dari perspektif tauhid juga, rezeki seseorang sangat berkait rapat dengan konsep barakah untuk mendapat keberkatan. Menurut istilah barakah ialah ziyadat al-khayr iaitu bertambahnya kebaikan. Para ulama menjelaskan makna barakah sebagai segala sesuatu yang banyak, melimpah, sama ada berbentuk material atau spiritual, seperti keamanan, ketenangan, kesihatan, harta, anak, dan usia. Dalam syarah sahih Muslim, Imam Nawawi menyebut bahawa barakah memiliki dua erti, iaitu pertama, tumbuh, berkembang atau bertambah; kedua, kebaikan yang berkesinambungan. Menurut Imam Nawawi lagi, asal makna barakah ialah kebaikan yang banyak dan abadi.
Selain itu, keberkatan bukan sekadar membawa makna mencukupi sahaja, tetapi keberkatan itu juga membawa makna bertambahnya ketaatan kepada Allah SWT dalam setiap keadaan yang ada, baik dalam keadaan senang atau sebaliknya. Keberkatan itu:
الربكةاتزيدكايفاالطاعة
Ertinya: “Barakah itu menambah taatmu kepada Allah SWT.”
Secara mudah, barakah di sini bererti mendapat restu daripada Allah SWT. Seseorang dikatakan mendapat rezeki yang ada barakahnya sekiranya Allah SWT mengurniakan rezeki kepadanya bukan sahaja berdasarkan sifat pemurah (Ar-Rahman) Allah SWT, tetapi juga sifat pengasih (Ar-Rahim)-Nya.
Setiap manusia, tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau sebaliknya, memang dikurniakan rezeki oleh Allah SWT kerana sifat pemurah-Nya. Tetapi manusia yang beriman dan bertakwa dikurniakan rezeki oleh Allah SWT berdasarkan kepada kedua-dua sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih.
Allah SWT bukan sahaja mengurniakan rezeki kepada mereka kerana sifat pemurah-Nya, tetapi dikurniakan rezeki tersebut dengan segala kasih sayang. Golongan yang mendapat rezeki daripada kedua-dua sifat Allah SWT yang pemurah dan pengasih inilah yang dikatakan mendapat restu daripada Allah SWT. Mereka inilah yang mendapat rezeki yang ada barakahnya. Bagi golongan ini, sedikit rezeki sudah boleh membawa kepada rasa cukup serta puas (qanaah), sejahtera dan bahagia.
Hal ini berbeza dengan mereka daripada golongan yang tidak mendapat restu dan barakah Allah SWT. Walau mendapat rezeki yang banyak, tetapi oleh sebab tidak mendapat restu dan barakah daripada Allah SWT, mereka tidak merasa puas dan cukup-cukup, apatah lagi merasa sejahtera dan bahagia dengan rezeki yang didapatinya. Dalam konteks ini, kepuasan itu jadinya bukan kerana banyak atau sedikitnya rezeki yang didapati. Ia lebih berdasarkan kepada kualiti rezeki tersebut. Kualiti ini pula adalah berdasarkan kepada barakah.
Kedua-dua konsep rezeki dan barakah inilah yang dibincang dan diangkat dalam konteks pembangunan berteraskan Islam. Menurut Muhammad Syukri Salleh dalam buku “Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam” barakah inilah, dan bukan kuantiti, yang memastikan utiliti. Oleh itu, sesiapa yang dikurniakan sedikit rezeki tetapi ada barakah, adalah lebih baik daripada mereka yang dikurniakan banyak rezeki tetapi tanpa barakah.
Rezeki dengan barakah mempunyai kualiti dan nilai kepuasan yang tinggi berbanding dengan rezeki tanpa barakah.
Apakah punca hilangnya keberkatan atau dicabutnya keberkatan rezeki? Paling tidak ada, 10 punca tercabutnya keberkatan rezeki:
- Melakukan maksiat kepada Allah SWT.
- Melakukan perkara yang haram.
- Bermuamalah dengan riba.
- Tidak ikhlas dalam beramal.
- Kurang tawakkal.
- Lalai dalam urusan dunia sehingga mengabaikan urusan agama dan akhirat.
- Tidak berbakti kepada ibu bapa.
- Memutuskan tali kekeluargaan dan silaturahim.
- Kedekut dan bakhil.
- Tidak atau kurang bersyukur.
Kesimpulannya, memang benar tidak banyak perkara yang dapat dilakukan oleh umat Islam umumnya berhubung kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan makanan ruji dan peningkatan kos hidup.
Jangan bimbang atau sedih dengan peningkatan seumpama itu, namun yang perlu kita bimbang ialah apabila tercabutnya keberkatan rezeki. Sehubungan itu, umat Islam jangan terlalu bimbang tentang rezeki kerana Allah SWT telah tetapkan rezeki bagi setiap makhluk. Yang perlu lebih dibimbangkan ialah apabila tercabutnya keberkatan rezeki. Pada ketika itu, sebanyak mana pun seseorang memiliki rezeki, ia pasti tidak mencukupi.
Dengan amalan dan keyakinan seumpama inilah, walaupun mungkin diuji dengan sedikit sebanyak dari sudut pandang ekonomi, namun umat Islam ada salah satu penyelesaian dengan mengusahakan keberkatan pada rezeki dan menjauhi semua amalan yang mencabut keberkatan rezeki. Sehubungan itu, apa yang berlaku bukan sahaja dapat menjadi penawar bagi permasalahan yang dihadapi, malah dapat sekurang-kurangnya mengekalkan tahap kerohanian, iman dan takwa umat Islam, malah diharapkan dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi.
Prof Madya Dr Shahir Akram bin Hassan
Majalah Sinar Rohani, JAKIM
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia
Leave a comment