Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Allah memerintahkan kepada orang Mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para rasul. Allah SWT berfirman: ‘Hai para rasul, makanlah segala sesuatu yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ (Surah al-Mukminun 23:51). Dia juga berfirman: ‘Hai orang yang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang telah Kami rezekikan kepadamu.’ (Surah al-Baqarah 2:172). Kemudian Rasulullah SAW menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut-masai dan penuh debu. Dia menadahkan kedua-dua tangannya ke langit dan berkata: ‘Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan perutnya dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana akan diterima permohonannya (doanya)?”
(Riwayat Muslim no. 1015)
Huraian
Kata “thayyib” (baik) dalam hadis ini adalah berkenaan sifat Allah maksudnya “bebas daripada segala kekurangan dan kecelaan.”
Hadis ini merupakan salah satu dasar dan landasan pembinaan hukum Islam. Hadis ini berisi anjuran membelanjakan sebahagian daripada harta yang halal dan melarang membelanjakan harta yang haram. Makanan, minuman, pakaian, dan sebagainya hendaknya benar-benar diperoleh daripada sumber yang halal tanpa bercampur yang syubhah.
Orang yang ingin memohon doa kepada Allah hendaklah memerhatikan syarat-syarat yang tersebut pada hadis ini.
Hadis ini juga menyatakan bahawa se seorang yang membelanjakan hartanya dalam kebaikan bererti dia telah membersihkan dan menyuburkan hartanya.
Makanan yang enak tetapi tidak halal menjadi malapetaka bagi mereka yang memakannya dan Allah tidak akan menerima amal kebajikannya.
Pengajaran
1. Allah tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Misalnya sesiapa yang bersedekah dengan barang haram tidak akan diterima.
2. Sesuatu yang disebut baik adalah apa yang dinilai baik di sisi Allah.
3. Berlarutan dalam perbuatan haram akan menghalang seseorang daripada termakbul doanya.
4. Orang yang melakukan maksiat tidak termasuk mereka yang dimakbulkan doanya kecuali mereka yang Allah kehendaki.
5. Makanan yang haram merosakkan amal dan menjadi penghalang kepada penerimaan amal perbuatan.
6. Dianjurkan berinfak dengan b rang yang halal dan dilarang untuk berinfak dengan sesuatu yang haram.
7. Seseorang akan diberi ganjaran jika memakan sesuatu yang baik dengan maksud agar dirinya diberi kekuatan untuk taat kepada Allah.
8. Sebahagian daripada sebab dimakbulkan doa ialah:
- Sedang bermusafir.
- Hati yang sangat mengharap.
- Tidak berlebih seperti mengangkat suara terlalu kuat dan lain-lain.
- Mengangkat kedua-dua tangan ke langit.
- Merayu dalam berdoa.
- Keinginan yang kuat dalam permintaan.
- Memakan makanan dan minuman yang halal.
- Memakai pakaian yang halal.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria