Teks Khutbah Jumaat (WP): Menjadi Mukmin Berjaya 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ(١) ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ(٢) وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ(٣) وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ(٤) وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ(٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ(٦) فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ(٧) وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ(٨)

(سورة المؤمنون)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. 

Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Tumpukan perhatian pada khutbah yang akan disampaikan, mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT. 

Pada hari ini khatib ingin membicarakan khutbah bertajuk: “Menjadi Mukmin Berjaya”. 

Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan seluruh umat Islam untuk terus mendoakan penduduk Palestin yang tidak henti-henti ditindas oleh rejim zionis Israel. Ketika ini mereka turut diuji dengan kekurangan bekalan makanan, sumber-sumber tenaga, bekalan ubatubatan dan keperluan asas yang lain. Bantulah mereka dengan apa-apa jua cara yang termampu dan janganlah lupakan mereka dalam doa kalian. Teruslah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar Allah SWT memberi kekuatan, kesabaran, dan kemenangan buat mereka serta mematahkan segala muslihat dan tipu daya musuh. Insya-Allah. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberi keizinan-Nya untuk kita menikmati secebis lagi waktu di dunia ini dengan memasuki tahun baharu 2024. Sesungguhnya nikmat masa yang kita ada kini terasa semakin singkat bertepatan dengan ucapan Baginda Rasulullah SAW yang mengingatkan kepada kita tentang semakin dekatnya hari kiamat. 

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah masa semakin singkat, (manusia akan merasakan) masa setahun jadi seperti sebulan sahaja”.

(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Walau apa jua yang berlaku, kehidupan mesti diteruskan dengan menuruti aturan dan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam merancang kehidupan dan masa depan yang lebih baik, kita hendaklah menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama lebih-lebih lagi kita sebagai mukmin beriman bahawa kehidupan di dunia hanyalah bersifat sementara dan jambatan menuju akhirat yang abadi. 

Maka, dalam Surah al-Mu’minuun disebutkan tentang ciri-ciri Mukmin yang berjaya sebagaimana maksud firman Allah SWT:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”.

(Surah al-Mu’minuun ayat 1 – 8) 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Berdasarkan Surah al-Mu’minuun, beberapa ciri yang menunjukkan seseorang mukmin itu berjaya, antaranya; 

Pertama: Melaksanakan solat dengan sebaiknya. Solat merupakan kewajipan yang tidak dapat tidak mesti ditunaikan oleh setiap umat Islam. Ia merupakan amalan yang paling awal ditanya di akhirat kelak. Solat juga merupakan tiang agama yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya kerana ia ruang bagi hamba menghadap Pencipta Yang Maha Esa. 

Kedua: Menjauhi perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Rasulullah SAW bahkan mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: 

Maksudnya: “Antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya)”.

(Hadis riwayat Imam alTirmidzi)

Selain itu, Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa tanda keimanan seseorang itu ialah dengan berkata yang baik-baik atau diam daripada berbicara kotor dan perkataan-perkataan yang menyakitkan dan menyesatkan orang lain. Rasulullah SAW telah bersabda: 

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam”.

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim) 

Ketiga: Menunaikan zakat. Ibadah zakat merupakan salah satu dari lima Rukun Islam yang disebut oleh Baginda Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar RA yang maksudnya:

“Islam itu terbina atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad ialah Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadan”.

(Hadis riwayat Imam alBukhari) 

Keempat: Menjaga kehormatan diri. Dalam Surah al-Nur, Allah SWT turut mengingatkan supaya menjaga pandangan sama ada bagi lelaki dan perempuan dan tidak menampakkan perhiasan berupa bentuk tubuh atau apa-apa jua bentuk perhiasan yang boleh menarik perhatian ajnabi. 

Kelima: Menunaikan amanah dan janji. Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang maksudnya:

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Nabi SAW berkhutbah di hadapan kami dan baginda mengatakan: “Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad) 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian

Hidup ini begitu singkat, jadi gunakanlah masa dan kesempatan yang ada dengan berusaha menjadi manusia yang terbaik dan mukmin yang berjaya. Matlamat kehidupan bukanlah semata-mata mencapai sasaran kejayaan di dunia, bahkan kita perlu sentiasa sedar bahawa kehidupan di akhirat nanti lebih memerlukan perhatian, perancangan dan kesungguhan yang terbaik untuk diusahakan. Maka, khatib menyeru seluruh umat Islam untuk istiqamah atas jalan Islam dan menguatkan azam bagi menjadi mukmin yang berjaya dunia dan akhirat. 

Insya-Allah. 

Firman Allah SWT:

وَٱلْعَصْرِ(١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ(٢)  إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ (٣)

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

(Surah al-‘Asr ayat 1 – 3) 

Tarikh Dibaca: 23 Jamadilakhir 1445h / 5 Januari 2024 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑