Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Kewajipan Memelihara Keluarga

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ(٦)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Khatib ingin mengajak para jemaah sekalian untuk sama-sama menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk “Kewajipan Memelihara Keluarga”. 

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Berdasarkan firman Allah dalam surah al-Tahrim, ayat 6 yang dibacakan di awal khutbah ini yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.”

(Surah al-Tahrim 66:6)

Ayat tersebut menjelaskan betapa beratnya tanggungjawab suami atau bapa yang mesti dilaksanakan agar keluarga yang telah dibina akan sentiasa dirahmati Allah dan terhindar dari perkara yang boleh merosakkan kebahagian keluarga. Sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga, kitalah yang menentukan hala tuju ahli keluarga kita sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak. Hadis daripada Abdulllah bin Umar Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya setiap daripada kalian semua ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Sedarkah kita, menjadi seorang suami atau bapa itu adalah anugerah Allah SWT kepada kita. Ahli keluarga kita sama ada suami, isteri, ibu bapa atau anak-anak, semuanya mempunyai nilai tersendiri dan Islam menuntut kita untuk menunaikan kewajipan yang perlu ditunaikan terhadap mereka. Menurut Ibnu al-Munzir, Sayyidina Ali Karramallahuwajhah pernah berpesan,

 “Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu tentang kebaikan dan didiklah mereka.” 

Ayat ini juga secara tidak langsung menggesa para suami agar mempelajari perkara fardu yang diwajibkan agar dapat memberikan bimbingan yang baik kepada ahli keluarga. 

Oleh itu, sebagai ketua keluarga juga, pastikan setiap ahli keluarga kita diberikan perhatian sepenuhnya dalam perkara-perkara berikut: 

Pertama: Mengutamakan pendidikan agama dan akhlak mulia. Penekanan dalam soal pendidikan agama terutamanya beriktikad dengan Akidah Ahli Sunnah Waljamaah, mempelajari dan mengamalkan syariat Islam serta berakhlak mulia seperti akhlak baginda Nabi Muhamad SAW adalah sangat penting agar tidak ada ahli keluarga yang terlibat dengan sebarang ajaran sesat yang merugikan kehidupan di dunia dan akhirat. Individu yang berakhlak mulia dapat membentuk ahli keluarganya hidup berkasih sayang, tolong menolong, hormat-menghormati dan mengutamakan sikap toleransi. 

Kedua: Kewajipan memelihara isteri dan anak-anak. Institusi keluarga merupakan tunjang kepada kesinambungan rantaian manusia dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Andai sesebuah keluarga itu benar-benar menurut acuan dan kehendak Islam yang tulen, maka ia akan menghasilkan generasi baru Muslim yang unggul. Namun jika sebaliknya, keadaan keluarga yang porak peranda, haru-biru, kacau-bilau dan tiada hala tuju, pastinya kelahiran generasi Muslim akan terencat dan terbantut. Lantaran itu Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Syuara’, ayat 214: 

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ (٢١٤)

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

(Surah al-Syuara’ 26:214)

Peringatan paling penting ialah supaya berpegang teguh dengan akidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT. Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Luqman ayat 13: 

وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ (١٣)

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

(Luqman 31:13)

Ketiga: Menghidupkan suasana agama Islam dalam rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, kita sewajarnya menyedari bahawa keindahan, ketenangan, kebahagiaan dalam keluarga sudah pasti dapat dirasai apabila seorang suami, bapa, isteri, ibu dan anak-anak hidup dalam suasana kehidupan beragama yang dapat diterjemahkan bersama seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, zikir, mengadakan majlis ilmu, menghidupkan solat malam, berdoa bersama dan sebagainya. Yakinlah Allah SWT akan menurunkan rahmat-Nya dalam keluarga seperti ini yang akan menjamin sebuah kehidupan yang bahagia dan tenang. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Rum ayat 21: 

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya ialah Dia menciptakan bagi kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu merasa tenang dan hidup mesra dengannya. Dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan bagi orang yang berfikir.”

(Surah  Al-Rum 30:2)

Keempat: Bijak dalam pengurusan kewangan keluarga. Bagi memastikan matlamat kebahagiaan keluarga dapat dirasai dan berkekalan, antara perkara lain yang perlu kita berikan perhatian juga ialah menerapkan hal ehwal pengurusan kewangan keluarga yang baik seperti mengawal perbelanjaan yang perlu, anak-anak dididik agar berhemah ketika berbelanja dan bersedekah serta mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan. Semua perkara ini perlu difahami oleh setiap ahli keluarga demi membina dan membentuk sebuah keluarga bahagia dan harmoni bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Mengakhiri khutbah pada kali ini, marilah sama-sama kita ambil pengajaran dan penghayatan daripada khutbah yang telah disampaikan. Antaranya: 

1. Keluarga adalah merupakan suatu anugerah yang besar daripada Allah SWT dan amanah yang berat kepada kita. 

2. Kita hendaklah memastikan setiap ahli keluarga dididik dengan pendidikan agama dan akhlak untuk kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. 

3. Membina keluarga yang bahagia bukan sekadar untuk kebahagian hidup di dunia semata-mata, tetapi demi kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi. 

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَـٰنٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ أَلَتْنَـٰهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍۢ ۚ كُلُّ ٱمْرِئٍۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌۭ (٢١)

“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga), dan kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

(Surah Al-Tur 52:21)

Tarikh Dibaca: 23 Jamadilakhir 1445h / 5 Januari 2024 
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑