Eksplorasi Ayat-Ayat Pemurah Rezeki 

Konsep Rezeki 

Persoalan rezeki sering menjadi perbincangan dalam kalangan manusia. Rezeki adalah perkataan daripada bahasa Arab dari kata asal رزق. Allah SWT telah menurunkan kalimah ini dari langit bagi menjawab persoalan manusia berkaitan rezeki yang diperuntukkan kepadanya dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2022) rezeki adalah segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk keperluan rohani dan jasmani. Rezeki juga bermaksud sebarang pendapatan atau penghasilan untuk menyara kehidupan. Selain itu, rezeki juga diertikan sebagai sebarang peluang bagi mendapatkan habuan dan keuntungan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa rezeki merupakan keperluan rohani mahupun jasmani dalam menjalani kehidupan di dunia.

Rezeki merupakan rahsia Allah SWT seperti ajal dan jodoh sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Luqman ayat 34 yang bermaksud:

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”

(Luqman 31:34)

Oleh kerana rezeki merupakan rahsia dan ketetapan Allah tanpa campur tangan makhluk maka setiap umat Islam perlu sentiasa bergantung kepada Allah SWT. Menariknya al-Quran menjelaskan sifat Rahim dan Razzaq Allah yang tidak sesekali mengabaikan setiap makhluk yang dicipta-Nya. Semuanya telah ditentukan rezeki oleh Allah SWT tanpa keraguan. Rezeki telah ditentu atur oleh Allah sebelum makhluk diciptakan. Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran, Surah Hud ayat 6 bahawa setiap makhluk yang melata di bumi ini semuanya telah ditentukan rezeki masing-masing buat mereka. Maksudnya:

“Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” 

(Hud 11:6)

Al-Quran merupakan petunjuk kepada semua manusia khususnya umat Islam yang menjelaskan tentang segala hal termasuk isu rezeki. Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang rezeki. Setiap ayat menjawab persoalan manusia berkaitan rezeki.

Konsep yang jelas lagi ampuh bahawa rezeki adalah ketentuan mutlak Allah dan setiap makhluk yang ada di muka bumi semuanya sudah ditentukan dan diatur rezekinya. Kita manusia hanya dituntut untuk mencari rezeki dengan cara halal dan mensyukurinya serta menjauhkan diri daripada mensyirikkan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Rum ayat 40: Maksudnya:

“Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).” 

(al-Rum 30:40)

Pentunjuk Al-Quran Berkaitan Rezeki 

Terdapat banyak penjelasan Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki. Dalam kebanyakan ayat al-Quran yang menyentuh tentang rezeki ditegaskan bahawa sumber rezeki semuanya daripada Allah SWT. Di antaranya, Allah SWT menegaskan dalam Surah Ibrahim ayat 34, bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT tidak terhitung banyaknya. Cuma kebanyakan manusia berlaku zalim dalam menilai rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Maksudnya:

“Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”

(Ibrahim 14:34)

Di dalam ayat lain, surah yang sama iaitu Surah Ibrahim ayat 7 di mana Allah SWT memberi jaminan jika rezeki yang dikurniakan itu disambut dengan penuh kesyukuran, maka Allah SWT akan menambah rezeki dan nikmat tersebut. Sebaliknya jika rezeki dan nikmat itu diingkari dengan mengabaikan perintah dan melanggar larangan pemberi rezeki maka Allah menjanjikan dengan azab yang berat di akhirat kelak. Firman Allah SWT: Maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

(Ibrahim 14:7)

Allah SWT bukan sahaja memperuntukkan rezeki kepada manusia malah setiap makhluk bernyawa lain turut dikurniakan rezeki masing-masing sesuai dengan fitrah mereka. Rezeki yang disediakan telah ditentukan secara terancang sejak azali lagi iaitu di Luh Mahfuz. Maka pemberitahuan al-Quran ini sepatutnya menghilangkan rasa gusar dan gelisah dalam diri kita terhadap persoalan rezeki. 

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 6 Maksudnya:

“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

(Hud 11:6)

Namun rezeki yang diaturkan oleh Allah SWT perlu diusahakan dan dicari. Allah SWT sentiasa membuka pintu rezeki-Nya. Manusia perlu berusaha dengan penuh gigih dan bertanggungjawab dalam mendapatkan rezeki. Akal dan kekuatan tubuh badan fizikal perlu dimanfaatkan bagi tujuan mencari rezeki mengikut jalan yang diredai-Nya kerana setiap suatu yang diusahakan dalam dunia ini pasti akan dihisab dan diberikan balasan setimpal di akhirat kelak. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Najm pada ayat 39-41: Maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;(39) Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);(40) Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna;(41).” 

(an-Najm 53: 39-41)

Seterusnya di dalam Surah al-Mulk pada ayat 21, Allah SWT mencabar akal manusia untuk merenung siapakah yang boleh membuka pintu rezeki sekiranya Allah SWT menahannya. Ternyata akal secara waras akan mengakui bahawa hanya Allah yang memegang kunci rezeki kepada semua makhluk. Firman Allah SWT: Maksudnya:

“Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).” 

(al-Mulk 67:21)

Sebagai orang beriman kita diberi panduan oleh Allah SWT agar mencari dan makan dari rezeki yang halal. Inilah perbezaan orang beriman dengan mereka yang kafir. Orang beriman akan mencari dan memilih rezeki yang baik dan halal sahaja. Manakala orang kafir tidak mengikut panduan dan aturan Allah SWT. Rezeki yang baik dan halal ini akan membawa kepada kebahagian dunia dan akhirat. Mencari dan menikmati rezeki yang halal seterusnya disyukuri kepada pemberi rezeki yakni Allah SWT kerana ia sebahagian daripada sifat kehambaan kepada pencipta. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 172 menjelaskan hal ini: Maksudnya:

”Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” 

(al-Baqarah 2:172)

Sesungguhnya al-Quran telah menjelaskan secara terperinci konsep rezeki yang luhur lagi benar. Ayat-ayat sebelum ini telah menyatakan dengan jelas bahawa pintu rezeki adalah milik Allah secara mutlak. Dia bebas melapang dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. 

Hakikatnya, Allah telah menentukan rezeki setiap makhluknya sejak azali lagi. 

Walaubagaimanapun manusia yang dikurniakan dengan akal dan pancaindera yang lengkap perlu berusaha mencari rezeki yang telah disediakan. Usaha ini perlu disusuli dengan tawakal dan syukur kepada Allah SWT pemberi rezeki. Sikap bersyukur terhadap rezeki yang dikurniakan dijanjikan Allah dengan tambahan rezeki dan keberkatan. Manakala kufur dan ingkar dengan rezeki yang dikurniakan akan menerima pembalasan azab yang berat di akhirat kelak. Selain itu, Nabi SAW juga menganjurkan kepada kita untuk membaca surah tertentu bagi menjemput rezeki daripada Allah SWT.

Prof. Madya Dr. Mohamad Marzuqi Abdul Rahim Jabatan Pengajian Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris
Majalah Sinar Rohani, JAKIM

One thought on “Eksplorasi Ayat-Ayat Pemurah Rezeki 

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑