Saya Murung. Adakah Talak Sudah Jatuh?

Soalan

Saya bergaduh dengan isteri dan isteri menghantar Whatsapp nak bercerai. Dia tulis berkali-kali CERAI….CERAI…..CERAI. Saya baca, saya fobia, saya cuba nak padam mesej perkataan cerai tu, tapi entah macam mana saya tertekan emoji tanda tangan “thumbs up”. Saya takde niat nak bercerai pun, niat saya hanya nak padam mesej itu. Adakah sudah jatuh talak? Mohon bantu saya, saya murung sekarang.

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah mensyariatkan talak sebagai bentuk penyelesaian yang sangat dibenci untuk digunakan. Telah disabitkan bolehnya untuk menjatuhkan talak dengan sejumlah dalil daripada al-Quran, hadis dan juga ijmak para ulama.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu)- hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya” 

(al-Talaq 65:1)

Sabda Rasulullah SAW, yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar r. anhuma:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطلاقُ

Maksudnya: “Antara perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak”

 (Sunan Ibn Majah [2018])

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Terdapat tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai dan rujuk.

(Riwayat Abu Daud [2194])

Pembahagian Lafaz Talak

Para ulama membahagikan lafaz talak kepada dua, iaitu lafaz sorih (jelas) dan lafaz kinayah (kiasan). Disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji mengenai lafaz talak:

“Sekiranya diperhatikan mengenai lafaz-lafaz yang digunakan untuk menunjukkan talak, maka didapati bahawa lafaz tersebut sama ada lafaz yang menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain, dinamakan lafaz nyata (صريح). Atau lafaz yang tidak menunjukkan maksud talak secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud lain selain talak, ia dinamakan lafaz kiasan (كناية). [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 116]

1) Lafaz Sorih

“Talak yang tidak membawa makna lain kecuali talak. Terdapat tiga jenis lafaz yang digunakan iaitu: talak (طلاق), lepas (سراح), pisah (فراق) dan kata terbitan daripada tiga jenis lafaz ini. Misalnya, “engkau diceraikan” atau “engkau dilepaskan” atau “aku menceraikanmu” atau “aku berpisah daripadamu” atau “aku lepaskanmu”.

“Selain itu, termasuk dalam kategori lafaz sorih juga ialah terjemahan daripada lafaz talak yang diucapkan dalam bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talak yang biasa digunakan oleh orang Arab.”

2) Lafaz Kinayah

Semua lafaz yang membawa maksud talak dan selainnya. Terdapat banyak lafaz talak kinayah (kiasan), antaranya:

  • Engkau tiada apa-apa lagi denganku
  • Engkau berasingan daripadaku
  • Engkau terputus hubungan denganku
  • Kembalilah kepada keluargamu
  • Pergi jauh daripadaku
  • Engkau haram bagiku

[Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 117]

Hukum Lafaz Talak Sorih dan Lafaz Talak Kinayah

Secara umumnya, setiap lafaz cerai yang dibuat hendaklah dilihat kepada penyempurnaan rukun dan syaratnya bagi menentukan sama ada ia memberi kesan terhadap status dan jumlah talak.

Disebutkan dalam kitab I’anah al-Thalibin bahawa:

وأركانه خمسة: زوج، وصيغة، وقصد، ومحل، وولاية عليه

“Dan adapun rukun talak itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talak, kepada siapa talak itu ditujukan dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami” [Lihat Hasyiah I’anah al-Thalibin, jil.4, hlm. 3]

Dipetik daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Penceraian dengan lafaz yang jelas (sorih) menyebabkan jatuh talak sama ada berniat talak ataupun tidak. Hal ini demikian kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talak tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.

Manakala bagi lafaz talak kiasan (kinayah), walaupun selalu digunakan untuk maksud talak seperti “engkau haram atasku”, ia tidak menyebabkan jatuh talak melainkan apabila suami berniat untuk menceraikannya. Namun begitu, sekiranya suami itu tidak bermaksud untuk menceraikannya atau bermaksud selain itu, maka tidak jatuh talak.” [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 118]

Dr. Muhammad Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya:

“Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talak, maka lagha dan tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka ia juga dianggap lagha, kerana tiada niat. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 4, hlm. 164]

Lafaz Talak Melalui Alat Telekomunikasi atau Media Massa

Pada zaman moden ini, tidak dapat dinafikan bahawa bentuk lafaz talak juga terkesan dengan teknologi. Menurut keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2003:

“Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimile, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ia adalah sah sekiranya disertai dengan niat. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.”

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, lafaz talak yang dihantar atau direspon melalui alat komunikasi, media massa dan sebagainya termasuklah Whatsapp dihukumkan sebagai lafaz talak kinayah. Seperti yang telah disebutkan di atas, lafaz talak kinayah akan menyebabkan jatuhnya talak sekiranya suami tersebut memang berniat untuk menceraikan isteri. Namun, sekiranya suami tersebut tidak berniat untuk menceraikan isteri atau berniat selain daripadanya, maka tidak dihukumkan jatuh talak.

Namun begitu, kami ingin menekankan bahawa Mahkamah Syariah ialah pihak yang berautoriti dalam mensabitkan hukum talak. Justeru, kami menyarankan supaya isu ini hendaklah dirujuk ke Mahkamah Syariah berdekatan untuk melakukan proses penelitian dan pengesahan talak secara lebih jelas.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑