أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
وَجَزَٰٓؤُا۟ سَيِّئَةٍۢ سَيِّئَةٌۭ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ(٤٠)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Khutbah hari ini bertajuk “Binalah Kasih Sayang Dengan Ukhuwah.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada masa kini umat Islam menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran terbesar hari ini ialah isu perpecahan ummah. Ia merupakan cabaran seluruh dunia amnya, dan Malaysia khasnya. Cuba tuan-tuan fikirkan, mengapakah umat Islam masa kini amat sukar untuk bersatu? Apakah yang menjadi batu penghalang ke arah kesatuan Umat Islam? Sedangkan kita beriman dengan Allah yang satu dan berpegang kepada agama Islam yang satu.
Seruan penyatuan ummah ini Allah SWT nyatakan di dalam Surah Al-Mukminun ayat 52:
وَإِنَّ هَـٰذِهِۦٓ أُمَّتُكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَأَنَا۠ رَبُّكُمْ فَٱتَّقُونِ (٥٢)
Maksudnya: “Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku.”
(al-Mukminun 23:52)
Ayat ini cukup jelas untuk umat Islam memahami betapa pentingnya berpegang teguh kepada dasar akidah Islam sebagai kunci penyatuan. Walaupun berbeza pandangan dalam pelbagai isu namun, selagi perbezaan itu tidak melanggar batas akidah dan syariat, seharusnya umat Islam kekal bersatu dan bersaudara.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ke Yathrib (Madinah), antara perkara terawal yang baginda lakukan ialah mengikat umat Islam dengan ikatan kasih sayang dan persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Dalam peristiwa ini bagaimanakah baginda boleh menyatukan hati kedua-dua kaum ini? Apakah rahsia yang baginda lakukan sehingga kaum ansar dan muhajirin boleh bersatu walaupun mereka datang dari latar belakang kaum yang berbeza?
Hadirin sekalian,
Antara nasihat Nabi SAW untuk membina ukhuwah dan melahirkan rasa kasih sesama Muslim ialah:
Pertama: Kita hendaklah bersikap ramah dengan memberi salam, sentiasa bertegur-sapa dan bertanya khabar sesama kita, agar ikatan ukhuwah sentiasa terjalin dan berterusan. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.”
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, dapat disimpulkan bahawa salah satu amalan yang mendorong perasaan mencintai sesama Muslim ialah memberi ucapan salam kepada sesama muslim. Kalimah salam merupakan suatu ucapan doa kesejahteraan dan kerahmatan untuk saudara se-Islam yang akan menjadi magnet menarik keberkatan dari Allah. Institusi masjid dan surau boleh berperanan untuk menghidupkan budaya murni ini melalui kempen memberi salam, program ukhuwah, diskusi dan lain-lain.
Kedua: Pembinaan ukhuwah dan kasih sayang boleh dicapai apabila kita berlapang dada untuk sentiasa memaafkan saudara se-Islam kita yang lain. Kita memahami bahawa manusia tidak lari dari melakukan kesalahan, sikap memaafkan kesalahan orang lain amat digalakkan di dalam Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Syura, ayat 40 yang dinyatakan pada awal khutbah ini bermaksud:
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (al-Syura 42:40)
Ketika peristiwa Pembebasan Kota Makkah (Fathul Makkah), tidak berlaku pertumpahan darah dalam kalangan orang Islam dan penduduk Makkah. Bahkan, Nabi dan para sahabat menunjukkan akhlak yang mulia terhadap kaum Musyrikin Makkah walaupun dahulu mereka pernah menyeksa dan menghina baginda dan para sahabat. Bahkan Wahsyi yang telah membunuh bapa saudara baginda iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib dalam peperangan Uhud juga baginda Nabi SAW maafkan. Akhlak yang begitu indah ini menyebabkan mereka memeluk Islam secara beramairamai.
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Ketiga: Bersegeralah memberi pertolongan dan bantuan kepada yang memerlukan pada bila-bila masa terutama orang yang mempunyai hubungan persaudaraan paling dekat dengan kita. Pertolongan yang kita berikan dengan penuh keikhlasan mampu menyatukan hati manusia. Bahkan, Nabi SAW amat menggalakkan kita untuk menolong meringankan beban saudara kita yang lain dalam pelbagai bentuk pertolongan sama ada menyumbang pakaian, makanan, minuman dan lain-lain lagi. Pertolongan kita ini akan merapatkan lagi ukhuwah sesama kita. Hadis daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Mana-mana muslim yang mengenakan pakaian untuk muslim yang lain yang telanjang, Allah akan memakaikannya dari pakaian hijau syurga. Manamana muslim yang memberi makan seorang muslim yang sedang lapar, Allah akan memberinya makan dari buah syurga, dan mana-mana muslim yang memberi minuman kepada seorang muslim yang dahaga, Allah akan memberinya minuman dari Rahiqil Makhtum (minuman dari Syurga).”
(Riwayat Abu Daud)
Keempat: Peranan masjid sebagai nadi penyatuan ummah amat penting untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu. Masjid seharusnya menjadi penggerak utama penyatuan ummah dengan mengajak pelbagai pihak seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), surau-surau, persatuan penduduk, NGO dan lain-lain untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis khatan beramai-ramai, pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah dan lain-lain yang bertujuan untuk ahli masyarakat dan komuniti setempat bertemu dan beramah mesra hingga menjalinkan ukhuwah dan kemesraan sesama masyarakat. Sudah tentu Allah SWT mencintai hamba-hamba-Nya yang saling membantu dan berkasih sayang sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan suatu apa jua; hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawatan, musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.”
(an-Nisa’ 4:36)
Kelima: Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT kerana Dia lah yang berkuasa menyatukan hati-hati manusia. Sebagai seorang yang beriman, kebergantungan harap kepada Allah SWT wajib diberikan sebagai talian hayat terakhir menyatukan umat selepas segala usaha penyatuan telah dilaksanakan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 63:
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ (٦٣)
Maksudnya: “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(al-Anfal 8:63)
Hadirin sekalian,
Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:
1. Umat Islam hendaklah bersikap ramah terhadap orang lain dengan membiasakan diri mengucap dan menjawab salam, sentiasa bertegur-sapa dan bertanya khabar sesama kita agar ikatan ukhuwah sentiasa terjalin dan berterusan.
2. Umat Islam hendaklah berlapang dada untuk sentiasa memaafkan saudara se-Islam kita yang lain yang merupakan tuntutan dalam Islam. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai hamba-Nya yang suka memaafkan kesalahan orang lain.
3. Umat Islam hendaklah menjadikan masjid sebagai tempat penting untuk membina umat yang bersatu padu dan berkasih sayang sesama manusia.
4. Pemimpin umat Islam hendaklah sentiasa menyeru kepada perpaduan, bukannya kepada api permusuhan.
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٠)
Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(al-Hujurat 49:10)
Tarikh Dibaca: 30 Jamadilakhir 1445H/12 Januari 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment