أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا (٢٩)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita memupuk keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dalam kehidupan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga bersama ketakwaan kita sentiasa mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima segala doa dan amal soleh kita.
Marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Semoga kita menjadi pencinta masjid dan surau serta mendapat limpahan kasih sayang dan keberkatan hidup daripada Allah SWT.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Tuntutan Melunaskan Hutang”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang sangat indah dan memudahkan, tidak pernah sama sekali bersifat menyusahkan. Islam mengharuskan umatnya bermuamalah dalam mengurus kehidupan seharian. Jual beli, sewaan, pajakan, malahan hutang piutang adalah harus selagi mana ia tidak memberi mudarat dan bercanggah dengan hukum Syarak. Fitrah manusia inginkan kesenangan dalam kehidupan dan berlumba-lumba untuk mencari dan mengumpul harta demi mengecapi nikmat kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia. Islam tidak menghalang kita mencari dan mengumpul harta bahkan Islam sangat menggalakkan setiap umatnya berusaha mendapatkan harta dari sumber yang halal lagi baik dan tidak sekali-kali menggunakan cara yang batil dan zalim.
Firman Allah SWT di dalam surah surah an-Nisa, ayat 29 yang dibacakan tadi membawa maksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihi kamu.”
(an-Nisa 4:29)
Dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, sedangkan kebanyakan kita mempunyai sumber pendapatan yang rendah, menyebabkan kita tidak dapat memenuhi keinginan dan impian untuk memiliki kehidupan yang sempurna seperti yang diimpikan. Bertitik tolak daripada perkara inilah hutang dijadikan sebagai jalan keluar bagi memenuhi tuntutan untuk hidup senang dan selesa. Persoalannya, adakah perlu berhutang untuk menyempurnakan kehidupan? Memang tidak dinafikan Islam tidak melarang umatnya berhutang tetapi mestilah berlandaskan kepada peraturan syariat-Nya.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Realiti hari ini, kehidupan kita tidak dapat lari daripada memilih jalan berhutang. Sebagai contoh, pembelian aset hartanah, kediaman, kenderaan, modal perniagaan, pembiayaan pendidikan tinggi dan sebagainya kebanyakannya melibatkan hutang. Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, beberapa cara yang boleh dijadikan panduan dalam menguruskan bebanan hutang kita, antaranya:
Pertama: Ketahuilah batas atau had jumlah hutang atau pembiayaan yang mampu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kita. Dapatkanlah nasihat pihak yang berautoriti agar kita tidak terjerumus dengan komitmen hutang yang membebankan. Jika tidak mampu, maka janganlah berhutang.
Kedua: Rancanglah perbelanjaan dengan sebaiknya agar dapat diseimbangkan di antara keperluan dengan pembayaran hutang yang dilakukan. Seseorang yang berkemampuan untuk membayar hutang, janganlah dia menangguh-nangguhkan pembayarannya kerana perbuatan tersebut termasuk dalam perkara kezaliman yang ditegah oleh Islam.
Ketiga: Sentiasalah berhubung dengan individu atau pihak yang memberi hutang terutama apabila berlakunya permasalahan dalam pembayaran hutang akibat faktor kewangan semasa, terdapat komitmen lain yang perlu diutamakan atau seumpamanya. Jika kita mengelak daripada berbincang dengan pihak yang memberi hutang pastinya mengundang masalah yang lebih besar kepada kehidupan kita.
Keempat: Di antara keperluan dan keinginan, janganlah mengambil sebarang hutang hanya kerana ingin memenuhi kehendak diri semata-mata kerana kesannya kita dibebani hutang yang tidak perlu sedangkan kita boleh memilih untuk menangguhkan kehendak tersebut di saat kewangan kita semakin kukuh.
Kelima: Elakkanlah daripada berhutang dengan ceti haram atau ah long serta pembiayaan tidak patuh syariah yang mengenakan kadar faedah yang tinggi beserta riba yang jelas diharamkan Islam serta penuh dengan penganiayaan dan penindasan sehingga memudaratkan diri dan keluarga.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Hutang adalah amanah yang wajib dibayar. Membuat hutang bererti meletakkan beban tanggungjawab membayar amanah tersebut dalam hidup seseorang. Sesiapa yang berhutang perlu menetapkan niat dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutangnya mengikut perjanjian yang telah dipersetujui. Renungkan peringatan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang)dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.”
Mimbar ingin mengingatkan sidang jemaah sekalian, marilah kita semaikan tanggungjawab melunaskan segala hutang piutang seperti pembiayaan peribadi, sewa beli kenderaan, pembiayaan perumahan, pinjaman Pendidikan Peradanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain termasuklah hutang dengan orang lain walaupun nilainya kecil.
Letakkanlah keutamaan terhadap pembayaran hutang terlebih dahulu berbanding perbelanjaan sampingan yang lain. Jika berlaku kematian, hutang tersebut hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau pentadbir yang dilantik. Hutang boleh dibayar menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan. Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Roh orang yang beriman itu tergantung (ditangguhkan hisab amalannya) disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya hutang tersebut.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, hayatilah beberapa kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini:
Pertama: Islam mengharuskan umatnya bermuamalah dalam menguruskan kehidupan seharian. Jual beli, sewaan, pajakan, malahan hutang piutang adalah harus selagi mana ia tidak bercanggah dengan hukum Syarak.
Kedua: Hutang adalah amanah yang wajib dibayar. Berikhtiarlah dan berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutang mengikut perjanjian yang telah dipersetujui dan tidak memudaratkan.
Ketiga: Uruskanlah bebanan hutang dengan cara yang baik supaya ianya tidak memberi kesan kewangan yang teruk kepada keluarga. Utamakanlah keperluan dari keiinginan supaya tidak terjebak dalam perangkap hutang.
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 282:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)…”
(al-Baqarah 2:282)
Tarikh Dibaca: 30 Jamadilakhir 1445H/12 Januari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment