Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib RA, cucu kesayangan Rasulullah SAW berkata bahawa beliau menghafal sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu dan kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu.”
(Riwayat al-Tirmizi no. 2518 dan al-Nasa’i no. 5711)
Huraian
Kalimah “yang meragukanmu” bermaksud meninggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah dengan perkara yang tidak meragukan. Hadis ini kembali kepada pengertian hadis keenam, iaitu sabda Nabi yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan antara kedua-duanya banyak perkara yang syubhah.”
Meninggalkan yang syubhah akan membawa seseorang Muslim kepada sifat warak. Ini merupakan manfaat umum dalam usaha menjaga diri daripada waswas syaitan.
Timba Bukan Milikku
Ibrahim Adham pernah ditanya: “Kenapa tuan tidak minum air zamzam?” Lalu dia menjawab: “Kalau sekiranya aku memiliki timba nescaya aku minum. Sedangkan timba yang ada ialah timba daripada harta kerajaan dan itu adalah syubhah.”
Apabila bertembung antara syak dengan yakin, kita hendaklah mendahulukan yakin dan meninggalkan yang syak.
Misalnya seorang yang telah mengambil wuduk dengan yakin kemudian dia syak, adakah wuduknya telah terbatal atau tidak. Maka dia dikira orang yang berwuduk.
Orang yang terlibat dengan sesuatu yang haram tetapi hendak meninggalkan yang syubhah adalah tidak betul. Berhentilah melakukan yang haram terlebih dahulu.
Ibn Umar telah berkata kepada penduduk Iraq yang bertanya kepadanya tentang hukum najis darah lalat:
“Mereka bertanya kepadaku tentang darah lalat, sedangkan mereka telah membunuh Sayidina Husain. Aku telah mendengar Nabi bersabda yang bermaksud: ‘Kedua-duanya adalah penawar hatiku.”
(Fath al-Bari. Jil. 7, hlm. 99)
Pengajaran
1. Meninggalkan perkara yang syubhah dan mengambil yang halal akan melahirkan sifat warak.
2. Keluar daripada ikhtilaf ulama lebih utama kerana hal tersebut lebih terhindar daripada perbuatan syubhah khususnya jika antara pendapat mereka tidak ada yang dapat dikuatkan.
3. Jika keraguan bertentangan dengan keyakinan, maka ambillah keyakinan.
4. Sesuatu perkara harus jelas berdasarkan keyakinan dan ketenangan. Tidak ada harganya keraguan dan kebimbangan.
5. Berhati-hati daripada sikap meremehkan terhadap urusan agama dan masalah bidaah.
6. Sesiapa yang berjinak-jinak dengan perkara syubhah, dia akan berani melakukan perbuatan yang haram.
Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 10 – Baik dan Halal Syarat Doa Diterima
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria