Jauhi Syirik Untuk Mewah

Kesenangan dan kemewahan hidup merupakan dambaan dan impian setiap insan. Harta benda dan kesenangan dunia ini merupakan perhiasan yang melatari kehidupan dunia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 46:

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًۭا وَخَيْرٌ أَمَلًۭا (٤٦)

Maksudnya: Harta benda dan anak-pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amalamal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” 

(Surah al-Kahfi 18:46)

Sifat suka kepada harta dan kesenangan dunia yang lain merupakan fitrah dan sunnatullah yang ditentukan oleh Allah SWT ke atas manusia. Hal ini berpandukan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 14:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَـٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ وَٱلْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔابِ(١٤)

Maksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada bendabenda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” 

(Surah Ali Imran 3:14)

Harta juga merupakan salah satu dari fitnah dan ujian dunia yang mencabar jiwa dan raga. Dengan harta, ia boleh memandu manusia kepada dua keadaan sama ada baik atau buruk. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taghabun ayat 15:

إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ (١٥)

Maksud: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

(Surah al-Taghabun 64:15)

Keghairahan manusia mengejar kemewahan harta menyebabkan sebahagiannya tergelincir ke lembah kesyirikan. Antaranya ialah manusia yang melakukan ritual-ritual tertentu seperti berpuasa hanya dengan memakan nasi putih tanpa lauk, berpuasa siang malam, melakukan pertapaan atau sebagainya. Ada juga kalangan manusia yang datang kepada sesuatu kubur yang dianggap keramat dan memohon hajat. Ada pula yang mendatangi dukun atau bomoh untuk meminta tangkal atau pelaris bagi melariskan perniagaan mereka. 

Selain itu juga, ada yang mempercayai kepada sesuatu ramalan dan pantang-larang yang berdasarkan kepercayaan dan ritual-ritual tertentu dan bertentangan dengan hukum syarak. Ada juga yang berdamping dengan jin dan syaitan sebagai alat untuk mereka mendapatkan kemewahan dan kesenangan. Bahkan ada pula yang menggunakan khidmat dukun atau pawang untuk mengenakan sihir atau santau kepada pesaing-pesaing mereka yang dirasakan menggugat perniagaan dan kemewahan mereka. 

Kesemua contoh ini merupakan perbuatan-perbuatan syirik yang banyak berlegar dalam masyarakat kerana ia perbuatan yang menyandarkan sesuatu permintaan atau permohonan kepada selain Allah SWT.

Padahal, jika mereka benar-benar mengetahui hakikat sebenar bahawa jin dan syaitan yang mereka puja itu tidak lain hanyalah sebahagian makhluk Allah SWT yang tidak memiliki sebarang kelebihan dan kemuliaan. Bahkan mereka juga sangat lemah di sisi Allah SWT. Mereka hanya berusaha menyesatkan manusia agar jauh dari ajaran Islam dan melanggar perintah Allah SWT. 

Itulah janji iblis dan syaitan apabila mereka dilaknat oleh Allah SWT setelah ingkar arahan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr ayat 39: 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ (٣٩)

Maksud: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.” 

(Surah Al-Hijr 15:39)

Perlu diketahui bahawa dosa syirik kepada Allah SWT merupakan dosa besar yang tidak diampunkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ayat 48: 

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا (٤٨)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan apajua sesuatu), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisaa’ 4:48)

Manakala bagi perbuatan sihir dan yang seumpama dengannya pula, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: 

“Barangsiapa mengikat suatu ikatan lalu meniupnya, maka dia telah melakukan sihir, dan barangsiapa melakukan sihir, maka dia telah berbuat syirik. Barangsiapa menggantung sesuatu (azimat atau tangkal), maka dia akan diserahkan kepada sesuatu itu”.

(Sunan al-Nasaí) 

Rasulullah SAW melarang bagi sesiapa yang datang kepada seorang dukun atau pawang dan membenarkan perkataannya. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Barangsiapa datang kepada seseorang dukun lalu membenarkan ucapannya, maka dia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.”

(Hadis Riwayat Imam Muslim) 

Maka, secara kesimpulannya keghairahan mengejar kemewahan dan kesenangan hidup banyak membutakan manusia pada batas sempadan halal dan haram. Manusia akan terdorong untuk melakukan pelbagai daya dan cara demi mencapai hasrat dan kehendak nafsu mereka memenuhkan saku dengan harta dan kesenangan dunia hingga mendorong mereka melakukan perbuatan syirik. 

Berhati-hatilah dalam mencari kemewahan dan kesenangan duniawi, takut tergelincir dalam lembah kesyirikan yang sia-sia. Syirik ialah dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT, gugur segala amalan bahkan pelakunya termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah alZumar ayat 65:

وَلَقَدْ أُوحِىَ إِلَيْكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ (٦٥)

Maksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”

(Al-Zumar 39:65)

Mohammad Zaki bin Yahpar Bahagian Dakwah, JAKIM
Majalah Sinar Rohani

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑