Soalan
Saya merupakan anak bagi seorang pengajar agama yang mempunyai mahaad tahfiz. Pada mulanya semua dalam keadaan baik saja tetapi apabila ekonomi tidak menentu, hal ini telah membebankan kami sekeluarga. Disebabkan itu, ayah saya bekerja siang malam untuk menampung mahaad tahfiz itu lebih daripada menampung kami sekeluarga. Dan dari situ berlakulah keruntuhan rumahtangga yang telah puluhan tahun dibina disebabkan mahaad tahfiz yang cuba dibina. Jadi soalan saya, wajarkah tindakan ayah saya? Manakah tanggungjawab yang lebih penting buat pendakwah, jalan dakwahnya ataupun keluarga? Adakah kami yang tidak menyokong keputusan ayah ini menjadi berdosa? Apakah tindakan kami sebagai anak jika berlaku perpisahan antara ayah dan ibu disebabkan ini?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Usaha Dakwah
Allah SWT mewajibkan ada satu golongan umat Islam melaksanakan tugas dakwah menyeru manusia berbuat baik dan melarang dari berbuat keburukan. Firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasiq.
(Surah Ali Imran 3:110)
Tugasan menyebarkan Islam ke pelosok muka bumi Allah SWT ini dan juga dakwah menyuruh yang makruf dan meninggal yang mungkar adalah kewajipan fardu kifayah, bukan semua umat Islam mesti melakukan dakwah sebegini.
Hendaklah juga ada di kalangan mereka yang bertugas menjaga keamanan negara, sebahagiannya pula berusaha mengurus negara supaya segenap rakyat dapat hidup dengan baik dan sejahtera. Ada juga yang bertungkus lumus menyampaikan ilmu kepada anak bangsa dan wajib juga ada segolongan mereka yang menumpukan usaha di dalam bidang ilmu pengetahuan bagi keperluan menyebarkan pula kepada individu yang lain.
Allah SWT berfirman;
وَما كانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً، فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طائِفَةٌ، لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ، وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: ‘Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya’.
(Surah al-Taubah 9:122)
Walaupun sudah ada sebahagian umat Islam telah melaksanakan usaha dakwah, mengajak umat untuk berbuat baik dan melarang dari berbuat buruk, namun ke atas setiap individu Muslim yang tahu tentang berlakunya kemungkaran, berkewajipan untuk menghalangnya sekadar kemampuan yang ada.
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri
من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان
Maksudnya: “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
(Sahih Muslim No. 78)
[Lihat: al-Tafsir al-Munir jld. 4, hlm. 33-35]
Tanggungjawab Dakwah dan Keluarga
Di samping berdakwah, Islam juga menuntut kita untuk mengimbangi di antara keperluan dunia dan akhirat. Ada juga keperluan diri seperti tidur, makan dan merehatkan diri yang perlu diberikan. Nafkah isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga juga perlu diberikan perhatian yang wajar. Mereka itu golongan yang lemah yang semestinya perlu dibantu dan disayangi, bahkan berbuat baik kepada mereka adalah antara tanda seseorang yang mempunyai akhlak yang terbaik.
Nabi SAW bersabda;
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”
(Sunan al-Tirmizi No. 3895)
[Lihat; Tuhfah al-Ahwazi jld. 4, hlm. 273]
Islam yang memperjuangkan keseimbangan hidup duniawi dan ukhrawi amat melarang umatnya daripada melakukan sesuatu ibadah-ibadah sunat atau ibadah fardu kifayah secara berlebih-lebihan sehingga mengabaikan sesuatu perkara yang lebih penting dan menjadi kewajipan fardu ain ke atas dirinya.
Tegahan ini bertepatan seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Salman, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya.”
(Sunan al-Tarmizi, No. 2413)
Syeikh Abdul Rahman al-Mubarakpuri ketika menjelaskan makna dan kefahaman hadis ini berkata;
وَفِيهِ جَوَازُ النَّهْيِ عَنْ الْمُسْتَحَبَّاتِ إِذَا خَشِيَ أَنَّ ذَلِكَ يُفْضِي إِلَى السَّآمَةِ وَالْمَلَلِ وَتَفْوِيتِ الْحُقُوقِ الْمَطْلُوبَةِ الْوَاجِبَةِ أَوْ الْمَنْدُوبَةِ الرَّاجِحِ فِعْلُهَا عَلَى فِعْلِ الْمُسْتَحَبِّ الْمَذْكُورِ…. وَفِيهِ كَرَاهِيَةُ الْحَمْلِ عَلَى النَّفْسِ فِي الْعِبَادَةِ
Maksudnya: “Difahami daripada hadis ini tentang keharusan melarang seseorang yang melampaui berbuat ibadah yang sunat. Ini sekiranya perbuatan ibadah itu akan mengakibatkan rasa jemu dan malas (dikhuatiri nanti ibadah itu akan ditinggalkan disebabkan rasa jemu melakukannya) atau akan mengakibatkan pengabaian hak-hak tuntutan agama, sama ada yang wajib atau sunat yang lebih tinggi tuntutannya. Dan makruh hukumnya seseorang yang membebankan dirinya dengan ibadah yang tidak mampu dilakukannya’. [Lihat Tuhfah al-Ahwazi jld. 7, hlm. 81]
Kesimpulan
Berpandukan keterangan di atas, dapat kami simpulkan;
- Tindakan memberikan tumpuan kepada Maahad tahfiz sepenuhnya sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Apatah lagi masih banyak madrasah atau Maahad tahfiz yang lain yang boleh memberikan ruang dan peluang belajar untuk anak-anak tahfiz itu. Sedangkan sebuah rumah tangga yang menunggu keruntuhannya perlu diselamatkan dan tiada yang dapat menggantikannya. Allah SWT tidak membebankan hambanya lebih dari kemampuannya.
- Anak-anak yang menjadi penghubung ikatan suami isteri perlulah bertindak menasihati ayah secara berhikmah supaya beliau kembali dapat membahagikan masa, tenaga dan keupayaan wang ringgit untuk kedua-dua tugas di atas. Bolehlah meminta bantuan pihak yang dihormati di dalam masyarakat untuk menasihati beliau sekiranya anak-anak sendiri merasakan tidak mampu berbuat demikian.
- Tindakan mereka itu adalah antara maksud membantu kepada yang makruf dan takwa dan menghindar daripada yang mungkar dan dosa, Firman Allah SWT;
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
(Surah al-Maidah 5:2)
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment