Terdapat beberapa bahagian untuk mendapatkan kekhusyukkan di dalam solat, bahagian pertama ialah sebelum mendirikan solat iaitu persediaan untuk solat, kedua ketika hendak hampir solat dan ketiga ketika dalam solat:
Pertama: Persediaan Untuk Solat
Solat Tepat Pada Waktu
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’ 4:103)
Dan ada hadis pula yang menyatakan bahawa solat di awal waktu itulah yang paling afdhal, ini sebagaimana hadis daripada Ummu Farwah, beliau berkata:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ: الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, amalan apakah yang paling afdhal. Lalu Baginda pun menjawab: “Solat di awal waktunya.”
(Riwayat Abu Daud 426)
Membersihkan Diri dan Bersugi
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ
Maksudnya: “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wudhu’.”
(Riwayat al-Bukhari 1934)
Jangan Solat Jika Makanan telah Tersedia
Daripada Aisyah, beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
(Riwayat Muslim 560)
Imam Muslim Rahimahullah ada menulis satu bab dalam Sahihnya berkenaan dengan hukum makruh solat jika makanan telah tersedia dan seseorang itu berkeinginan untuk makan.
Jangan Solat Dalam Keadaan Menahan Air Besar dan Kecil
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
(Riwayat Muslim 560)
Bagi ulama yang berpendapat bahawa khusyuk termasuk dalam kewajiban solat, bererti maksud kata “laa” dalam hadis menunjukkan tidak sah solat dengan menahan kencing. Sedangkan menurut jumhur atau majaoriti ulama bahawa khusyuk adalah sunnah, bukan wajib. Sehingga “laa” yang dimaksud dalam hadis adalah menafikan kesempurnaan solat atau hadis tersebut diertikan “tidak sempurna solat dari orang yang menahan kencing”.
Menurut jumhur ulama, menahan kentut juga hukumnya makruh.
Imam Nawawi berkata: “Menahan kencing dan menahan dari membuang air besar (termasuk kentut) mengakibatkan hati seseorang tidak fokus di dalam solat dan khusyuknya akan terganggu. Menahan qadha hajat seperti itu hukumnya adalah makruh menurut majoriti ulama Syafi’iyah dan juga ulama selainnya. Jika waktu solat masih luas (masih ada waktu yang luas untuk qadha hajat), maka hukumnya adalah makruh. Namun bila waktunya sempit untuk solat, contohnya jika makan atau bersuci boleh keluar dari waktu solat, maka (walau dalam keadaan menahan kencing), tetap kena solat pada waktunya dan tidak boleh ditangguh lagi.”
Imam Nawawi berkata lagi: “Jika seseorang solat dalam keadaan menahan kencing padahal masih ada waktu yang luas untuk melaksanakan solat setelah buang hajat, solat pada ketika itu hukumnya adalah makruh. Namun, solat tersebut tetaplah sah menurut kami -ulama Syafi’i- dan inilah pendapat jumhur atau majoriti ulama.” Lihat Syarh Shahih Muslim, (5/46)
Al-San’ani berkata: “Perlu diingat bahawa hal ini bukan termasuk bab mendahulukan hak hamba mengatasi hak Allah, tetapi itu termasuk masalah menjaga hak Pencipta, agar tidak termasuk dalam ibadah kepada-Nya dengan keadaan hati yang tidak diterima munajatnya.” Lihat kitab Taisir al-Allam Syarh Umdah al-Ahkam (104-107) oleh Abdullah bin Abdurrahman bin Soleh Ali Bassam.
Memakai Pakaian Yang Bersih dan Kemas
Memakai pakaian yang kemas dan selesa akan memudahkan untuk khusyuk di dalam solat. Ini kerana, terdapat sebahagian orang yang solat tidak khusyuk disebabkan memakai pakaian yang ketat, pakaian yang singkat dan sebagainya.
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).
(Surah al-‘A’raf 7:31)
Jangan Makan dan Minum Berlebihan Ketika Hendak Solat
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-‘A’raf 7:31)
Solat di Tempat Yang Tiada Gangguan
Berwudhu’ dengan Sempurna
Wudhu’ dengan sumpurna ialah mengikut cara yang diajar oleh Nabi SAW sama ada yang dalam perkara wajib wudhu’ atau pon sunat wudhu’
Tidak Membazir Air Ketika Berwudhu’
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melintasi Saad yang sedang berwudhu’, lalu Baginda SAW bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?” Saad bertanya: “Apakah di dalam wudhu’ juga ada istilah berlebih-lebihan?” Baginda SAW menjawab: “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad)
Kedua: Ketika Hendak Hampir Solat
Azan dan iqamah.
Dilakukan secara berjemaah
Menghadirkan hati.
Mengibaratkan sebagai solat yang terakhir atau mengingati mati
Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda,
اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ
Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).”
(Riwayat al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd)
Tidak melakukan maksiat ketika sebelum solat.
Ketiga: Ketika Dalam Solat
Memahami Dan Menghayati Bacaan Dalam Solat
Di antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.
Supaya kita tidak menjadi orang yang seperti di dalam ungkapan ini: “Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Justeru itu amatlah digalakkan untuk memahami setiap makna ayat-Quran yang dibacakan di dalam solat kerana ia akan lebih menambah kekhusyukkan di dalam solat.
- Memahami fiqh solat dengan sempurna
- Merendahkan dan menghinakan diri di hadapan allah swt
- Mengagungkan allah swt
- Memperbanyakkan sunnah dalam solat sama ada qauli atau fi’li
- Membaca doa yang sunnah dalam solat
- Menghadirkan hati ketika sujud.
Ini kerana sewaktu sujud merupakan saat paling hampir antara hamba dengan Tuhan-Nya.
- Memohon perlindungan daripada gangguan syaitan
- Tidak memikirkan hal keduniaan
- Mengurangkan pergerakaan tubuh.
- Tidak melihat ke langit.
- Lihat pada tempat sujud dan pada tempat yang mendatangkan kekhusyukkan.
- Lakukan dengan tama’ninah serta tidak tergopoh-gapah
Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan. Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ السَّلاَمَ فَقَالَ ” ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.”
(Riwayat Al-Bukhari 793)
Hukum Khusyuk Di Dalam Solat
Para ulama berbeza pendapat dalam isu khusyuk di dalam solat. Adakah ia merupakan di antara perkara wajib di dalam solat atau ia sekadar sunat dan merupakan pelengkap kepada solat. Imam Al-Qurtubi Rahimahullah menyatakan hal ini dengan katanya: Para ulama berbeza pandangan mengenai khusyuk di dalam solat ini kepada dua pendapat:
Pertama: Ia merupakan di antara perkara fardhu (yang wajib) di dalam solat.
Di antara tokoh ulama yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah. Beliau menyebutkan beberapa dalil yang menunjukkan kewajipan khusyuk di dalam solat. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.
(Surah Taha 20:14)
Kata Imam Al-Ghazali ketika mengulas berkenaan ayat ini; Zahir perintah (mendirikan solat) adalah membawa kepada hukum wajib. Kelalaian (tidak khusyuk) adalah bercanggahan dengan sifat zikir (iaitu mengingati). Maka sesiapa yang lalai dalam keseluruhan solatnya bagaimana dia itu dikira sebagai seorang yang mendirikan solat untuk mengingati Allah? Rujuk Ihya’ Ulum al-Din, Al-Ghazali (1/159).
Pandangan ini juga merupakan pendapat yang paling sahih menurut Imam al-Qurthubi. Ini dapat dilihat dari kata-kata beliau: Pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang pertama (yang mengatakan khusyuk adalah di antara fardhu solat). Dan tempat bagi kekhusyukan adalah jantung hati. Kata ‘Ubadah bin Al-Shomit R.Anh: Khusyuk adalah ilmu yang terawal diangkat daripada manusia. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (12/97).
Kedua: Khusyuk adalah di antara perkara sunat di dalam solat dan merupakan pelengkap bagi solat.
Pendapat ini dipegang oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah dan beberapa tokoh selainnya.
Imam Al-Nawawi Rahimahullah mengatakan: Disunatkan untuk khusyuk di dalam solat serta tunduk, mentadabbur ayat-ayat bacaan serta zikir-zikir di dalamnya, dan berpaling dari memikirikan perkara-perkara yang tiada kaitan dengannya. Sekiranya seseorang itu berfikir tentang perkara selain dari solat serta banyak memikirkannya, solatnya tidak terbatal. Akan tetapi perbuatan itu hukumnya makruh sama ada seseorang itu memikirkan perkara-perkara yang mubah (harus) atau memikirkan perkara-perkara yang haram seperti meminum arak.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: Telah dinukilkan ijmak bahawasanya perbuatan berfikir dan monolog dalaman adalah tidak membatalkan solat akan tetapi para ulama sepakat bahawa ianya makruh. Pendapat Imam al-Nawawi ini didasarkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata dan beliau memarfu’kannya kepada Nabi S.A.W:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا وَسْوَسَتْ أَوْ حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.”
(Riwayat Al-Bukhari 6664)
Tarjih
Setelah meneliti beberapa pandangan di atas, kami lebih cenderung dengan pendapat yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi dan juga jumhur ulama bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat.
Kami kemukakan 2 dalil:
Pertama: Hadis Nabi SAW memulangkan baju kepada Abi Jahm dengan menyatakan bahawa ia melalaikan aku sebentar tadi dalam solatku.
اذْهَبُوا بِهَذِهِ الْخَمِيصَةِ إِلَى أَبِي جَهْمِ بْنِ حُذَيْفَةَ، وَائْتُونِي بِأَنْبِجَانِيِّهِ، فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا فِي صَلَاتِي
Maksudnya: “Pergilah dengan membawa baju ini untuk diberi kepada Abi Jahm bin Huzaifah dan bawalah kepadaku baju yang biasa. Ini kerana baju tersebut melekakanku sebentar tadi pada solatku.”
Kedua: Hadis Aisyah Baginda SAW bersabda kepadanya: Buanglah daripada kami bentuk gambaran pada bantal kamu itu kerana gambar-gambar sentiasa datang dalam solatku. Manakala jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan. Walaupun begitu, tidak khusyuk di dalam solat akan mengurangkan pahala solat dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.
Kami juga tidak menafikan bahawa pandangan yang mewajibkan untuk khusyuk di dalam solat mempunyai asas yang kukuh. Imam Ibn al-Qayyim pernah mengatakan: Solat orang-orang munafiq adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati.” Lihat Madaarij Al-Saalikin, Ibn al-Qayyim (1/354).
Lakukanlah solat dengan penuh kekhusyukan serta hayatilah intipati bacaan yang dibaca di dalam solat, supaya solat kita tidaklah sekadar pergerakan anggota badan akan tetapi solat yang terzahir daripada kekhusyukan jiwa, kerendahan hati, tunduk, serta patuh menghadapkan diri di hadapan Allah. Kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kepada kita semua kekhusyukan di dalam solat.
Sumber: PMWP
Leave a comment