Kedudukan Niat Ketika Takbiratul Ihram

Soalan

Saya sedia maklum bahawa hukum niat ketika solat adalah wajib dan ia perlu disertakan ketika takbiratul ihram. Namun, saya ada persoalan iaitu di manakah kedudukan niat ketika takbiratul ihram? 

Penjelasan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kedudukan niat dalam suatu amalan merupakan perkara terpenting sehingga ia menjadi pembeza antara ibadat dan adat. Hal ini bermaksud suatu ibadat tidak dihukumkan sah dan tidak diambil kira oleh syarak kecuali apabila ia diniatkan sebagai ibadat. Seorang mukalaf juga tidak akan diganjari pahala jika niatnya tidak betul. Ini merujuk pada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab, Nabi SAW bersabda:

إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang hanya mengikut apa yang diniatkan”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Definisi niat dari sudut bahasa ialah tujuan. Manakala dari sudut syarak bermaksud menyatakan tujuan suatu perbuatan ketika melakukannya. Tempat niat adalah di dalam hati dan ia sunat dilafazkan. 

Rukun-rukun solat terbahagi pada empat bahagian iaitu 

  1. Rukun qauli (perkataan)
  2. Rukun fi’li (perbuatan), 
  3. Rukun ma’nawi 
  4. Rukun qalbi (hati)

Niat merupakan satu-satunya rukun dalam rukun qalbi dan waktu pelaksanaannya adalah ketika takbiratul ihram. Seseorang yang bertakbir tanpa menyertakan niat atau berniat selepas selesai melafazkan takbir, maka solatnya tidak sah.

Secara umumnya, tingkatan niat dalam solat terbahagi kepada empat pecahan. Ia seperti yang dinyatakan oleh al-Bujairimi:

  1. Tingkatan pertama: Istihdar Haqiqi (استحضار الحقيقي); iaitu menghadirkan niat pada keseluruhan rukun solat secara terperinci.
  2. Tingkatan kedua: Muqaranah Haqiqiyyah(مقارنة حقيقية) ; iaitu menyertakan niat pada permulaan lafaz takbir sehingga pengakhiran lafaznya.
  3. Tingkatan ketiga: Istihdar ‘Urfi(استحضار العرفي) ; iaitu menghadirkan niat pada rukun-rukun solat secara umum sahaja.
  4. Tingkatan keempat: Muqaranah ‘Urfiyyah(مقارنة العرفية) ; iaitu menyertakan niat pada sebahagian takbir sama ada pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya:

ويجب قرن النية بالتكبيرة وقيل: يكفي بأوله

Maksudnya: “Wajib menyertakan niat dengan takbir. Berdasarkan pandangan yang lemah : memadai (niat) di awal takbir”.

Pada asasnya, Khatib al-Syirbini menyatakan niat solat wajib disertakan ketika melafazkan takbiratul ihram kerana takbir merupakan rukun pertama di dalam solat. Niat juga wajib disertakan ketika permulaan takbir dan berterusan sehingga selesai lafaz takbir tersebut (muqaranah haqiqiyyah). Namun, berdasarkan pandangan yang tidak muktamad di sisi mazhab al-Syafi‘i memadai bagi orang yang solat untuk menghadirkan niat pada permulaan takbir dan tidak wajib menyertakan niat hingga ke akhirnya.

Walau bagaimanapun, Imam al-Haramain al-Juwaini dan Imam al-Ghazali melihat bahawa perkara ini menjadi kesukaran untuk dilaksanakan oleh masyarakat awam. Justeru, mereka berpandangan bahawa tidak wajib menyertakan niat pada permulaan takbiratul ihram dan berkekalan sehingga ke akhirnya. Bahkan memadai bagi masyarakat awam untuk menyertakan niat solat secara muqaranah urfiyyah dan ini juga merupakan pandangan yang dipilih oleh imam al-Nawawi dan pandangan yang kuat di dalam mazhab.

Para ulama berselisih pendapat ketika mendefinisikan makna muqaranah urfiyyah. Al-Ramli menyatakan bahawa ia adalah sekira-kira seseorang itu menyertakan niat dalam solat sama ada pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir. Manakala, sebahagian yang lain pula mentakrifkan ia sebagai niat ketika takbir dalam keadaan dia tidak lalai daripada mengingatinya serta diikuti dengan kesungguhan yang jitu.

Al-bujairimi turut menyatakan bahawa terdapat pandangan daripada sebahagian ulama mutakhir dari mazhab Syafi’i yang membataskan niat secara istihdar urfi dan muqaranah urfiyyah kerana dua tingkatan yang terawal itu tidak mampu dilakukan oleh kebiasaan orang awam.

Kesimpulan

Orang yang solat wajib menyertakan niat ketika takbiratul ihram dan ketiadaan niat menjadikan solatnya tidak sah. Niat ketika takbir perlu disertakan pada permulaan lafaz takbir dan berkekalan sehingga akhir lafaz. Walau bagaimanapun, memadai bagi masyarakat awam untuk menyertakan niat sama ada pada permulaan, pertengahan atau penghakhiran takbir, dalam keadaan mereka berusaha dan tidak lalai daripada mengingatinya.

Wallahu A’lam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑