Adakah Sah Jika Sujud Di Atas Rambut Yang Menutup Dahi?

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pengertian sujud pada syarak ialah meletakkan dahi orang yang bersolat dengan menyentuhkannya secara langsung ke tempat sujud. Sujud merupakan salah satu daripada rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ia sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ia tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam al-Quran, hadis dan ia juga telah disepakati oleh para ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf akan kewajipannya.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡكَعُواْ وَٱسۡجُدُواْۤ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat).

(Surah al-Hajj 22:77) 

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari, telah disebutkan bahawa ada seorang lelaki masuk ke dalam masjid lalu kemudiannya dia mendirikan solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah. Lantas Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut mengulangi semula solatnya. Keadaan itu berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta Nabi SAW untuk mengajarkannya solat. Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadis tersebut:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan tamakninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan tamakninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan tamakninah)…”

(Riwayat al-Bukhari, 6667)

Syarat Sujud

Antara syarat sah sujud ialah menyentuh atau menempelkan dahi yang terdedah ke tempat sujud serta melakukan sujud dengan tujuh anggota badan, iaitu, dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. Hal ini berdasarkan hadis, sabda Nabi SAW:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.

(Riwayat al-Bukhari, 812 dan Muslim, 490)

Walau bagaimanapun tidak wajib mendedahkan semua anggota tersebut kecuali dahi hendaklah terbuka tanpa dihalangi atau ditutupi oleh sesuatu. Rasulullah SAW memberikan pengertian khusus tentang wajibnya menyentuh atau menempelkan dahi pada tempat sujud ketika sujud, hal ini dijelaskan dalam salah satu hadisnya:

إذا سجدت فمكّن جبهتك

Maksudnya: “Ketika kamu sujud tetapkanlah keningmu (di tempat solat).”

(Riwayat Ibnu Hibban)

Para ulama telah menetapkan batas minimum menempelkan dahi pada tempat sujud sekiranya hanya sebahagian dahi sahaja dapat menyentuhkan atau menempel pada tempat sujud. Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami V dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj:

(وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه) للحديث الصحيح

Maksudnya: “Batas minimum sujud adalah sebahagian dahi menyentuh pada tempat solat (sujud). Hal ini berdasarkan hadis yang sahih.” (Lihat:Tuhfah al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 69)

Menempelnya sebahagian dahi pada tempat solat ataupun sujud, dicontohkan seumpama ketika seseorang sujud pada benda yang tidak muat untuk meliputi seluruh dahinya, seperti sujud pada tongkat, atau di dahinya terhalang oleh sebahagian rambut yang menutupinya, sekiranya masih terdapat bahagian dari dahi yang terbuka dan terdedah serta menempel pada tempat sujud. Maka dalam keadaan sedemikian, sujudnya adalah benar dan solatnya tetap dihukumkan sah, akan tetapi sujud dalam keadaan tersebut adalah makruh. Ini adalah kerana sujud yang sempurna ialah dahi dapat menempel di tempat solat atau sujud tanpa terhalang oleh apa pun.

Imam al-Nawawi V menyebut di dalam syarahnya: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadis menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.”(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, jld.4, hlm.208)

Dapat difahami bahawa antara syarat sah sujud ialah menempel atau menyentuhkan sebahagian daripada dahi pada lantai dengan tidak berlapik, tetapi yang afdal ialah dengan menempel atau menyentuhkan semua bahagian dahi yang hadapan. Walau pun sah tetapi sujud dengan hanya menempelkan sedikit atau sebahagian daripada dahi itu hukumnya makruh melainkan ada keuzuran seperti ada pembalut disebabkan luka yang bertampal menutupi di bahagian dahi.

Berkata Imam Nawawi RHm:

أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالسُّجُودُ عَلَى الْجَبْهَةِ وَاجِبٌ بِلَا خِلَافٍ عِنْدَنَا وَالْأَوْلَى أَنْ يَسْجُدَ عَلَيْهَا كُلِّهَا فَإِنْ اقْتَصَرَ عَلَى مَا يَقَعُ عَلَيْهِ الِاسْمُ مِنْهَا أَجْزَأَهُ مَعَ أَنَّهُ مَكْرُوهٌ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ هَذَا هُوَ الصَّوَابُ الَّذِي نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ فِي الْأُمِّ وَقَطَعَ بِهِ جُمْهُورُ الْأَصْحَابِ

Maksudnya: “Ada pun hukum sujud atas dahi itu adalah wajib tanpa khilaf di sisi kami. Dan yang afdal ialah sujud atas sekalian dahi. Maka jika seorang itu sujud hanya kena sedikit dari dahi nescaya sah tetapi hukumnya makruh tanzih. Inilah pendapat yang benar yang telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie dalam kitab Al-Umm dan telah memutuskan dengannya oleh jumhur ashab.” (Lihat: Al-Majmu’ Syarh al-Mahazab, jld.3, hlm.423)

Dan dihuraikan dalam kitab Hasyiah Syarwani :

وَيُتَصَوَّرُ السُّجُودُ بِالْبَعْضِ بِأَنْ يَكُونَ السُّجُودُ عَلَى عُودٍ مَثَلًا أَوْ يَكُونَ بَعْضُهَا مَسْتُورًا فَيَسْجُدَ عَلَيْهِ مَعَ الْمَكْشُوفِ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan tergambar rupa sahnya sujud dengan sebahagian dahi itu seperti ia sujud atas kayu misalnya yang sebahagian dahinya tertutup maka sujud ia pada bahagian dahi yang terbuka.”

(Lihat: Hasyiah al-Syarwani, jld. 2, hlm. 69)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, jika terdapat sebahagian rambut yang menutupi dahi pada ketika sujud, maka solatnya itu adalah sah, selama mana rambut yang terurai itu tidak sampai menutup dahi secara keseluruhannya. Namun jika keseluruhan dahi tertutup dengan rambut maka sujudnya tidak sah. Keadaan ini biasanya sering berlaku kepada seseorang lelaki yang solat tanpa menggunakan penutup kepala seperti kopiah, sehingga rambutnya terurai di dahinya ketika sedang sujud.

Berbeza pula hukumnya jika keadaan sedemikian berlaku kepada wanita, maka apabila rambutnya dibiarkan terurai di dahi ketika solat, maka solatnya menjadi batal. Hukum batal solat ini bukan kerana rambutnya yang menutupi dahi ketika sujud, akan tapi adalah disebabkan bagi wanita rambut merupakan aurat yang wajib ditutup ketika solat. Oleh itu jika rambutnya terurai di dahi ketika solat, maka ia dianggap tidak menutup auratnya dengan sempurna.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑