Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 12 – Kesempurnaan Islam Seseorang

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan..” 

(An-Nahl 16:90)

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ؛ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيْهِ

Maksudnya: “Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”

(Riwayat al-Tirmizi no. 2318, 2319 dan Ibn Majah no. 3976)

Huraian

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Qurrah bin Abdurrahman, daripada Zuhri, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah dan sanad-sanadnya dinyatakan sebagai sahih. Tentang hadis ini beliau berkata: “Hadis ini kalimahnya pendek tetapi padat berisi dalam mesej yang dibawanya.”

Serupa dengan hadis ini ialah ucapan Abu Dzar yang bermaksud: “Sesiapa yang menilai ucapan dengan perbuatannya, maka dia akan sedikit bicara dalam hal yang tidak berguna bagi dirinya.”

Dalam Tafsir Ibn Kathir melalui riwayat daripada Imam Malik menyebutkan dalam kitabnya Muwatta’ bahawa sampai kepadanya keterangan bahawa seseorang bertanya kepada Luqman al-Hakim: “Apakah yang menyebabkan engkau mencapai darjat yang kami saksikan sekarang?” Jawabnya: “Berkata benar, menunaikan amanah dan meninggalkan apa saja yang tidak bermanfaat bagi diriku.”

Diriwayatkan daripada Imam al-Hasan, beliau berkata bahawa tanda Allah menjauh daripada seseorang itu ialah apabila orang itu sibuk dengan hal-hal yang tidak bermanfaat bagi kepentingan akhiratnya. Beliau berkata lagi bahawa Abu Daud berkata: “Ada empat hadis yang menjadi dasar bagi amalan Muslim, salah satunya ialah hadis ini.”

Pengajaran

1. Antara sifat seorang Muslim ialah:

  • Mementingkan perkara yang mulia.
  • Menjauhkan diri daripada perkara yang hina dan rendah moral.
  • Mendidik diri dengan meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.

2. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat ialah kerja sia-sia dan merupakan petanda lemahnya iman.

3. Menggunakan waktu dengan manfaat menguntungkan diri sendiri bagi faedah dunia dan akhirat. 

4. Mencampuri urusan orang lain melibatkan perkara yang tidak disuruh oleh syarak boleh mengakibatkan perpecahan dan pertikaian antara manusia.

Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 10 – Baik dan Halal Syarat Doa Diterima
Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 11 – Tinggalkan Yang Meragukan

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

2 thoughts on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 12 – Kesempurnaan Islam Seseorang

Add yours

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑