Soalan
Saya ingin bertanya tentang permasalahan iddah jika bercerai hidup:
- Apakah kewajipan dan tanggungjawab bagi suami semasa tempoh iddah
- Apakah kewajipan dan tanggungjawab bagi isteri semasa tempoh iddah
- Jika isteri minta untuk keluar terus dari rumah suami dan tinggal berasingan semasa tempoh iddah, adakah ini dibolehkan?
- Jika isteri berkeras mahu keluar, adakah gugur hak dan nafkah untuk isteri semasa tempoh iddah?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhamad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mukadimah
Setelah berlaku perceraian, isteri akan berada dalam tempoh iddah. Iddah bermaksud tempoh tertentu yang ditetapkan ke atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami. Hukumnya wajib bagi isteri yang telah diceraikan suami dan yang kematian suami.
Antara dalil kewajipannya adalah firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَنْ يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Baqarah 2:228)
Jenis-Jenis Talak
Talak dalam Islam boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu talak rajie dan talak bain. Talak rajie bermaksud talak yang boleh dirujuk kembali tanpa akad atau pernikahan baru selepas diceraikan oleh suami dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh iddah. Namun begitu, talak rajie hanya dikira jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua sahaja yang tidak tamat daripada tempoh iddah.
Talak bain pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak bain sughra dan talak bain kubra.
Talak bain sughra ialah talak yang tidak boleh dirujuk. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum disetubuhi dan talak yang difasakhkan.
Talak bain kubra merupakan talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara berasingan.
Nusyuz Dan Perbahasan Sekitarnya
Nusyuz bermaksud keluarnya seorang isteri dari ketaatan yang wajib ke atas suaminya. Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.
(Riwayat Ibn Hibban, no 4163)
Seorang isteri wajib mematuhi dan mentaati suaminya selagi mana tidak melanggar hukum syarak. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”
(Riwayat al-Bukhari no. 7144)
Termasuk perbuatan yang dianggap nusyuz seperti keluar dari tempat tinggal yang disediakan, enggan tinggal di rumah yang telah disediakan, mengingkari keinginan suaminya untuk berseronok (setubuh dan sebagainya) dari sudut (dikatakan dia ingkar bilamana) usaha untuk menyuruhnya mengikut perintah membawa kepada kepenatan dan lain-lain. (Lihat; Raudhah at-Tolibin, jld. 5 hlm. 677)
Jumhur fuqaha’ berpandangan gugur hak nafkah bagi isteri sekiranya dia melakukan nusyuz. Hal ini kerana nafkah menjadi wajib setelah isteri merelakan dirinya untuk suami, kerana itu nafkah tidak menjadi wajib walaupun setelah akad selagi mana isteri tidak merelakan/membenarkan dirinya untuk suami. Maka apabila isteri menghalang dirinya daripada suami, maka tergugurlah nafkah untuknya. (Rujuk al-Mausu’al al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 40 hlm. 290 dan al-Mughni al-Muhtaj, jld. 3, hlm. 572, cetakan Dar al-Ma’rifah)
Hak dan Tanggungjawab Wanita Yang Dalam Iddah Talak Rajie
Wanita yang dalam iddah rajie masih dianggap isteri, dia berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah. Dia juga wajib meminta izin suaminya untuk keluar dan dianggap nusyuz jika keluar tanpa izin. Perinciannya seperti berikut:
1. Hak Mendapat Nafkah (belanja) dan Tempat Tinggal
Dalil yang mengatakan wanita dalam iddah rajie berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni mengenai Fatimah binti Qais RA ketika dia ditalak tiga oleh suaminya, Rasulullah SAW tidak memberi hak tempat tinggal dan nafkah untuk beliau. Baginda SAW bersabda:
“ إِنَّمَا النَّفَقَةُ وَالسُّكْنَى لِمَنْ تَمْلِكُ الرَّجْعَةُ ”
Maksudnya: Sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal hanya untuk perempuan yang berhak dirujuk.
(Sunan al-Daruqutni 4/22)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam an-Nasai. Dalam riwayat Abu Daud disebut:
لاَ نَفَقَةَ لَكِ إِلاَّ أَنْ تَكُونِي حَامِلاً
Maksudnya: “Tidak ada nafkah bagi kamu (Fatimah), kecuali jika kamu hamil.”
(Sunan Abu Daud:2290)
Imam Taqiyuddin Abu Bakar dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar menyebut: “Perempuan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah perempuan yang ditalak bain dan tidak hamil. Sebab perempuan yang ditalak raj’i masih sebagai isteri, sedangkan penghalangnya ialah dari pihak suami, kerana suami mampu menghilangkan penghalang tersebut (iaitu dengan merujuk isterinya.”
“Sebagaimana wajibnya nafkah dan tempat tinggal (untuk perempuan yang ditalak rajie), wajib juga ia mendapat biaya hidup yang lain sebagai isteri, kecuali alat-alat pembersih).” (Lihat Kifayah al-Akhyar hlm. 511-512)
2. Wajib Kekal Menetap Di Rumah dan Tidak Keluar, Serta Wajib Meminta Izin Suami
Berkenaan tempat tinggal, pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie adalah wajib untuk wanita ber’iddah rajie kekal menetap di rumah perkahwinannya sepanjang tempoh iddah tersebut. Bermaksud bukannya dihantar menetap di rumah lain. Beliau juga tidak boleh keluar dari rumah tersebut melainkan dengan izin suami atau disebabkan darurat. Hal ini demikian kerana mereka (wanita dalam iddah rajie) bergantung hidup dengan nafkah suami mereka (maka tiada keperluan untuk mereka keluar). Maksud keluar adalah keluar dan kembali semula ke rumah itu, adapun keluar ke tempat tinggal lain (menetap di sana dan tidak kembali) maka ianya tidak dibolehkan walaupun dengan izin suami. (Lihat al-Bujairami ‘ala al-Khatib, jld. ke-4, hlm. 412-414)
Dalil wajib menetap di rumah ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ
Maksudnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
(Surah al-Talaq 65:1)
3. Haram Suami Memandang, Menyentuh dan Menyetubuhi Isteri Yang Dalam Iddah Rajie
Segala bentuk istimtak (berseronok) dengan isteri adalah diharamkan. Sekiranya berlaku persetubuhan, tidak dikenakan hukuman hudud, walaupun suami itu mengetahui hukumnya haram, disebabkan terdapat perselisihan ulama mengenai keharusannya (bersetubuh dengan isteri dalam iddah rajie). Namun boleh dikenakan hukuman takzir (hukuman yang tidak dijelaskan secara khusus dalam al-Quran dan Sunnah). Sekiranya pelaku itu jahil tentang keharamannya atau menganggap ianya harus, maka tidak dikenakan hudud dan juga takzir. (Lihat: Raudhah at-Tolibin, jld. ke-6, hlm. 196-198)
4. Haram Suami Tinggal Bersama-Sama Isteri Yang Dalam Iddah Rajie
Imam at-Taqiyuddin menyebut: “Suami haram tinggal bersama isteri yang sedang menjalani iddah di dalam rumah yang ditempatinya pada waktu menjalani iddah dan haram pula bergaul dengannya. Hal ini kerana, perbuatan tersebut akan mengakibatkan keduanya berkhalwat. Khalwat suami dengan perempuan tersebut sama dengan khalwatnya dengan wanita lain. Banyak orang bodoh tidak mengetahui bahawa hal ini hukumnya haram dan si lelaki mengatakan bahawa perempuan tersebut adalah bekas isteri. Padahal dia mengetahui hukumnya. Jika dia meyakini bahawa perbuatan tersebut halal padahal dia sebenarnya tahu bahawa perbuatan tersebut haram, maka dia menjadi kafir. Jika dia bertaubat, maka diampuni. Dan jika tidak, maka dia dipenggal lehernya. (Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 516-517)
Namun terdapat 2 keadaan yang membolehkan mereka tinggal bersama-sama:
- Terdapat peneman atau orang ketiga dalam rumah. Iaitu mahram wanita tersebut ataupun mahram wanita lelaki tersebut (contoh: kakak). Ataupun sesiapa yang semakna dengan mahram seperti isteri keduanya atau hamba perempuan. Disyaratkan bagi peneman atau orang ketiga ini mestilah mumayyiz, manakala Imam as-Syafie mensyaratkan mestilah mencapai umur baligh. Termasuk juga sebagai peneman wanita-wanita atau seorang wanita yang dipercayai. Perkara penting bagi peneman ini ialah mereka perlulah memastikan suami isteri ini menjaga batas-batas pergaulan sesama mereka.
- Jika dalam rumah terdapat bilik, masing-masing tinggal di bilik masing-masing. Namun disyaratkan bagi setiap bilik mempunyai ruang-ruang keperluan sendiri seperti dapur, tempat rehat, telaga, tangga ke atap dan lain-lain. Jika ruang-ruang keperluan ini dikongsi bersama maka tidak boleh tinggal bersama-sama melainkan ditemani mahram. (Lihat Raudhah at-Tolibin, jld. ke-6, hlm. 395-396)
Hak dan Tanggungjawab Wanita Dalam Iddah Talak Bain
Hak dan tanggungjawab mereka seperti wanita dalam iddah rajie yang telah diterangkan, namun terdapat sedikit perbezaan iaitu mereka tidak berhak mendapat nafkah daripada suami kecuali jika mereka hamil.
Berkenaan dengan isu iddah ini juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ada mengeluarkan garis panduan bagi wanita yang beriddah cerai hidup iaitu:
1. Berkenaan Pinangan Dan Berkahwin:
- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
2. Berkenaan Keluar Rumah:
Bagi wanita dalam iddah rajie: Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.
Bagi wanita dalam talak bain: Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Termasuk dalam larangan keluar rumah juga ialah keluar untuk bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadat fardu haji. Justeru dalam hal ini, keluar rumah tanpa keperluan yang penting dan mendesak adalah tidak dibenarkan sama sekali.
3. Berkenaan Berpindah Keluar Dari Rumah
Bagi wanita dalam iddah rajie: Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:
…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…
Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.
Bagi wanita dalam iddah bain: Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Ini kerana, sepanjang tempoh iddah dengan talak bain, bekas suami masih berkewajipan menyediakan tempat tinggalnya dan dilarang daripada menghalau keluar isteri yang diceraikan.
4. Berkenaan Dengan Berkabung
Bagi wanita dalam iddah rajie: Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
Bagi wanita dalam iddah bain: Disunatkan berkabung dan meninggalkan amalan berhias kerana dibimbangi dengan berhias itu boleh mendorong kepada maksiat dan kerosakan serta membawa kepada fitnah.
(Rujuk: Garis Panduan Beriddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM).
Kesimpulan
Dalam tempoh iddah talak rajie, seorang suami wajib menyediakan tempat tinggal dan nafkah kepada isterinya. Dalam iddah talak bain pula, suami hanya wajib menyediakan tempat tinggal sahaja, namun sekiranya isteri itu sedang hamil maka wajib bagi suami memberi nafkah. Ini berhubung nafkah terhadap isteri, adapun nafkah terhadap anak-anak tetap menjadi tanggungjawab suami walaupun telah bercerai.
Isteri perlu kekal berada dalam rumah yang disediakan dan perlu meminta izin suami jika ingin keluar. Terdapat beberapa pengecualian dalam beberapa isu untuk isteri keluar rumah sebagaimana yang telah dijelaskan. Sekiranya isteri melakukan nusyuz, maka gugur kewajipan suami memberi nafkah. Isteri juga tidak boleh menerima pinangan dan berkahwin dengan lelaki lain dalam tempoh iddah. Suami isteri juga perlu menjaga batas pergaulan mereka, tatacara pergaulan mereka adalah seperti ajnabi, tidak boleh memandang tanpa sebab, memegang dan seumpamanya. Suami tidak boleh tinggal bersama-sama isteri kecuali dalam keadaan-keadaan yang telah dijelaskan.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment