Perkataan “Sedekah” adalah berasal dari perkataan Bahasa Arab iaitu; (صَدَقَة). Perkataan “Sedekah” disudut istilah bahasa ialah; “Benar”. Maksud “Sedekah” disudut istilah syarak pula ialah;“Pemberian (kepada seseorang yang diniatkan) untuk di perolehi dengannya ganjaran pahala di sisi Allah SWT”.
Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sedekah yang sunat mahupun sedekah yang fardhu (wajib). Jika sedekah yang fardhu (wajib), ia dikenali dengan zakat.
Bersedekah adalah salah satu amal soleh yang paling mulia di sisi Allah SWT. Keikhlasan mengeluarkan sedekah menjadi petanda kekuatan iman seseorang. Terdapat banyak dalil-dalil dari Al-quran dan Al-sunnah tentang pensyariatan sedekah dalam Islam. Antaranya ialah, sepertimana Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقْرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا يُضَـٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌۭ كَرِيمٌۭ (١٨)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia”
(Al-Hadid 57:18)
Harta kita tidak akan berkurangan atau habis kerana bersedekah. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta (seseorang)”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Malah harta yang kita keluarkan untuk bersedekah dengan ikhlas dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diberikan gantian oleh Allah SWT, serta diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari sisinya.
Dengan bersedekah, kita dapat membuang sifat bakhil atau kedekut yang ada dalam diri kita. Bersedekah juga akan menjadikan kita seorang yang pengasih serta prihatin terhadap kesusahan orang lain, dan kita juga akan menjadi seorang yang mudah menghulurkan bantuan atau sedekah kepada mereka yang berhak menerimanya.
Sedekah yang paling afdhal adalah mengutamakan pemberian tersebut kepada mereka yang susah dalam kalangan ahli keluarga kita, dan saudara mara yang lebih dekat.
Al-Imam Nawawi telah menjelaskan tentang perkara ini dalam Kitab Al-Majmu’, ertinya:
“Telah ijmak sekalian umat bahawasanya bersedekah kepada keluarga yang terdekat lebih afdhal dari orang-orang yang bukan saudara. Dan (dalil dari) hadis-hadis tentang masalah ini banyak dan masyhur”.
Ini bukanlah bermaksud kita tidak boleh bersedekah kepada orang lain yang bukan dari kalangan ahli keluarga dan kaum kerabat kita. Yang dimaksudkan di sini ialah mendahulukan mereka yang lebih layak untuk menerima sedekah tersebut, sepertimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 177:
وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ
Ertinya: “Dan dia memberi (sedekah) akan hartanya yang disukai kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta”
(Al-Baqarah 2:177)
Ada beberapa perkara yang perlu difahami dan diamalkan bagi sesiapa yang hendak melakukan ibadah sedekah, antaranya ialah:
1. Mengikhlaskan Niat
Hendaklah orang yang bersedekah memperbetulkan niatnya. Hendaklah dia bersedekah kerana Allah SWT semata-mata, bukan kerana riya’ dan ingin mendapat pujian manusia, bukan kerana ingin mendapat gelaran seorang yang dermawan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Bayyinah Ayat 5:
وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ
Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid;
(al-Bayyinah 98:5)
Dan dalam satu hadis riwayat Muslim; pada hari kiamat kelak, ada seorang lelaki yang diberi keluasan rezeki oleh Allah SWT, kemudian dia menginfakkan hartanya, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan (tersebut) sehingga dia mengetahuinya dengan jelas. Allah SWT bertanya (kepadanya): Apa yang telah kamu perbuat dengannya (iaitu harta tersebut)?, dia menjawab; ‘Saya tidak meninggalkannya sedikit pun melainkan saya infakkan harta benda tersebut di jalan yang engkau redhai, tidaklah aku menginfakkannya melainkan kerana engkau. (Lalu) Allah SWT (menjawab); ertinya; ”Engkau bohong!, tetapi engkau melakukan seperti itu supaya dikatakan, dia itu seorang yang pemurah (atau dermawan), maka kemudian diperintahkan supaya dia diseret diatas wajahnya dan dilemparkan ke dalam api neraka”.
(Hadis Riwayat Muslim)
2. Sedekah tersebut hendaklah dari sumber harta yang halal
Sepertimana Rasulullah SAW bersabda ertinya:
“Tidak akan diterima solat tanpa bersuci, dan tidak akan diterima pula sedekah dari harta ghulul (yakni harta dari sumber yang haram )”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Peluang untuk kita mengeluarkan sedekah adalah ketika kita sihat, dan memiliki harta yang dikurniakan oleh Allah SWT. Bersedekah, mungkin dianggap ringan bagi kita yang berkemampuan. Namun nikmatnya tentu lebih terasa apabila kita bersedekah dalam keadaan kesempitan, dan memikirkan untuk membahagiakan orang lain, ketika kita sendiri dalam kesusahan.
Terdapat banyak kelebihan bersedekah, sepertimana yang tersebut dalam Al-Quran dan Alsunnah, antaranya ialah;
1. Dengan bersedekah, kita telah melaksanakan salah satu titah perintah Allah SWT
Sepertimana yang tersebut dalam surah Al-Baqarah ayat 254:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌۭ لَّا بَيْعٌۭ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌۭ وَلَا شَفَـٰعَةٌۭ ۗ وَٱلْكَـٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٢٥٤)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu, sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafa’at. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim”.
2. Sedekah dapat menghapuskan kesalahan dan dosa.
Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
“Sedekah Itu menghapuskan (dosa) kesalahan sebagaimana air memadamkan api”.
(Hadis sahih, Riwayat At-Tirmizi)
3. Kebajikan yang sempurna akan diperolehi melalui sedekah.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran Ayat 92:
لَن تَنَالُوا۟ ٱلْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌۭ (٩٢)
Maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.
(Ali Imran 3:92)
4. Sedekah itu akan diganti oleh Allah SWT dengan yang lebih baik.
Allah SWT berfirman dalam surah Saba’ ayat 39;
وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ (٣٩)
Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki”
(Saba’ 34:39)
Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuannya. Bagaimanapun, orang miskin yang bermurah hati jika hendak bersedekah, bersedekahlah dengan kadar kemampuannya, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya. Kalau ada harta yang lebih daripada yang diperlukannya, barulah boleh disedekah sebahagian daripadanya kepada orang lain.
Allah SWT berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 267:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
(Al-Baqarah 2: 267)
Sumber: Jabatan Mufti Perlis
Leave a comment