أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ (١٤)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Ancaman Untuk Yang Melalaikan Solat”.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Islam dibina atas lima perkara utama dan mendirikan solat merupakan salah satu daripadanya. Kewajipan mendirikan solat terletak di atas bahu umat Islam yang mukallaf baik lelaki mahupun wanita yang perlu dilakukan dalam waktu yang telah ditetapkan. Banyak ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam untuk mendirikan solat. Firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa’ ayat 103:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا (١٠٣)
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(An-Nisa’ 4:103)
Solat dapat membersihkan diri umat Islam daripada dosa-dosa kecil masa lalu kita. Dengan itu, solat yang didirikan secara istiqamah dalam semua keadaan akan membawa kita dekat dengan Allah SWT dan sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Solat lima waktu dan solat Jumaat ke solat Jumaat berikutnya menjadi penghapus dosa-dosa yang berlaku di antaranya selama mana tidak melakukan dosa besar.”
(Riwayat Muslim)
Menjaga solat dan mendirikannya menjadikan hati kita suci dan bersih daripada sifat-sifat tercela (mazmumah). Solat yang dibuat bukan sekadar melepaskan kewajipan malah mampu menjadikan kita manusia yang menyelamatkan diri sendiri dan orang lain dengan melakukan kebaikan dan berakhlak mulia secara berterusan. Solat yang didirikan akan mencegah kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Hati kita juga akan menjadi tenang tenteram apabila kita mendirikan dan menjaga solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’arij ayat 19 hingga 23:
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعًۭا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ ٱلْخَيْرُ مَنُوعًا (٢١) إِلَّا ٱلْمُصَلِّينَ (٢٢) ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ (٢٣)
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah; dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang”.
(Al-Ma’arij 70:19-23)
Jangan kita menjadi sebahagian golongan yang mengambil mudah tentang mendirikan solat. Allah SWT memberikan ancaman dalam al-Quran, akan ada golongan yang mensia-siakan solat, lalu mereka hidup dengan mengikut rasa, nafsu syahwat dan melakukan maksiat, merekalah golongan yang akan diazab dengan dahsyat. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 59:
فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا (٥٩)
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam Neraka).” (Maryam 19:5)
Hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Menjaga Allah itu adalah dengan mendirikan solat dan melaksanakan arahan dan meninggalkan larangan-Nya. Jika kita menjaga Allah, Allah menjaga kita dengan memakaikan kemuliaan agamanya dan memelihara kemuliaan kehidupan kita di dunia dan di akhirat kelak.
Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Masih ramai umat Islam yang meninggalkan solat sedangkan Allah SWT memberi ancaman yang keras kepada hamba-hamba-Nya yang melalaikan ibadah solat secara sengaja walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-Muddaththir ayat 42 dan 43:
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ (٤٢) قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ (٤٣)
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orangorang yang mengerjakan sembahyang”.
(Al-Muddaththir 74:42-43)
Hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhu katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia bertemu Allah dalam keadaan dimurkai oleh Allah SWT.” (Riwayat al-Bazzar dan at-Tabarani)
Dinyatakan dalam Kitab Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Profesor Doktor Wahbah Al-Zuhaili mengatakan bahawa seseorang yang meninggalkan solat kerana mengingkari kefarduannya adalah murtad. Manakala mereka yang tidak solat kerana malas (تكسول) dan tidak peduli (تَہاوُن) hukumnya fasik dan melakukan maksiat. Manakala dalam Kitab al-Solah, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menjelaskan bahawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja tergolong ke dalam dosa yang paling besar dan lebih besar dosanya daripada membunuh, merampas harta orang lain, berzina, mencuri, dan minum minuman keras.
Rasulullah SAW turut membuat perbandingan di antara orang yang beriman dengan yang kufur sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Radhiallahuanhuma, Baginda bersabda yang maksudnya:
“Beza di antara seseorang (yang beriman) dengan yang syirik dan kufur adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)
Seseorang boleh dihukumkan kafir sekiranya dia menafikan kewajipan solat. Mereka yang terlupa atau sengaja melalaikan ibadah solat dalam waktunya, wajiblah ia menggantikannya dengan segera dalam waktu yang lain. Hukumnya berdosa dan wajib segera bertaubat bagi mereka yang sengaja melalaikannya.
Oleh itu, marilah kita tanamkan tekad dalam diri dan menyeru ahli keluarga kita untuk terus bersama-sama istiqamah mendirikan solat fardu lima waktu. Berusaha untuk melakukan solat secara berjemaah di masjid atau surau. Sempurnakan solat kita dengan melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat qabliyyah dan ba’diyyah.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Bagi mengakhiri khutbah, marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa arahan untuk mendirikan solat fardu lima waktu datangnya daripada Allah SWT.
2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa azab seksa yang pedih akan ditimpakan ke atas mereka yang melalaikan ibadah solat.
3. Umat Islam hendaklah yakin dengan janji dan jaminan rezeki daripada Allah SWT kepada mereka yang menjaga solat.
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًۭا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ (١٣٢)
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Taha 20:132)
Tarikh Dibaca: 7 Rejab 1445H/19 Januari 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment