أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ (٥٧)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkanlah amal ibadah kepada Allah SWT di samping amalan-amalan sunah. Mudah-mudahan, kita sentiasa berada dalam rahmat, taufik dan hidayah-Nya di dunia dan di akhirat. Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara yang lalai seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khatib sedang menyampaikan khutbah. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita.
Mimbar mengingatkan para jemaah sekalian, marilah kita istiqamah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dan bersama-samalah menyemarakkan kempen “subuh macam Jumaat” yang diadakan di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan. Di samping itu, teruskanlah berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan keselamatan, pemeliharaan dan ketabahan kepada para penduduk Gaza yang masih dalam situasi peperangan yang telah masuk hari ke 105. Semoga Allah SWT memakbulkan doa dan permohonan kita.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk “Tanggungjawab Memelihara Al-Quran”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Al-Quran merupakan kalamullah yang suci. Ia merupakan wahyu Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril Alaihissalam untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Penurunan al-Quran dalam tempoh 23 tahun bukan sahaja menjadi hidayah atau petunjuk kepada manusia tetapi lebih daripada itu ia membawa banyak penyelesaian kepada segala aspek kehidupan. Ini jelas dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Yunus 10:57)
Al-Quran merupakan sebuah perlembagaan hidup yang menjamin kejayaan yang besar kepada manusia dan terbukti telah mengubah mereka daripada satu umat yang mundur kepada satu umat yang memegang obor tamadun dunia berkurun-kurun lamanya. Meskipun telah lama al-Quran diwahyukan, namun isi kandungannya tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikit pun terjejas oleh peredaran zaman yang begitu lama. Ayat-ayatnya mudah dan jelas untuk dibaca dan difahami yang menjadi sumber utama syariat Islam. Apa jua peraturan, pendapat atau perbincangan ulama tidak boleh sama sekali bertentangan dengan al-Quran. Jika terdapat sebarang perbezaan pendapat maka al-Quran perlu dirujuk agar dapat menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam kalangan umat Islam.
Kandungan al-Quran itu sendiri telah merangkumi pelbagai aspek terutamanya tauhid, syariat, akhlak, keagungan Allah SWT termasuklah ilmu-ilmu sains, fizik, matematik dan sebagainya. Dengan kata lain, semakin banyak ayat-ayat al-Quran itu difahami, semakin terbongkar ilmu-ilmu pengetahuan yang ada di dalamnya untuk dipelajari, difahami dan diamalkan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Salah satu keistimewaan al-Quran ialah nasnya sentiasa dipelihara oleh Allah SWT hingga hari kiamat. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hijr ayat 9:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ (٩)
Bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Al-Hijr 15:9)
Ayat ini menyimpulkan bahawa Allah SWT telah menjamin bahawa kitab suci al-Quran ini akan terpelihara daripada sebarang perubahan dan penyelewengan. Walaupun begitu, manusia yang diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini tetap dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian al-Quran, antaranya melalui beberapa tindakan:
Pertama: Menghafaz ayat-ayat suci al-Quran. Hasilnya kalam suci ini dapat menyinari dada-dada dan hati kita. Justeru, didiklah anak-anak mempelajari al-Quran dan menghafaznya supaya hidup mereka sentiasa disinari dengan cahaya al-Quran.
Kedua: Mencetak dan membukukan al-Quran termasuk mewujudkan aplikasi al-Quran secara digital. Badan yang berautoriti mesti bertanggungjawab memastikan tidak ada kesalahan dan penyelewengan terhadap ayat-ayat suci al-Quran yang dicetak atau dimuat naik dalam pelbagai bentuk aplikasi.
Ketiga: Setiap rumah wajib mempunyai mushaf al-Quran yang mendapat pengesahan daripada pihak berautoriti. Mushaf tersebut mestilah dijaga dengan baik dan diletakkan di tempat yang sepatutnya. Janganlah membiarkan ia hanya disimpan tanpa dibaca isi kandungannya. Jika ada
mushaf yang rosak, lakukan pelupusan melalui pihak-pihak yang menguruskan pelupusan al-Quran lama dan rosak.
Keempat: Mempelajari ilmu-ilmu al-Quran terutama mentadabbur berdasarkan kitab-kitab tafsir yang muktabar. Carilah guru-guru tafsir yang berkelayakan dan pakar dalam bidang tersebut supaya pemahaman kita terhadap ayat-ayat al-Quran tidak tersasar di samping kita dapat mempelajari ilmu asbabun nuzul dan nasikh mansukh. Perkara ini sangat penting agar niat untuk memahami al-Quran tidak menjerumuskan kita di dalam kesesatan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mutakhir ini, percetakan, penerbitan dan pengedaran mushaf al-Quran dalam bentuk digital atau cetakan dalam pelbagai variasi moden semakin bertambah. Permintaan yang tinggi telah mencetuskan inovasi dan pelbagai reka bentuk sehingga menimbulkan persoalan sejauhmana mushaf itu dapat dipelihara kesucian dan dijamin keasliannya. Bagi mengawal segala bentuk penyelewangan berlaku, maka negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Malaysia dan lain-lain telah menubuhkan suatu jawatankuasa atau lajnah penyemak di negara masing-masing.
Di Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah ditugaskan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan berkaitan dengan teks dan bahan al-Quran menerusi Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).
Dari aspek kawalan, Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran (Lajnah Tasheh al-Quran) telah berperanan memastikan ketetapan setiap ayat al-Quran sebelum ia dibenarkan dicetak. Hanya draf yang menepati garis panduan yang telah ditetapkan akan dibawa kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran bagi tujuan mendapatkan kelulusan cetak.
Manakala daripada aspek penguatkuasaan, pihak Kementerian Dalam Negeri di negeri-negeri akan menjalankan pemantauan berkala di premis-premis perniagaan, penaziran berjadual di syarikat penerbitan dan pencetakan serta pemeriksaan bersepadu berdasarkan aduan awam di mana-mana premis. Setiap mushaf mesti mempunyai cop kelulusan dan pelekat hologram Kementerian Dalam Negeri sebagai bukti keabsahan cetakan mengikut kelulusan yang diputuskan. Jika didapati sebaliknya, maka kita boleh mengemukakan aduan ke pihak berkuasa bagi tujuan siasatan, pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Dengan adanya kawalan dan penguatkuasaan yang bersistematik, mushaf yang tersebar di negara ini adalah terpelihara daripada kesalahan dan penyelewengan.
Selain itu, pembangun perisian aplikasi al-Quran digital juga adalah disyor membuat permohonan semakan kandungan daripada Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan kandungan yang dipaparkan sahih dan tepat. Buat masa ini, Kementerian Dalam Negeri sudah meluluskan satu aplikasi al-Quran yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kolaborasi Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu aplikasi Smart Quran.
Aplikasi mudah alih al-Quran ini adalah aplikasi pertama yang diluluskan. Maka orang ramai boleh menggunakan aplikasi ini untuk membaca al-Quran secara digital. Sesungguhnya tanggungjawab memelihara dan memuliakan al-Quran merupakan amanah semua umat Islam. Institusi Islam khususnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut berperanan dalam memastikan pemeliharaan al-Quran terus diperkasakan melalui program dan agenda dakwah membumikan penghayatan al-Quran dalam masyarakat Islam.
Di samping itu, pemuliaan al-Quran yang telah rosak turut dilaksanakan oleh JAWI melalui kaedah yang ditetapkan oleh syarak di Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, JAWI. Semoga segala usaha dan kegigihan semua pihak dalam memelihara kesucian al-Quran ini akan diberi ganjaran daripada Allah SWT.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak kita untuk melihat tiga perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:
Pertama: Al-Quran adalah anugerah Allah SWT yang agung kepada alam sejagat dan bersifat syumul serta sentiasa relevan sepanjang zaman.
Kedua: Usaha berterusan pemeliharaan al-Quran daripada Nabi SAW dan zaman selepasnya sehingga sekarang telah menyelamatkan kesucian al-Quran dari segala macam campur tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.
Ketiga: Setiap petunjuk dan peraturan yang terkandung di dalam al-Quran perlu ditekuni, dikaji dan diteladani supaya dapat melahirkan umat manusia yang berwawasan dan bertindak benar dalam amalan.
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Isra ayat 82:
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا (٨٢)
Bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang- orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Al-Isra’ 17: 82)
Tarikh Dibaca: 7 Rejab 1445H/19 Januari 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment