Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 13 – Ukhuwah Islamiah

“Dan Hendaklah Ia Berbuat Kepada Manusia Dengan Apa Yang Ia Ingin Manusia Lakukan
Untuk Dirinya Sendiri.”

(Riwayat Muslim No.1844)

Hadis 13 - Ukhuwah Islamiah

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik, pembantu Rasulullah, bahawa Baginda bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسه.

Maksudnya: “Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari no.13 dan Muslim no. 45)

Huraian

Para ulama berkata bahawa “tidak beriman” yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah “iman tidak sempurna”, bukan tidak beriman langsung. Maknanya seseorang itu tidak sempurna imannya apabila tidak mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

Abu Amr bin Shalah berkata: “Perbuatan seperti itu terkadang dianggap sukar untuk dilaksanakan seseorang. Sebenarnya tidak demikian, kerana apa yang dimaksudkan ialah iman seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai kebaikan untuk saudaranya sesama Muslim seperti mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri.”

Perkara ini dapat dilaksanakan dengan melakukan sesuatu hal yang baik bagi dirinya, misalnya:

  • Tidak berebut-rebut di tempat orang ramai.
  • Tidak terniat untuk menghilangkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.

Perkara seperti ini sebenarnya mudah dilakukan oleh orang yang berhati baik, tetapi sulit dilakukan orang yang berhati jahat.

Pengajaran

1. Hubungan seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain seperti jasad yang memiliki satu nyawa. Dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

2. Jauhilah perbuatan hasad dengki kerana bertentangan dengan kesempurnaan iman.

3. Iman boleh bertambah atau berkurang. Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.

4. Kita hendaklah bersatu hati sesama umat Islam.

Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 12 – Kesempurnaan Islam Seseorang
Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 11 – Tinggalkan Yang Meragukan

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑