Soalan
Apakah hukum melipat seluar untuk mengelakkan isbal semasa solat. Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa “kami simpulkan bahawa melipat pakaian ketika solat sama ada pada seluar atau lengan baju adalah makruh berdasarkan kepada hadith sahih di atas”. Hal ini kerana, saya akan melipat seluar ketika solat untuk mengelakkan isbal. Jika hukumnya makruh, mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Maksud dan Hukum Isbal
Isbal menurut bahasa bermaksud al-irkho’ (menjatuhkan, melonggarkan, menurunkan) dan al-irsal (melepaskan). Manakala menurut istilah bermaksud menurunkan pakaian dan melepaskannya melepasi had/kadar yang ditetapkan oleh nas-nas syarak. Secara mudah ia bermaksud melabuhkan atau melebihkan pakaian melebihi kadar yang disebut nas-nas syarak. (Rujuk al-Isbal fi al-Libas wa Atharuhu ‘ala Sihhah al-Solah, hlmn 3)
Isu isbal disebut dalam beberapa hadis, Antaranya hadis daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ
Maksudnya: “Allah tidak akan melihat pada hari kiamat orang yang melabuhkan pakaiannya karena sombong.
(Sahih Muslim: 2085)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa perbuatan melakukan isbal (melabuhkan) berlaku pada seluar, baju dan serban. Haram hukumnya melakukan isbal jika bertujuan meninggi diri (sombong). Adapun jika dilakukan bukan bertujuan berbangga diri, maka hukumnya makruh.
Di samping itu, hukum makruh ini juga berlaku seandainya dilakukan tanpa keuzuran, adapun jika dilakukan bukan bertujuan meninggi diri, dan terdapat keuzuran yang menyebabkannya melakukan isbal, seperti terdapat luka pada kakinya, dan lalat sering mengganggu dan menyakiti kakinya, maka isbal yang dilakukan dalam situasi ini tidak dihukumkan makruh. Hukum ini adalah bagi lelaki, manakala bagi wanita, ulama telah berijmak bahawa mereka boleh melakukan isbal. (Rujuk; Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, jld 7 hlm. 313 dan Dalil al-Falihin li Thuruq Riadh al-Solihin, jld 3 hlm. 277)
Labuh Pakaian Yang Terbaik
Kadar labuh seluar atau seumpamanya yang terbaik adalah pada pertengahan betis. Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِزْرةُ المُسلِمِ إلى نِصفِ السَّاقِ، ولا حَرَجَ- أو لا جُناحَ- فيما بينه وبين الكَعبَينِ، ما كان أسفَلَ مِن الكَعبَينِ فهو في النَّارِ، مَن جَرَّ إزارَه بطَرًا لم ينظُرِ اللهُ إليه
Maksudnya: Pakaian orang Muslim adalah pada paras pertengahan betis. Tidak mengapa atau tidaklah berdosa jika dilabuhkan sekitar (kawasan) antara pertengahan betis hingga buku lali. Adapun jika dilabuhkan lebih rendah daripada buku lali, maka tempatnya di neraka. Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya dengan kesombongan, Allah SWT tidak akan melihatnya (pada Hari Akhirat).
(Sunan Abi Daud: 4093)
Hukum Menahan/Melipat Pakaian Atau Rambut Ketika Solat
Terdapat beberapa perkara yang makruh dilakukan ketika solat, antaranya ialah perbuatan menahan rambut atau pakaian ketika solat. Perkara ini disebut dalam hadis, daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, dan Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua belah tapak tangan, kedua belah lutut dan hujung jari kedua belah kaki, dan janganlah menahan pakaian dan rambut.”
(Sahih al-Bukhari: 812)
Imam al-Nawawi berkata:
اتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى النَّهْيِ عَنِ الصَّلَاةِ وَثَوْبُهُ مُشَمَّرٌ أَوْ كُمُّهُ أَوْ نَحْوُهُ أَوْ رَأْسُهُ مَعْقُوصٌ أَوْ مَرْدُودٌ شَعْرُهُ تَحْتَ عِمَامَتِهِ أَوْ نَحْوُ ذَلِكَ فَكُلُّ هَذَا مَنْهِيٌّ عَنْهُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَهُوَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ فَلَوْ صَلَّى كَذَلِكَ فَقَدْ أَسَاءَ وَصَحَّتْ صَلَاتُهُ
Maknanya: “Ulama bersepakat berkaitan larangan ketika solat dalam keadaan lengan pakaiannya bergulung atau berlipat atau yang sepertinya. Juga rambut kepalanya terikat atau diruahkan rambutnya yang di bawah serbannya atau sepertinya. Kesemua perkara ini adalah dilarang dengan kesepakatan para ulama dan ia termasuk di dalam makruh tanzih (tidaklah begitu berat). Sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan yang sedemikian, maka dia telah mencacatkan solatnya (fadilat solat) tetapi solatnya sah.” (Lihat al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, jld. 4 hlm. 28)
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) pula berkata:
الْجُمْهُورُ فَإِنَّهُمْ كَرِهُوا ذَلِكَ لِلْمُصَلِّي سَوَاءٌ فَعَلَهُ فِي الصَّلَاةِ أَوْ قَبْلَ أَنْ يَدْخُلَ فِيهَا وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ لَا يُفْسِدُ الصَّلَاةَ
Maknanya: “Jumhur mengatakan makruh (melipat lengan) bagi seseorang yang ingin solat sama ada perbuatannya itu dalam solat atau sebelum masuk ke dalam solat. Mereka juga bersepakat bahawa perbuatan tersebut tidak merosakkan (membatalkan) solat.” (Lihat Fath al-Bari, jld. 2 hlm. 556)
Adapun hikmah bagi perkara ini ialah agar benda yang diselak (rambut atau pakaian) turut bersujud dan untuk melahirkan rasa rendah diri terhadap Allah SWT, kerana melipat atau menyelak pakaian atau rambut seumpama orang yang meninggi diri. (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, jld. 4 hlm. 28 dan Fath al-Bari, jld. 2 hlm. 556)
Kesimpulan
Isbal yang dilakukan bukan dengan tujuan meninggi diri dan perbuatan menahan rambut atau pakaian termasuk dalam perbuatan yang makruh dalam solat. Hukum ini disepakati ulama dalam isu berkaitan menahan rambut atau pakaian. Adapun isbal terdapat pandangan yang mengharamkannya secara mutlak, maksudnya: ia tetap haram walaupun dilakukan bukan bertujuan meninggi diri.
Justeru, menahan atau melipat pakaian ketika solat adalah lebih ringan hukum makruhnya berbanding melakukan isbal. Maka jika terpaksa memilih antara 2 perbuatan ini, adalah lebih elok jika melipat pakaian namun tidak melakukan isbal. Namun yang terbaik ialah dengan mengelak melakukan kedua-dua perkara tersebut serta memilih pakaian yang tidak melebihi buku lali ketika solat.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Rujukan
- Al-Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar (2000). Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr.
- Al-Nawawi, Abi Zakaria Yahya ibn Syiraf (2001). Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi. Mesir, Kaherah: Dar el-Hadith.
- Al-Nawawi, Abi Zakaria Yahya ibn Syiraf (2011). Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab. Mesir, Kaherah: Al- Maktabah al-Taufiqiyyah.
- Al-Siddiqi, Muhammad bi ‘Allan al-Syafie al-As’ariy (tt). Dalil al-Falihin li Thuruq Riadh al-Solihin. Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr.
- Al-Khathlan, Sa’ad bin Turki (t.th.) al-Isbal fi al-Libas wa Atharuhu ‘ala Sihhah al-Solah. (t,tp.) Dar al-Watan.
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment