Jangan Sombong, Nanti Merana 

Ada banyak sifat atau watak manusia yang kurang baik, salah satunya adalah sombong. Sombong merupakan sikap manusia ketika ia mengagungkan diri sendiri dan merendahkan orang lain. Ternyata, sikap sombong ini merupakan salah satu sikap yang amat dibenci Allah. Surah al-Isra’ ayat 37 ini terlalu sinonim dengan sifat sombong. Firman-Nya:

وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ ٱلْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ ٱلْجِبَالَ طُولًۭا (٣٧)

Maksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

(Al-Isra’ 17:37)

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia dilarang untuk memiliki sifat sombong kerana hal tersebut dibenci oleh Allah. Bahkan, umat Islam tidak boleh memalingkan wajahnya ketika bertemu sesama muslim atas sifat sombongnya. Sifat sombong ini amat dimurkai Allah SWT. Orang yang mempunyai sifat sombong di dalam hati akan terpancar di wajahnya. 

Apa perlu kita sombong? Adakah kita hebat bila mempunyai kedudukan lebih daripada orang lain?Akhirnya kita ke bawah juga dimakan oleh cacing-cacing.

Sedangkan semua telah maklum, sifat sombong ini hak mutlak Allah SWT. Sepatutnya kita malu dan segan mengambil sifat yang Maha Esa. Sifat sombong ini boleh menjatuhkan kita kepada syirik khafi. 

Rata-rata kita melihat orang yang mempunyai sifat sombong dan suka mengamalkan sifat ini hidupnya dibenci orang, tiada seorang pun yang berkawan rapat dengannya. Hidup di kalangan kawan yang sombong di pejabat, menjadikan pejabat tersebut merasa sepi dan tiada siapa yang ingin berkongsi cerita apatah lagi berkongsi masalah. 

Di dunia lagi, Allah SWT telah tunjuk betapa hinanya orang yang sombong, apatah lagi di akhirat. Jangan sampai Allah swt menutup pintu hati dikalangan kita yang bersifat sombong untuk menerima kebenaran sesebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukmin ayat 35: 

كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍۢ جَبَّارٍۢ

“… demikianlah Allah mengunci mata hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.” 

(al-Mukmin 40:35)

Manusia yang mempunyai sifat sombong ini merupakan pengikut iblis dan syaitan. Umum mengetahui bahawa punca makhluk yang bernama iblis ini keluar daripada syurga akibat sifat sombongnya kepada Allah SWT, iaitu enggan taat ketika diminta oleh Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam AS.

Ciri-ciri ini sewajarnya dijadikan tauladan dan kita sebagai manusia yang bergelar umat Islam hendaklah menjauhi sifat yang hina ini. 

Adakalanya sifat kesombongan ini terjadi tanpa kita sedari berlaku sombong kepada orang yang tidak sepatutnya kita sombong seperti orang miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) atau orang yang lemah. Di manakah nilai kita dalam keadaan ini? Sewajarnya kita bermuhasabah dan memperbaiki diri supaya sifat sombong itu tidak berlarutan dalam diri. Jika dibiarkan, ia akan menjadi penyakit dan ini akan menjadikan diri sendiri merana. Jangan mengundang penyakit jika ianya boleh dielakkan. 

Teringat sejenak surah Abasa ayat 1-2 yang mana Nabi Muhammad SAW telah ditegur oleh Allah SWT kerana hanya bermasam muka dan berpaling muka daripada Abdullah Umi Maktum ketika mendatangi Baginda SAW: 

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ (٢)

“(Dia telah bermuka masam) yakni Nabi Muhammad telah bermuka masam (dan berpaling) yaitu memalingkan mukanya karena (1) karena telah datang seorang buta kepadanya (2).” 

(‘Abasa 80: 1-2)

Pada masa itu, Rasulullah sedang sibuk melayan pembesar-pembesar Quraisy dan mengharapkan mereka memeluk Islam. Sedangkan Abdullah Umi Maktum tidak mengetahui Rasullulah sedang sibuk kerana beliau buta. Hanya sedikit sahaja tindakan Rasulullah SAW kepada Abdullah Umi Maktum dan Allah telah menegur Baginda. Bukan tindakan Rasulullah itu sombong tapi hanya menunjukkan ketidakselesaan sahaja. Sedangkan kita nyata-nyata menunjukkan kesombongan kita di muka bumi ini terutama dengan pangkat dan harta yang kita punya. 

Di antara kita ada yang tidak menyedari sifat sombong ini bertakhta di hati dan bermain di sanubari. Apalah istimewanya sifat ini jika kita amalkan, sudah tentunya kita tahu bahawa pengakhiran sifat ini akan membawa kita merana di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. 

Cuba kita nilai semula hierarki perhubungan kita di pejabat. Kenalilah rakan-rakan kita, eratkan silaturrahim, wujudkan perkongsian ilmu dan bina kesefahaman budaya kerja. Sifat keangkuhan dan sombong ini boleh menyebabkan kita kehilangan kawan dan sokongan, bukan hanya dalam perkhidmatan malah sudah bersara pun kita tidak dipedulikan rakan-rakan dan masyarakat. 

Sifat sombong ini juga tidak membawa apa-apa faedah dan kebaikan kepada diri, lebih-lebih lagi kepada masyarakat.  Malah ia boleh memutuskan silaturahim dan boleh memecahbelahkan perpaduan dan keunggulan sesuatu organisasi. Pesanan terakhir saya ialah “Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk, makin berilmu makin tawaduk”.

“Janganlah engkau sombong dengan kebenaran yang datang, sombong itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.”

(HR Muslim)

Dr. Fazlulaini binti Mohd Yunus , Penolong Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) 

Majalah Rohani, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑